Langkau ke kandungan utama

Adakah antibiotik Aminoglikosida, vancomycin, dan metronidazole membantu mereka yang menghidapi sirosis dan ensefalopati hepatik, iaitu gangguan otak yang berkaitan dengan penyakit hati kronik ?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Antibiotik-antibiotik yang sebelum ini dianggap dapat membantu mereka yang menghidapi sirosis mengawal risiko ensefalopati hepatik, nampaknya tidak memberi manfaat untuk keadaan ini.

  • Antibiotik-antibiotik ini mungkin mengakibatkan lebih banyak kesan sampingan berbanding rawatan yang lain untuk keadaan ini.

  • Kajian diperlukan untuk menentukan sama ada gabungan antibiotik ini dengan rawatan yang lain mungkin bermanfaat.

Apakah itu sirosis dan ensefalopati hepatik?

Sirosis ialah keadaan jangka panjang di mana meninggalkan parut yang teruk pada hati. Hati berfungsi membantu membersihkan darah, memproses nutrien dan melawan jangkitan. Apabila ia rosak berulang kali dari semasa ke semasa, tisu parut yang terbentuk menjadikan ia lebih sukar untuk berfungsi dengan baik.

Pesakit sirosis berkemungkinan untuk mendapat ensefalopati hepatik, satu keadaan di mana fungsi otak menjadi lemah. Sebab-sebab mengapa individu menghidap ensefalopati hepatik adalah kompleks, tetapi pengumpulan toksin dari usus ke dalam darah, terutamanya sejenis sebatian yang dipanggil ammonia, memainkan peranan yang penting. Ammonia dihasilkan di dalam usus hasil daripada aktiviti bakteria dalam usus.

Bagaimanakah antibiotik berfungsi dalam ensefalopati hepatik?

Antibiotik ialah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Ia berfungsi dengan membunuh bakteria atau menghentikan pertumbuhannya. Antibiotik tertentu boleh mengurangkan tahap ammonia dalam darah dengan mengganggu penghasilan ammonia di dalam usus. Antibiotik-antibiotil ini telah digunakan untuk merawat ensefalopati hepatik selama bertahun-tahun, tetapi bukti bahawa ia membantu dalam perawatan ini adalah tidak jelas. Antibiotik yang dibincangkan dalam ulasan ini adalah:

  • aminoglikosida (neomycin, paromomycin, dan ribostamycin);

  • vancomycin;

  • metronidazole.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada antibiotik-antibiotik ini membantu mencegah atau merawat ensefalopati hepatik di kalangan mereka yang mempunyai sirosis. Kami menganalisis kesannya terhadap bilangan pesakit yang meninggal dunia, mereka yang gejala ensefalopati hepatiknya bertambah baik atau gagal menunjukkan perubahan, dan bilangan pesakit yang mengalami komplikasi serius atau tidak serius.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan aminoglikosida, vancomycin, atau metronidazole dengan:

  • plasebo – ubat yang tidak aktif atau 'tiruan';

  • disakarida yang tidak boleh diserap – gula yang bertindak terutamanya di dalam usus, dan biasanya digunakan untuk merawat beberapa masalah pencernaan dan masalah hati;

  • antibiotik yang lain;

  • agen aktif yang lain yang boleh membantu keadaan ini.

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 24 kajian yang melibatkan 1405 peserta. Daripada jumlah ini, 23 kajian menilai rawatan ensefalopati hepatik, dan satu kajian mengkaji pencegahan ensefalopati hepatik di kalangan golongan mereka yang berisiko.

Kami menemui bukti untuk perbandingan berikut:

  • aminoglikosida berbanding dengan plasebo, disakarida yang tidak boleh diserap, jenis antibiotik yang lain dan agen aktif yang lain – berjumlah 19 kajian semuanya;

  • vancomycin berbanding dengan disakarida yang tidak boleh diserap – 2 kajian;

  • metronidazole berbanding agen aktif yang lain – 3 kajian.

Keputusan utama

Kematian

  • Aminoglikosida berkemungkinan meningkatkan sedikit risiko kematian dibandingkan dengan agen aktif yang lain.

  • Kami tidak tahu sama ada aminoglikosida memberi sebarang perbezaan kepada risiko kematian jika dibandingkan dengan plasebo, disakarida yang tidak boleh diserap dan antibiotik yang lain.

  • Kami juga tidak tahu sama ada terdapat perbezaan dalam risiko kematian antara:

    • vancomycin dan disakarida yang tidak boleh diserap;

    • metronidazole dan bahan aktif yang lain .

Ensefalopati hepatik: Bilangan pesakit dimana ensefalopati hepatik tidak bertambah baik

  • Aminoglikosida mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan pesakit yang keadaannya bertambah baik dibandingkan dengan disakarida yang tidak boleh diserap dan bahan aktif yang lain.

  • Metronidazole mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan pesakit yang keadaannya bertambah baik dibandingkan dengan bahan aktif yang lain.

  • Kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan dalam bilangan pesakit yang keadaan bertambah baik apabila dibandingkan:

    • Aminoglikosida kepada plasebo atau antibiotik yang lain;

    • vancomycin kepada disakarida yang tidak boleh diserap.

Komplikasi yang serius

  • Aminoglikosida boleh meningkatkan sedikit risiko komplikasi serius dibandingkan dengan agen aktif yang lain .

  • Kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan dalam komplikasi serius apabila membandingkan:

    • Aminoglikosida kepada plasebo atau antibiotik yang lain;

    • vancomycin kepada disakarida yang tidak boleh diserap.

Komplikasi yang tidak serius

  • Aminoglikosida boleh meningkatkan sedikit risiko komplikasi yang tidak serius dibandingkan plasebo atau antibiotik yang lain.

  • Kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan dalam risiko komplikasi yang tidak serius apabila membandingkan:

    • Aminoglikosida kepada disakarida yang tidak boleh diserap atau agen aktif yang lain;

    • metronidazole kepada agen aktif yang lain;

    • vancomycin kepada disakarida yang tidak boleh diserap.

Hanya satu kajian, menggunakan metronidazole, melaporkan kualiti hidup berkaitan kesihatan, jadi kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan untuk hasil ini.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami kurang yakin atau langsung tidak yakin dengan hasil ulasan tersebut kerana peserta dan para penyelidik dalam beberapa kajian mengetahui rawatan yang diterima oleh peserta, yang berkemungkinan telah mempengaruhi keputusan tersebut, manakala beberapa kajian tidak melaporkan hasil yang kami cari. Kajian-kajian tersebut secara keseluruhannya berskala kecil, dan berbeza dari segi cara ia dijalankan. Jumlah kajian yang dijalankan adalah sangat sedikit untuk memastikan dapatan hasil.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti ini dikemas kini sehingga 15 April 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Jeyaraj R, Zacharias HD, Vadera S, Low ZY, Gluud LL, Morgan MY. Aminoglycosides, vancomycin, and metronidazole for people with cirrhosis and hepatic encephalopathy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 2. Art. No.: CD012734. DOI: 10.1002/14651858.CD012734.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan