Mesej utama
Tusukan vena (memasukkan jarum ke dalam vena) mungkin kurang menyakitkan berbanding tusukan tumit (menggunakan alat khas untuk menusuk kulit) untuk bayi- bayi baru lahir apabila sampel darah diambil, dengan atau tanpa air gula untuk melegakan sakit, dan mungkin mengurangkan keperluan untuk lebih daripada satu tusukan kulit apabila tiada air gula diberikan untuk melegakan sakit.
Kami tidak tahu sama ada tusukan vena mengurangkan keperluan untuk lebih daripada satu tusukan kulit dibandingkan dengan tusukan tumit apabila air gula diberikan untuk melegakan sakit.
Kami memerlukan kajian yang direka bentuk dengan lebih baik dan lebih besar yang melaporkan sepenuhnya keputusannya untuk menunjukkan kaedah mana yang lebih baik untuk bayi.
Mengapakah kita mengambil sampel darah daripada bayi-bayi baru lahir ?
Di kebanyakan negara, sampel darah daripada bayi-bayi baru lahir diperlukan untuk ujian saringan rutin. Sampel darah juga mungkin diperlukan untuk ujian darah yang lain bagi mendiagnosis dan mengurus penyakit, seperti jaundis atau gula darah rendah (hipoglikemia). Walau bagaimanapun, mengambil darah daripada bayi adalah menyakitkan. Sakit yang tidak dirawat pada bayi-bayi baru lahir boleh menjejaskan pertumbuhan fizikal dan perkembangan otak mereka. Larutan gula manis (seperti sukrosa) boleh diberikan kepada bayi sebelum prosedur, yang membantu mengurangkan sakit. Sukar untuk mengukur sakit pada bayi, tetapi kita bergantung pada perkara seperti ekspresi muka, tangisan, dan perubahan kadar degupan jantung untuk menilai tahap kesakitan mereka.
Bagaimanakah sampel darah diambil?
Tusukan vena
Tusukan vena ialah kaedah pengambilan sampel darah di mana seseorang menggunakan jarum untuk menusuk terus ke dalam vena. Orang yang melakukan ini mestilah terlatih untuk membantu memastikan mereka berjaya mengambil sampel darah. Teknik ini sering digunakan apabila 1 mL atau lebih darah diperlukan, dan untuk mencegah tusukan berulang pada kulit dan komplikasi yang berkaitan (seperti jangkitan kulit) daripada tusukan tumit.
Tusukan tumit
Tusukan tumit ialah cara piawai untuk mengambil sampel darah daripada bayi baru lahir di hospital-hospital di seluruh dunia. Ia biasanya digunakan apabila sampel darah yang diperlukan kurang daripada 1 mL. Ia tidak memerlukan latihan atau kepakaran khas untuk kegunaan yang berjaya. Prosedur ini melibatkan tusukan kecil (antara 1 mm dan 2 mm dalam) pada tumit kaki menggunakan lanset, yang biasanya merupakan peranti automatik. Selepas tusukan, tumit bayi dipicit untuk mengambil sampel darah yang diperlukan, yang menyebabkan sakit selanjutnya.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui:
Sama ada venepuncture kurang menyakitkan berbanding tusukan tumit untuk bayi-bayi baru lahir; dan
Prosedur yang manakah paling berkesan pada kali pertama, supaya tusukan kulit kedua tidak diperlukan.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan venipuncture dan tusukan tumit untuk mengambil sampel darah pada bayi baru lahir. Kajian-kajian tersebut diperlukan untuk mengukur tindak balas sakit dan bilangan tusukan kulit yang diperlukan untuk sampel yang berjaya. Mereka juga perlu merekodkan sama ada bayi diberi larutan gula sebagai pelega sakit. Bayi dalam kajian tersebut mestilah sihat dan dilahirkan cukup bulan. Kami bandingkan dan merumuskan keputusan daripada kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menyertakan lapan kajian yang melibatkan 826 bayi baru lahir yang cukup bulan. Tiga kajian dijalankan di Sweden, dan masing-masing satu di Jepun, Malaysia, Nepal, Sepanyol dan UK.
Apabila tiada larutan yang rasa manis diberikan:
Tusukan vena mungkin menyebabkan kurang sakit dibandingkan tusukan tumit (6 kajian, 488 bayi); dan
Tusukan vena mungkin mengurangkan keperluan untuk lebih daripada satu tusukan kulit dibandingkan dengan tusukan tumit (6 kajian , 397 bayi).
Apabila larutan yang rasa manis diberikan:
Tusukan vena mungkin menyebabkan kurang sakit dibandingkan tusukan tumit (3 kajian, 170 bayi); dan
Kami tidak pasti tentang kesan tusukan vena dibandingkan dengan tusukan tumit terhadap keperluan untuk lebih daripada satu tusukan kulit (2 kajian, 110 bayi).
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad, dan berada dalam julat dari sederhana hingga sangat rendah. Ini kerana semua kajian mempunyai batasan dalam cara ia dijalankan. Ini disertakan isu-isu tentang bagaimana bayi ditugaskan kepada setiap kumpulan, bagaimana kajian melaporkan keputusannya, dan bilangan bayi disertakan dalam kajian. Di samping itu, orang yang melakukan prosedur mengetahui kaedah persampelan yang menerima oleh setiap bayi, yang boleh mempengaruhi cara kajian dinilai sakit.
Adakah bukti ini yang terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan Cochrane kami pada 2011. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Jacelyn Ong Jia Whey (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




