Soalan ulasan
Apakah manfaat dan risiko menggunakan ubat yang dikenali sebagai agonis dan antagonis hormon pembebasan gonadotropin (GnRH) dalam pengurusan sindrom prahaid (PMS)?
Mesej utama
• Kami temui bukti boleh percaya agonis GnRH tanpa terapi tambahan dapat memperbaik gejala PMS berbanding plasebo. tetapi, kesan-kesan sampingan menopaus adalah lazim dan wanita yang mengambil agonis GnRH tanpa terapi tambahan lebih cenderung untuk menghentikan rawatan berbanding wanita yang mengambil plasebo.
• Kami sederhana yakin gejala PMS mungkin bertambah baik berbanding agonis GnRH dengan terapi tambahan. Tiada cukup bukti untuk menentukan jika agonis GnRH dengan terapi tambahan dapat memperbaik gejala PMS berbanding GnRH sahaja, atau jika dos hormon tambahan mempunyai kesan kepada gejala PMS.
• Kajian lanjut yang dikenali sebagai ' kajian rawak terkawal' agonis GnRH dengan terapi tambahan serta susulan jangka panjang adalah perlu.
Apakah sindrom prahaid?
Sindrom prahaid (PMS) terdiri daripada pelbagai gejala fizikal, psikologi dan tingkah laku yang berlaku selepas pembebasan telur daripada ovari (ovulasi), ia menghilang menjelang akhir haid wanita dan menyebabkan distres atau gangguan ketara kehidupan harian termasuk kerja, sekolah, aktiviti sosial, hobi dan hubungan interpersonal. Menghentikan ovulasi dengan analog GnRH boleh menyekat gejala tersebut, tetapi ia boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti menopaus, misalnya rasa panas mendadak, dan - dalam jangka panjang - osteoporosis. Untuk mengatasi kesan sampingan ini, hormon lain (biasanya estrogen atau progestogen) boleh ditambah kepada rawatan; ini dikenali sebagai terapi tambahan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Analog hormon pembebasan gonadotropin (GnRH) adalah peptida (protein) dengan struktur yang berkait dengan GnRH yang meluas digunakan untuk mencegah ovulasi. Ia merupakan sekumpulan ubat yang mempengaruhi bahagian otak yang mengandungi hipotalamus dan kelenjar pituitari. Analog GnRH ada dua jenis: agonis dan antagonis. Agonis GnRH pada mulanya merangsang pengeluaran GnRH tetapi penggunaan yang lebih lama boleh menyekat pengeluaran GnRH . Antagonis GnRH segera menyekat pengeluaran GnRH . Kami ingin tahu jika ia berkesan dan selamat. Kami mencari sejenis kajian yang dikenali sebagai 'kajian rawak terkawal', di mana peserta dibahagikan kepada satu daripada dua (atau lebih) kumpulan secara rawak, dengan risiko bias lebih rendah dalam keputusan kajian.
Ciri-ciri kajian
Kami menemui 11 kajian (kajian rawak terkawal) tentang penggunaan analog GnRH dalam pengurusan PMS, melibatkan sejumlah 265 wanita yang didiagnosis secara klinikal dengan PMS. Kami menggunakan RCT ini dalam empat perbandingan: Agonis GnRH tanpa terapi tambahan berbanding plasebo (9 kajian, 173 wanita), agonis GnRH dengan terapi tambahan berbanding plasebo (1 kajian, 31 wanita), terapi tambahan berbanding plasebo semasa rawatan agonis GnRH (2 kajian, 60 wanita) dan perbandingan terapi tambahan dengan pelbagai dos tambahan (1 kajian, 15 wanita). Tiada kajian yang melaporkan kualiti hidup atau risiko jangka panjang seperti osteoporosis.
Keputusan utama
Kami menemui bukti boleh percaya agonis GnRH tanpa terapi tambahan dapat memperbaik keseluruhan gejala prahaid berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, wanita yang menggunakan agonis GnRH lebih cenderung menarik diri daripada rawatan akibat kesan sampingan negatif (misalnya gejala seperti menopaus ).
Kami temui bukti kepastian rendah agonis GnRH dengan terapi tambahan dapat memperbaik gejala keseluruhan berbanding plasebo, namun tiada cukup bukti tentang kesan sampingan negatif.
Bukti untuk terapi tambahan berbanding plasebo semasa rawatan agonis GnRH serta pelbagai dos hormon tambahan adalah tidak tepat untuk menentukan mana yang paling berkesan.
Tiada kajian melaporkan kualiti hidup atau risiko jangka panjang seperti osteoporosis.
Apakah batasan bukti?
Batasan utama bukti adalah bilangan kecil wanita yang disertakan dalam kebanyakan kajian, dan wanita dalam kajian kadang-kadang menyedari rawatan yang mereka terima. Kami yakin terhadap keputusan agonis GnRH tanpa terapi tambahan berbanding plasebo, tetapi kurang yakin dengan keputusan tiga perbandingan yang lain .
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti ini adalah berdasarkan carian pangkalan data penjagaan kesihatan yang dijalankan sehingga Mei 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Hafizuddin Bin Hamzan. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Universiti Kolej Manipal Malaysia).