Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Adakah asid amino rantai bercabang (BCAA) membantu orang dengan sirosis dan ensefalopati hepatik (gangguan otak yang disebabkan oleh penyakit hati teruk)?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama:

  • BCAA boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap bilangan orang dengan ensefalopati hepatik yang meninggal dunia, berbanding rawatan lain atau tiada rawatan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

  • BCAA boleh mengurangkan bilangan orang yang menghidap ensefalopati hepatik.

  • Kami perlukan lebih banyak kajian berkualiti tinggi yang memberi pesertagabungan BCAA dengan ubat lain yang diguna dalam amalan, seperti antibiotik.

Apakah sirosis dan ensefalopati hepatik?

Sirosis ialah keadaan di mana tisu hati yang sihat secara beransur-ansur digantikan oleh tisu parut. Kerosakan ini mengurangkan keupayaan hati untuk berfungsi dengan baik dan merupakan penyebab utama ensefalopati hepatik, satu keadaan yang mempengaruhi fungsi otak.

Simptom boleh berkisar daripada ringan hingga teruk. Simptom ringan termasuk perubahan kecil dalam pemikiran yang tidak terilihat, seperti masalah dengan perhatian, ingatan, atau kebolehan menyelesaikan masalah. Di peringkat yang lebih teruk, simptom keadaan ini jelas terlihat. Ia mungkin termasuk kekeliruan atau kekaburan yang jelas, perubahan dalam tingkah laku atau personaliti, atau pengurangan kewaspadaan. Dalam kes yang sangat teruk, orang boleh kehilangan kesedaran atau koma.

Bagaimanakah ensefalopati hepatik dirawat?

Kebanyakan rawatan ensefalopati hepatik bertujuan untuk menurunkan toksin dalam darah, terutama ammonia, dan untuk menguruskan penyakit hati yang mendasarinya. Doktor sering menggunakan ubat-ubatan yang mengurangkan amaun toksin yang dihasilkan dalam usus atau menghalang serapannya ke dalam aliran darah.

Asid amino rantai bercabang (BCAA) juga boleh diguna sebagai sebahagian daripada rawatan, tetapi ia berfungsi dengan cara yang berbeza . Orang dengan sirosis sering mempunyai paras BCAA yang rendah. Pengambilan penambahan BCAA boleh membantu membetulkan ketidakseimbangan ini dan menyokong otot menyingkirkan ammonia daripada darah, yang boleh membantu memperbaik fungsi otak.

BCAA ialah asid amino dengan struktur kimia tertentu dan penting untuk mengekalkan jisim otot dan menyokong isyarat otak yang normal. Oleh kerana peranan ini, penambahan BCAA boleh membantu orang dengan ensefalopati hepatik.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada BCAA adalah rawatan yang berkesan dan selamat untuk orang dengan ensefalopati hepatik dan sirosis. Kami berminat untuk mengetahui jika ia membuat sebarang perbezaan kepada hasil-hasil: kematian, perkembangan atau progresi ensefalopati hepatik, kejadian tidak diingini yang serius atau berbahaya (juga dikenali sebagai 'kejadian buruk'), kualiti hidup, dan penanda status nutrisi.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan BCAA dengan rawatan lain, termasuk plasebo (ubat tidak aktif atau 'dummy'), tiada intervensi, diet, laktulosa (gula cecair yang sering digunakan untuk merawat sembelit), atau neomycin (sejenis antibiotik) bagi orang dengan ensefalopati hepatik dan sirosis.

Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 18 kajian melibatkan 934 orang dewasa. Para peserta menghidap sirosis, setingkali disebabkan oleh penyakit hati alkoholik atau hepatitis virus (jangkitan hati disebabkan oleh virus). Purata umur peserta adalah antara 47 hingga 64 tahun. Peratus lelaki dalam kajian-kajian tersebut adalah di antara 47% hingga 90%. Tempoh susulan kajian adalah antara empat hari hingga dua tahun. Sepuluh kajian telah dijalankan di Eropah, empat di Asia, dua di Amerika Syarikat, dan masing-masing satu di Brazil dan Australia. Kami tidak menemui sebarang kajian melibatkan kanak-kanak.

Keputusan utama

Analisis kami menunjukkan BCAA:

  • boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan orang yang mati, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti;

  • boleh mengurangkan bilangan orang yang mendapat ensefalopati hepatik atau keadaan menjadi bertambah buruk;

  • boleh meningkatkan risiko loya dan cirit-birit, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.

Bukti tentang kesan BCAA terhadap penanda status nutrisi adalah sangat tidak pasti. Kami tidak dapat menganalisis bukti tentang kualiti hidup orang kerana cara kajian menilai hasil ini, dan kerana beberapa kajian memasukkan peserta yang tiada ensefalopati hepatik.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin dengan bukti tersebut kerana kebanyakan kajian tidak memberi cukup maklumat untuk menilai sejauh mana ia direka bentuk atau dijalankan. Kami juga ada kebimbangan tentang kemungkinan pelaporan selektif iaitu apabila sesebuah kajian hanya berkongsi sebahagian daripada hasilnya, yang boleh memberi gambaran yang mengelirukan tentang kesan sebenar rawatan. Di samping itu, kebanyakan kajian adalah kecil.

Adakah bukti ini yang terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan yang terdahulu dari 2017. Bukti ini terkini sehingga 12 Disember 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti.Manipal Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Aamann L, Deshpande N, Dam G, Les I, Marchesini G, Borre M, Aagaard NK, Vilstrup H, Gluud LL. Branched-chain amino acids for people with cirrhosis and hepatic encephalopathy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 1. Art. No.: CD001939. DOI: 10.1002/14651858.CD001939.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan