Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah pembedahan yang lebih berkesan untuk merawat osteoartritis ibu jari (haus dan lusuh)?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Berbanding dengan trapeziektomi (pembuangan tulang pada pangkal ibu jari), trapeziektomi dengan LRTI (penggantian ligamen dan pengukuhan sendi dengan tendon daripada lengan tangan bawah) mungkin memberikan sedikit sehingga tiada manfaat terhadap kesakitan, fungsi, pengimejan sendi atau kesan-kesan yang tidak diingin daripada 3 hingga 54 bulan selepas rawatan.

  • Kami tidak tahu pembedahan yang terbaik untuk merawat osteoartritis ibu jari. Lebih banyak kajian diperlukan dalam bidang ini.

Apakah osteoartritis ibu jari?

Osteoartritis adalah penyakit sendi, kadangkala dikenali sebagai ‘penyakit haus dan lusuh’. Osteoartritis pada pangkal ibu jari (sendi trapeziometakarpal) mungkin mengakibatkan kesakitan, kekakuan dan kelemahan pada ibu jari. Hal ini boleh mempengaruhi betapa baiknya ibu jari bergerak, betapa kuatnya gengaman dan betapa baiknya seseorang boleh melakukan perkara rutin di rumah atau di tempat kerja.

Walaupun ramai orang mengalami keadaan ini, kesannya terhadap perasaan anda tidak dapat diukur dengan sinar-X. Oleh itu, osteoartritis pangkal ibu jari dirawat berdasarkan kesan dan bukannya apa yang dilihat pada sinar-X.

Untuk kebanyakan orang, kesan-kesan tersebut adalah kecil, dan rawatan tidak diperlukan. Sesetengah pekerjaan dan hobi tertentu boleh memburukkan keadaannya, terutamanya sekiranya seseorang perlu mencubit atau menggenggam dengan banyak.

Bagaimanakah osteoartritis ibu jari dirawat?

Osteoartritis pada ibu jari boleh dirawat dengan menggunakan:

  • pendekatan bukan pembedahan, seperti splin atau ubat anti radang

  • suntikan steroid

  • pembedahan - kerap digunakan semasa dua kaedah yang pertama tidak berkesan

Terdapat banyak jenis pembedahan, tetapi mereka semuanya bertujuan untuk mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi (atau mengurangkan ketidakstabilan). Kebanyakan pembedahan bermula dengan mengeluarkan tulang trapezium di pangkal ibu jari (trapeziektomi) dan kemudian membina semula atau mengikat sendi dengan menggunakan ligamen atau tendon yang diambil dari tempat lain di badan, daripada penderma, atau jenis tiruan. Prosedur yang paling kerap adalah trapeziektomi dengan pembinaan semula ligamen dan interposisi tendon (LRTI). Hal ini melibatkan pembinaan semula ligamen yang memegang tulang antara ibu jari dan jari telunjuk bersama-sama dan mengisi ruang yang ditinggalkan selepas pengeluaran tulang dengan tendon gantian daripada lengan tangan bawah untuk menyokong ibu jari. Pembedahan lain termasuk meninggalkan ruang yang ditinggalkan daripada trapeziektomi terbuka dengan sengaja untuk diisi dengan parut tisu (pengalihan hematoma) atau penggantian sendi sepenuhnya dengan sendi tiruan (artroplasti).

Apakah yang ingin diketahui?

Untuk orang dengan osteoartritis ibu jari, kami ingin mencari kaedah pembedahan yang terbaik untuk:

  • mengurangkan kesakitan, ketidakupayaan, peristiwa-peristiwa yang tidak diingini, dan kegagalan rawatan (yang membawa kepada lebih banyak pembedahan), dan

  • memperbaik kualiti hidup.

Kami juga ingin melihat kesan-kesan kaedah berbeza terhadap kepuasan orang dengan rawatan mereka dan rupa sendi tersebut dalam sinar-X.

Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang telah membandingkan kaedah pembedahan berbeza untuk osteoartritis ibu jari. Orang di dalam kajian boleh terdiri daripada sebarang umur atau jantina, mempunyai osteoartritis yang teruk atau ringan, dan boleh berada di mana-mana sahaja di dunia. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.

Apakah yang ditemukan?

Kami telah menemui 25 kajian dengan 1591 orang, kebanyakannya wanita. Kajian-kajian tersebut telah menggunakan pelbagai prosedur pembedahan. Yang paling banyak digunakan adalah trapeziektomi dengan LRTI. Kajian-kajian telah mengikuti orang selama 12 hingga 120 bulan.

Tiada kajian yang telah menyertakan pembedahan plasebo (pembedahan tanpa bertujuan untuk membetulkan artritis) atau pembedahan ‘sham’ (pembedahan palsu) sebagai pembandingan.

Keputusan utama

Berbanding dengan trapeziektomi, trapeziektomi dengan LRTI mungkin memberikan sedikit sehingga tiada manfaat terhadap kesakitan, fungsi, pengimejan sendi atau kesan-kesan yang tidak diingini antara 3 hingga 54 bulan selepas rawatan (4 kajian; 421 peserta).

Kesakitan yang diukur pada skala 0 hingga 100 (0 adalah tiada sakit) adalah 2.8 mata lebih baik dengan trapeziektomi dengan LRTI.

  • Orang yang mempunyai trapeziektomi dengan LRTI telah menilai kesakitan mereka sebagai 23.2 mata.

  • Orang yang telah mempunyai trapeziektomi menilai kesakitan mereka sebagai 26 mata.

Fungsi fizikal yang diukur pada skala 0 hingga 100 (0 adalah fungsi terbaik) adalah 0.01 mata lebih teruk dengan trapeziektomi dengan LRTI.

Kesan-kesan yang tidak diingini: selepas trapeziektomi dengan LRTI, 66 orang lagi bagi setiap 1000 mengalami kesan-kesan yang tidak diingini pada penghujung susulan.

  • 133 bagi setiap 1000 orang telah melaporkan kejadian yang tidak diingini sengan trapeziektomi dengan LRTI.

  • 67 bagi setiap 1000 orang telah melaporkan kejadian yang tidak diingini dengan trapeziektomi.

Pengimejan sendi: jarak antara tulang skafoid (tulang di pergelangan tangan) dan metakarpal pertama (tulang di tangan yang menghubungkan pergelangan tangan anda dengan ibu jari anda) adalah 0.1 mm lebih teruk dengan trapeziektomi dengan LRTI berbanding dengan trapeziektomi.

Kajian-kajian tidak melaporkan kepuasan orang secara keseluruhan dengan rawatan, kegagalan rawatan atau kualiti hidup.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti bahawa trapeziektomi dengan LRTI mengurangkan kesakitan, meningkatkan fungsi, atau keputusan dalam lebih ramai orang yang melaporkan kesan-kesan yang tidak diingini, disebabkan kajian adalah kecil, dan prosedur pembedahan sangat berbeza-beza merentas kajian.

Kami tidak pasti sekiranya sebarang pembedahan mempunyai manfaat berbanding dengan tanpa pembedahan, terapi bukan pembedahan atau pembedahan palsu, disebabkan kami tidak menemui kajian yang telah menilai perbandingan tersebut. Kajian lanjut adalah berkemungkinan untuk mengubah anggaran keputusan tersebut.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ini merupakan ulasan dikemaskini yang pertama kali diterbitkan pada 2005. Bukti ini terkini sehingga 19 Mei 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Baljer B, Vinycomb T, Low N. Surgery for thumb (trapeziometacarpal joint) osteoarthritis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 5. Art. No.: CD004631. DOI: 10.1002/14651858.CD004631.pub6.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan