Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan mudarat kortikosteroid dalam rawatan kanak-kanak dan dewasa dengan sepsis?

Mesej utama

• Berbanding plasebo atau penjagaan biasa, kortikosteroid mungkin mengurangkan risiko kematian pada 28 hari dan kematian di hospital, dan mungkin ada sedikit atau tiada kesan terhadap risiko mati melebihi tiga bulan.

• Kami tidak pasti tentang kesan infusi kortikosteroid intravena berterusan berbanding pemberian bolus intravena (suntikan pantas) berjeda.

• Kajian masa depan harus mengukur manfaat dan mudarat kortikosteroid untuk rawatan populasi tertentu, termasuk kanak-kanak, pesakit dengan sepsis tanpa kejutan atau dengan kejutan septik ringan, pesakit dengan sindrom distres respiratori akut (ARDS) dan pesakit dengan pelbagai jenis jangkitan. Menentukan kaedah optimum untuk pemberian kortikosteroid, termasuk jenis molekul - dengan atau tanpa menghasilkan pengekalan natrium dan cecair dan perkumuhan kalium (aktiviti mineralokortikoid), masa permulaan, dos dan tempoh, infusi berterusan atau bolus intravena berjeda, dan akhir rawatan - dengan atau tanpa penurunan dos beransur-ansur menjadi sifar, juga memerlukan kajian tambahan. Kajian masa depan harus mengukur kesan jangka panjang, iaitu lebih lama daripada satu tahun, survival dan komplikasi sepsis.

Apa itu sepsis?

Sepsis berlaku apabila jangkitan menjadi rumit dengan kegagalan fungsi organ. Orang mengalami pernafasan cepat, hipotensi (tekanan darah rendah), dan kekeliruan mental. Sepsis boleh mengganggu keberkesanan kortikosteroid badan, yang mengawal bagaimana tubuh anda mengenali dan mempertahankan dirinya daripada bakteria, virus dan bahan yang kelihatan asing dan memudaratkan.

Apakah kortikosteroid (ubat)?

Kortikosteroid adalah ubat yang digunakan untuk menghentikan keradangan berlebihan. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini boleh akibatkan mudarat yang tidak diingini, seperti peningkatan paras gula atau garam dalam darah, jangkitan, perdarahan di perut, pergolakan atau kecelaruan, dan kelemahan anggota badan. Kortikosteroid telah diberi selama beberapa dekad kepada orang dengan jangkitan daripada pelbagai sebab.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu:

• manfaat menggunakan kortikosteroid dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa dengan sepsis; dan

• cara terbaik untuk memberi rawatan ini (termasuk golongan terbaik untuk diberi).

Kami juga ingin tahu jika kortikosteroid boleh mengakibatkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan:

• kortikosteroid yang diberi secara intravena berbanding rawatan 'dummy', atau rawatan palsu, yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi kelihatan atau rasa serupa dengan kortikosteroid, atau penjagaan biasa; atau

• infusi berterusan berbanding suntikan intravena pantas berjeda (bolus) pemberian kortikosteroid.

Kami bandingkan dan rumuskan hasil kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Ulasan ini menyertakan 87 kajian (24,336 peserta). Kajian terbesar melibatkan 3800 orang dan kajian terkecil melibatkan 21 orang. Lapan puluh tiga kajian membandingkan kortikosteroid dengan tiada kortikosteroid (plasebo atau penjagaan biasa dalam 59 dan 24 kajian, masing-masing). Empat kajian juga membandingkan pemberian berterusan berbanding suntikan intravena pantas (iaitu bolus) kortikosteroid yang diberi pada selang tetap enam atau lapan jam. Tiga puluh tiga kajian dijalankan di Eropah, 15 di Amerika Utara, 22 di Asia, enam di Timur Tengah, enam di Afrika dan tiga di Amerika Latin; empat adalah kajian multinasional.

Tiga kajian dibiaya oleh sebuah syarikat ubat, 27 oleh organisasi awam atau melalui pembiayaan amal, dan enam oleh kedua-dua syarikat ubat dan organisasi awam atau pembiayaan amal; 25 tidak mengisytiharkan sumber pembiayaan.

Berbanding plasebo atau penjagaan biasa, kortikosteroid mungkin mengurangkan risiko kematian sebanyak 10% pada 28 hari (72 kajian; 22,915 peserta), dengan kesan rawatan yang konsisten antara kanak-kanak dan dewasa. Mungkin ada sedikit atau tiada kesan kortikosteroid terhadap risiko kematian dalam jangka masa panjang (lebih daripada tiga bulan), tetapi keputusan ini kurang pasti. Kortikosteroid mungkin mengurangkan risiko kematian di hospital. Kortikosteroid boleh mengurangan tempoh di unit rawatan intensif (ICU) dan hospital. Ia tidak boleh meningkatkan risiko superinfeksi (jangkitan kedua). Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan kortikosteroid terhadap risiko kelemahan otot.

• Kami tidak pasti tentang kesan infusi kortikosteroid intravena berterusan berbanding pemberian bolus intravena (suntikan pantas) berjeda. Empat kajian melaporkan data untuk perbandingan ini, dan kepastian bukti untuk semua hasil adalah sangat rendah.

Apakah batasan bukti?

• Kortikosteroid berbanding plasebo atau penjagaan biasa

Kami sederhana yakin dalam penemuan kami bahawa kortikosteroid mengurangkan mortaliti 28 hari. Kami temui beberapa perbezaan di antara populasi kajian, jenis kortikosteroid dan bagaimana ia diberi, dan penggunaan ubat-ubatan tambahan.

• Infusi berterusan berbanding pemberian kortikosteroid bolus

Kami sangat sedikit yakin dalam penemuan kami tentang ketiadaan perbezaan mortaliti 28 hari di antara pemberian kortikosteroid berterusan dan suntikan berulang intravena pantas . Kami temui hanya empat kajian yang mendaftarkan sedikit pesakit.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti dalam kajian ini adalah terkini sehingga Disember 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lee Zcho Huey (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Annane D, Briegel J, Granton D, Bellissant E, Bollaert PE, Keh D, Kupfer Y, Pirracchio R, Rochwerg B. Corticosteroids for treating sepsis in children and adults. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD002243. DOI: 10.1002/14651858.CD002243.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan