Langkau ke kandungan utama

Adakah pemantauan bukan invasif (spektroskopi inframerah dekat) membantu mencegah kecederaan otak disebabkan kekurangan oksigen dalam tisu otak pada bayi yang sangat pramatang?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Bukti menunjukkan bahawa pemantauan bukan invasif (spektroskopi inframerah dekat; NIRS) oksigen dalam tisu otak berkemungkinan tidak mengurangkan kadar kematian atau masalah otak jangka pendek untuk bayi yang sangat pramatang.

  • Kajian masa depan harus menggunakan NIRS dengan lebih konsisten dan melihat kesan jangka panjang untuk mendapatkan jawapan yang lebih jelas tentang potensi manfaat.

Apakah spektroskopi inframerah dekat (NIRS)?

Spektroskopi inframerah dekat (NIRS) adalah alat bukan invasif yang boleh digunakan untuk mengukur tahap oksigen otak.

Bagaimanakah NIRS boleh membantu bayi pramatang di unit penjagaan rapi neonatal?

Bayi pramatang, terutamanya yang dilahirkan sangat awal (sebelum 32 minggu hamil), sering menghadapi masalah kesihatan yang serius. Masalah yang berpotensi ini termasuk kerosakan otak yang disebabkan oleh bekalan oksigen yang tidak mencukupi ke otak. Penggunaan NIRS untuk memantau tahap oksigen ke otak mungkin membantu doktor untuk mengambil tindakan awal dan cepat sekiranya berlaku masalah, tetapi adalah penting untuk mengetahui sama ada ia benar-benar berkesan.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pemantauan NIRS adalah lebih baik daripada penjagaan biasa untuk melindungi otak, meningkatkan perkembangan neurologi (otak), dan membantu bayi yang sangat pramatang untuk hidup dengan lebih baik. Secara khususnya, kami berminat dengan kesan NIRS terhadap:

  • kematian atas sebarang sebab;

  • masalah perkembangan saraf (termasuk cerebral palsy, kelewatan perkembangan yang serius, buta, dan pekak) apabila bayi membesar (18 hingga 24 bulan);

  • kerosakan otak yang serius;

  • penyakit paru-paru kronik;

  • enterokolitis nekrosis (penyakit usus yang serius);

  • retinopati pramatang yang teruk (penyakit mata); dan

  • reaksi tidak diingin yang teruk.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang dibandingkan pemantauan NIRS dengan tanpa NIRS atau pemantauan NIRS yang dibutakan (di mana profesional kesihatan yang merawat tidak menyedari tahap oksigen otak jadi tidak dapat membuat sebarang keputusan berdasarkan maklumat ini) pada bayi yang sangat pramatang. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian yang dijalankan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menyertakan lima kajian yang diterbitkan antara 2016 dan 2023 dan menyertakan 2415 bayi yang sangat pramatang (1191 di dalam kumpulan NIRS dan 1224 di dalam kumpulan bukan NIRS/ kumpulan NIRS yang dibutakan). Bayi di dalam kumpulan tanpa NIRS/ kumpulan NIRS yang dibutakan yang menerima penjagaan standard.

Apakah keputusan utama?

Bukti daripada lima kajian (dengan 2415 bayi) menunjukkan bahawa pemantauan NIRS telah membandingkan penjagaan biasa berkemungkinan menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam:

  • kematian atas sebarang sebab;

  • kerosakan otak yang serius;

  • penyakit paru-paru kronik;

  • enterokolitis nekrotik (penyakit usus yang serius); dan

  • reaksi buruk yang teruk.

Bukti yang ada sangat tidak menentu tentang kesan NIRS terhadap masalah perkembangan saraf jangka panjang semasa bayi lebih besar, berdasarkan satu kajian dengan 115 bayi. Pemantauan NIRS berkemungkinan menghasilkan sedikit kepada tiada perbezaan dalam mengurangkan retinopati pramatang teruk (penyakit mata), berdasarkan dua kajian dengan 1745 bayi.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Empat daripada lima kajian yang disertakan adalah kecil, dan hanya beberapa bayi yang meninggal dunia atau mengalami kecederaan otak yang serius atau masalah perkembangan saraf jangka panjang. Tambahan pula, keputusan adalah berbeza-beza merentasi kajian yang berbeza. Tidak kesemua kajian menggunakan NIRS dengan cara yang sama, yang menjadikannya sukar untuk mengetahui sama ada ia akan mempunyai kesan yang sama untuk semua bayi di seluruh pusat kesihatan yang berbeza di negara berbeza. Akhir sekali, tidak semua hasil yang kami minati diukur dengan jelas.

Keputusan kajian lanjutan mungkin berbeza dengan keputusan ulasan ini.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti terkini sehingga Ogos 2025. Lima kajian yang berkaitan sedang dijalankan, dan salah satunya untuk menyertakan 3000 bayi menjelang 2029. Kajian yang besar ini mungkin boleh memberikan lebih banyak bukti untuk memaklumkan pemahaman kita tentang manfaat dan kemudaratan NIRS pada bayi yang sangat pramatang.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Bodrero E, Isaza-López MC, Fiander M, Greisen G, Gluud C, Bruschettini M, supported by Cochrane Sweden and Cochrane Neonatal. Cerebral near-infrared spectroscopy monitoring for prevention of death or neurodevelopmental disability in very preterm infants. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 1. Art. No.: CD011506. DOI: 10.1002/14651858.CD011506.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan