Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko ustekinumab untuk rawatan penyakit Crohn?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

• Ustekinumab lebih berkesan daripada plasebo (rawatan palsu‍) dalam merawat penyakit Crohn (gangguan keradangan usus besar) apabila diguna dalam jangka masa pendek‍.

• Ustekinumab mungkin tidak menyebabkan peningkatan kesan tidak diingini yang serius berbanding plasebo.

• Tiada bukti cukup untuk membuat sebarang kesimpulan tentang kesan ustekinumab berbanding ubat-ubatan lain.

Apakah penyakit Crohn?

Penyakit Crohn ialah penyakit radang usus jangka panjang (kronik) yang boleh menjejaskan mana-mana bahagian saluran gastrousus (pencernaan), daripada mulut hingga ke dubur. Gejala termasuklah sakit perut, cirit-birit tanpa perdarahan, fatig (keletihan), dan penurunan berat badan.

Apakah ustekinumab, dan bagaimanakah ia diguna untuk merawat penyakit Crohn?

Ustekinumab ialah ubat biologi (ubat yang dihasilkan daripada organisma hidup). Ia boleh disuntik di bawah kulit menggunakan picagari atau dimasukkan terus ke dalam vena (intravena). Terapi biologi mengganggu sistem imun dan mengurangkan keradangan yang berlaku dalam penyakit Crohn. Apabila orang dengan penyakit Crohn mengalami gejala‍, penyakit itu dikatakan dalam keadaan ‘aktif’; tempoh apabila gejala berhenti dipanggil ‘remisi.’

Briakinumab ialah satu lagi ubat yang berfungsi dengan cara yang serupa dan telah dipertimbangkan dalam versi terdahulu ulasan ini. Walau bagaimanapun, briakinumab tidak lagi digunakan untuk rawatan penyakit Crohn, dan pengeluar telah menghentikan pengeluarannya pada tahun 2011, oleh itu kami memutuskan untuk mengecualikannya dalam kemas kini ulasan ini.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada ustekinumab lebih berkesan daripada plasebo (rawatan palsu) atau ubat lain dalam menghasilkan remisi dalam kalangan orang dengan penyakit Crohn aktif, dan sama ada ubat-ubatan ini menyebabkan sebarang kesan tidak diingini.

Apakah yang dilakukan?

Kami meneliti literatur perubatan untuk mencari kajian-kajian yang membandingkan ustekinumab dengan plasebo atau ubat lain seperti adalimumab atau guselkumab. Kami juga memasukkan ujian yang meneliti pelbagai dos ubat. Kami bandingkan dan rumuskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami temui lapan kajian melibatkan sejumlah 3,224 orang. Lima kajian membandingkan ustekinumab dengan plasebo; satu kajian membandingkan pelbagai dos ustekinumab dalam kalangan kanak-kanak; dan dua kajian membandingkan ustekinumab dengan ubat biologi lain. Semua kajian dijalankan selama sekurang-kurangnya lapan minggu.

Keputusan utama

Ustekinumab mengurangkan bilangan orang yang gagal mencapai remisi selepas lapan minggu rawatan. Ia adalah terapi yang berkesan untuk memperbaik gejala dalam kalangan orang dengan penyakit Crohn. Berbanding plasebo, ustekinumab mungkin tidak menyebabkan peningkatan kesan tidak diingini yang serius selepas lapan minggu. Kemerosotan penyakit Crohn dan jangkitan adalah kesan tidak diingini yang paling lazim dialami dalam kalangan orang yang menerima ustekinumab.

Pelbagai dos ustekinumab dalam kalangan kanak-kanak telah dikaji. Bukti tentang dos yang paling berkesan masih sangat tidak pasti. Tiada maklumat berasingan tentang kesan tidak diingini yang serius selepas lapan minggu dalam kalangan kanak-kanak.

Bukti tentang kesan ustekinumab berbanding ubat biologi lain juga masih sangat tidak pasti. Tiada kajian yang melaporkan kadar kesan sampingan serius selepas lapan minggu bagi perbandingan ini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami yakin terhadap bukti tentang manfaat ustekinumab berbanding plasebo. Kami hanya sederhana yakin terhadap bukti berkaitan kesan tidak diingini yang serius kerana bilangan kesan tidak diingini yang dilaporkan adalah rendah.

Keyakinan kami terhadap bukti yang membandingkan pelbagai dos ustekinumab serta perbandingan antara ustekinumab dan ubat biologi lain adalah sangat rendah kerana terdapat terlalu sedikit kajian untuk memastikan keputusan tersebut, dan kajian-kajian tersebut tidak merangkumi semua kumpulan individu yang kami berminat untuk dikaji.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia. Disunting Noorliza Mastura Ismail (Universiti Kolej Manipal Malaysia).

Petikan
Hasskamp J, Meinhardt C, Timmer A. Anti-IL-12/23p40 antibodies for induction of remission in Crohn's disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 5. Art. No.: CD007572. DOI: 10.1002/14651858.CD007572.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan