Mesej utama
-
Intervensi berasaskan mesej pesanan ringkas berbanding tiada sokongan atau sokongan minimum boleh membantu orang muda berhenti menggunakan vape, dan varenicline berbanding tiada sokongan atau sokongan minimum boleh membantu orang berhenti menghisap vape; walau bagaimanapun, lebih banyak bukti diperlukan.
-
Kami memerlukan lebih banyak maklumat tentang intervensi lain yang boleh membantu individu yang hendak berhenti menggunakan vape.
-
Kami perlukan lebih banyak informasi tentang apa-apa kemudaratan yang mungkin ada pada intervensi dan sama ada ia akan mempengaruh bilangan orang yang merokok tembakau.
Apakah vape yang mengandungi nikotin?
Vape (juga dikenali sebagai rokok elektronik atau e-rokok) adalah sejenis alat genggam yang memanaskan cecair mengandungi nikotin dan perasa. Cecair disimpan dalam kartrij pakai buang atau isi semula, takungan, atau 'pod'. Peranti vape membolehkan pengguna untuk menyedut nikotin dalam bentuk wap dan bukannya asap. Oleh kerana vape tidak membakar apa-apa tembakau, ia dapat mengelak pengguna daripada terdedah kepada pada bahan-bahan yang membahayakan kesihatan berbanding orang yang menggunakan rokok tembakau. Walau bagaimanapun, penggunaan vape berkemungkinan mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada tidak menggunakan vape. Sesetengah orang menggunakan vape yang mengandungi nikotin untuk membantu mereka berhenti merokok; walau bagaimanapun, sesetengah orang yang menggunakan vape nikotin tidak pernah merokok. Pengguna vape yang berhasrat untuk berhenti menggunakan vape mungkin berasa sukar oleh kerana ketagihan nikotin.
Apakah intervensi yang boleh membantu individu untuk berhenti menggunakan vape?
Ubat-ubatan termasuk terapi penggantian nikotin (gusi, tompok, dll.), varenicline, bupropion, dan cytisine boleh digunakan untuk menghentikan penggunaan vape. Kaedah-kaedah ini telahpun digunakan untuk membantu orang berhenti merokok. Intervensi yang diarahkan pada tingkah laku pengguna vape termasuk kaunseling, mesej pesanan ringkas atau sokongan atas talian, program pengurangan penggunaan vape dan maklumat bercetak. Dalam ulasan ini, kami meneliti penggunaan ubat dan intervensi tingkah laku.
Apakah yang kami ingin tahu?
Nasihat tentang cara-cara terbaik untuk menghentikan penggunaan vape nikotin adalah terhad. Oleh itu, kami mengumpulkan maklumat terkini untuk melihat kaedah yang telah diuji untuk tujuan ini dan sama ada ia boleh membantu orang untuk menghentikan vape. Kami juga meneliti sebarang kemudaratan yang mungkin ada pada intervensi-intervensi ini, termasuk sama ada ia boleh menyebabkan lebih ramai orang menggunakan tembakau.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melibatkan sebarang intervensi yang direka untuk menyokong individu yang ingin berhenti menggunakan vape nikotin.
Kami menyertakan kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima ditentukan secara rawak. Kajian seperti ini biasanya memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai kesan rawatan.
Kami berminat untuk mengetahui:
-
berapa ramai orang berhenti menggunakan vape nikotin sekurang-kurangnya enam bulan selepas kajian bermula;
-
sebarang perubahan dalam penggunaan rokok tembakau sekurang-kurangnya enam bulan selepas permulaan pengajian;
-
berapa ramai orang yang mengalami kesan rawatan tidak diingini, sekurang-kurangnya seminggu selepas rawatan dimulakan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui sembilan kajian, termasuk 5209 peserta yang menggunakan vape yang mengandungi nikotin. Lapan kajian dijalankan di Amerika Syarikat dan satu di Itali. Rawatan yang digunakan untuk membantu orang menghentikan vape ialah:
-
dua jenis terapi penggantian nikotin yang digunakan bersama, seperti nikotin tampal dan gula-gula getah nikotin (dikenali sebagai terapi penggantian nikotin gabungan);
-
cytisine (ubat untuk membantu individu untuk berhenti merokok);
-
varenicline (ubat untuk membantu individu untuk berhenti merokok);
-
rancangan untuk membantu orang mengurang kandungan nikotin dalam vape mereka dan jumlah yang mereka vape dari semasa ke semasa;
-
intervensi berasaskan mesej pesanan ringkas.
Apakah keputusan ulasan kami?
Intervensi berasaskan mesej pesanan ringkas boleh membantu lebih ramai orang muda (13 hingga 24 tahun) berhenti menggunakan vape berbanding tiada sokongan atau sokongan minimum. Varenicline juga boleh membantu orang berhenti menggunakan vape. Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk menyatakan sama ada mana-mana intervensi adalah lebih baik untuk membantu individu untuk berhenti menggunakan vape daripada tiada atau sokongan minimum.
Tidak ada maklumat yang mencukupi tentang potensi kemudaratan rawatan, kerana jumlah kajian yang melaporkan kesan sampingan serius adalah sedikit. Tiada kajian yang melaporkan jika intervensi yang dikaji menjejaskan bilangan orang merokok tembakau selepas enam bulan.
Sejauh mana keputusan ini boleh dipercayai?
Sukar bagi kami untuk membuat kesimpulan. Hal ini kerana keputusan ulasan ini adalah berdasarkan kajian dan peserta yang berskala kecil.
Kami menemui beberapa bukti bahawa golongan belia dan dewasa muda berkemungkinan tinggi untuk berhenti menggunakan vape nikotin dengan penggunaan intervensi berasaskan mesej pesanan ringkas daripada tiada sokongan atau sokongan minimum. Walau bagaimanapun, kedua-dua kajian ini menguji intervensi pesanan mesej yang sama. Kami tidak tahu sama ada intervensi yang dijalankan ke atas golongan dewasa yang lebih tua dapat menghasilkan keputusan yang sama. Kami juga menemui beberapa bukti bahawa vareniklin boleh membantu lebih ramai individu untuk berhenti menggunakan vape nikotin daripada tiada atau sokongan yang minimum. Walau bagaimanapun, lebih banyak bukti diperlukan. Namun, ia boleh mengubah kesimpulan ulasan kami.
Kebanyakan kajian kurang atau tidak melaporkan apa-apa kesan tidak diingini yang ada pada intervensi. Hal ini menyukarkan kami untuk membuat kesimpulan yang jelas tentang sama ada mana-mana intervensi tersebut menyebabkan kesan sampingan yang serius. Lebih banyak kajian dan peserta diperlukan untuk mendapatkan informasi yang lebih tepat.
Hanya satu kajian menguji intervensi dan mengukur hasil. Sukar bagi kami untuk membuat kesimpulan tentang intervensi mana yang paling berkesan dan selamat apabila terdapat isu dengan kualiti kajian.
Kajian yang lebih mendalam sedang dijalankan yang akan membantu kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang intervensi yang boleh digunakan untuk membantu individu untuk berhenti menggunakan vape nikotin.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kami sertakan bukti yang diterbitkan sehingga 24 April 2024. Kami akan menjalankan carian bulanan dan mengemas kini ulasan ini apabila maklumat baharu akan menguatkan atau mengubah kesimpulan kami.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Afrina Ariff (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).