Mesej utama
•
Kesan terapi hormon pada kesihatan jangka panjang wanita berbeza bergantung kepada sama ada mereka mengambil terapi hormon gabungan (kedua-dua estrogen dan progestogen) atau estrogen sahaja.
•
Kami mencadang dengan berhati-hati apabila mempertimbangkan keputusan ulasan ini, memandangkan evolusi dalam dos dan kaedah untuk mengambil terapi hormon dari masa ke masa. Penemuan yang dirumuskan di sini berasal dari kajian yang memberi terapi hormon sebagai tablet yang diambil melalui mulut.
•
Kajian masa depan boleh meneroka kesan jangka panjang terapi hormon pada wanita yang berusia di bawah 50 tahun, atau ovarinya telah berhenti berfungsi kerana rawatan perubatan.
Apakah menopaus dan perimenopaus?
Menopaus berlaku secara semula jadi (biasanya antara 44 dan 55 tahun) apabila ovari berhenti melepaskan telur dan kurang (hampir berhenti) pengeluaran hormon. Menopaus didiagnosis apabila perubahan ini membawa kepada 12 bulan berturut-turut tanpa tempoh haid. Menopaus juga berlaku selepas pembedahan untuk mengeluarkan kedua-dua ovari, dan tidak memerlukan jangka masa 12 bulan ini.
Perimenopaus adalah fasa peralihan sebelum menopaus, apabila tahap hormon menurun dan haid menjadi tidak teratur. Ia mungkin berlarutan selama beberapa tahun dan menyebabkan gejala seperti rasa panas badan, berpeluh malam dan perubahan mood.
Tahap hormon yang lebih rendah boleh menjejaskan jantung wanita, saluran darah dan tulang, meningkatkan risiko kolesterol tinggi, perubahan berat badan dan lemak, tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit jantung, strok, osteoporosis dan pengurangan kekuatan atau mobiliti.
Apakah terapi hormon?
Terapi hormon menggunakan estrogen, dengan atau tanpa hormon lain yang disebut progestogen, untuk melegakan gejala menopaus. Wanita tanpa rahim boleh mengambil estrogen sahaja, manakala mereka yang mempunyai rahim memerlukan kedua-duanya (estrogen dan progestogen) untuk melindungi daripada barah lapisan rahim (kanser endometrium).
Estrogen boleh diberikan secara makan atau melalui kulit (secara transdermal), dan progestogen boleh diberikan secara makan, melalui faraj (secara transvaginal) atau dengan menggunakan alat intrauterin (alat berbentuk T di dalam rahim). Terapi hormon gabungan boleh diambil setiap hari atau kitaran (estrogen diberikan setiap hari dan progestogen diberikan untuk sebahagian bulan, menghasilkan pengeluaran pendarahan faraj.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan terapi hormon jangka panjang menjejaskan kesihatan wanita dalam jangka masa panjang.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan wanita menopaus yang mengambil terapi hormon sekurang-kurangnya satu tahun dengan mereka yang mengambil ubat 'dummy' yang tidak aktif (plasebo). Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 24 kajian melibatkan 45,660 peserta. Kebanyakan data berasal dari dua kajian besar dan berkualiti tinggi yang dijalankan pada tahun 1990-an dan dilaporkan pada awal tahun 2000-an. Keputusan yang dibentangkan di bawah diambil dari salah satu kajian tersebut. Kami membentangkan keputusan penuh dalam ulasan utama.
Gabungan terapi hormon berterusan berbanding plasebo
Berdasarkan bukti dari satu kajian dalam 16,608 wanita yang mengukur hasil pada kira-kira 5.5 tahun susulan, gabungan terapi hormon berterusan mungkin :
•
membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko mengalami serangan jantung atau mendapat kanser paru-paru;
•
meningkatkan peluang mengalami barah payudara (dari kira-kira 19 hingga 24 wanita dalam setiap 1000);
•
mengurangkan risiko patah tulang (dari kira-kira 111 hingga 87 wanita dalam setiap 1000).
Terapi hormon gabungan berterusan mungkin meningkatkan peluang untuk mengalami:
•
strok (dari kira-kira 13 hingga 18 wanita dalam setiap 1000);
•
darah beku dalam vena (dari kira-kira 10 hingga 20 wanita dalam setiap 1000);
•
penyakit pundi hempedu yang memerlukan pembedahan (dari kira-kira 16 hingga 27 wanita dalam setiap 1000).
Terapi estrogen sahaja berbanding plasebo
Berdasarkan bukti dari satu kajian pada 10,739 wanita yang telah menjalani histerektomi (pembedahan untuk membuang rahim) yang mengukur hasil pada 7 tahun susulan, terapi hormon estrogen sahaja mungkin:
•
membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko mengalami serangan jantung, darah beku dalam vena, atau mengalami barah payudara;
•
mengkurangkan kemungkinan mengalami patah tulang (dari kira-kira 141 hingga 103 wanita dalam setiap 1000);
•
meningkatkan peluang mengalami strok (dari kira-kira 24 hingga 32 wanita dalam setiap 1000) dan penyakit pundi hempedu yang memerlukan pembedahan (dari kira-kira 27 hingga 47 wanita dalam setiap 1000).
Terapi hormon estrogen sahaja mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko mengalami kanser paru-paru.
Kami tidak mempunyai data yang mencukupi untuk menilai risiko penggunaan terapi hormon jangka panjang pada wanita yang lebih muda dari 50 tahun.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Hanya kira-kira 30% wanita berumur 50 hingga 59 tahun pada peringkat awal, kumpulan umur yang paling mungkin mempertimbangkan terapi hormon untuk rasa panas badan dan berpeluh malam. Di samping itu, terapi hormon telah berubah dari masa ke masa, dengan cara baru untuk mengambilnya, jenis hormon yang berbeza, dan dos yang dikemas kini. Kajian yang memberikan sebahagian besar data memberikan terapi hormon wanita dalam bentuk pil, yang boleh mempunyai risiko yang berbeza dengan jenis yang kini digunakan dalam amalan klinikal.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga September 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.