Intervensi untuk meningkatkan pengambilan vaksin COVID-19

Latar belakang

Vaksin berkesan dalam mencegah kematian atau penyakit serius akibat COVID-19, penyakit yang hanya mempunyai sedikit rawatan yang tersedia. Vaksinasi secara meluas terhadap COVID-19 mungkin boleh melindungi mereka yang belum dapat vaksin. Walau bagaimanapun, ramai orang tidak mahu mendapatkan vaksin COVID-19. Ini boleh mengakibatkan mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi kepada penyakit serius dan kematian.

Apakah matlamat kami?

Kami ingin mengetahui intervensi untuk meningkatkan pengambilan vaksin COVID-19 yang telah atau sedang dinilai.

Kaedah-kaedah

Kami mencari pangkalan data perubatan dan pendaftaran kajian sehingga 11 Oktober 2021. Kami menyertakan semua kajian yang menyiasat intervensi-intervensi untuk meningkatkan pengambilan vaksin COVID-19. Kami mengecualikan kajian yang melihat vaksin lain, sebagai contohnya campak. Kami memasukkan semua bentuk kajian asalkan mereka mempunyai lebih daripada 100 peserta.

Sebaik sahaja kami menjumpai kajian, kami mengkategorikan intervensi kepada kumpulan berikut: intervensi komunikasi, intervensi dasar, intervensi untuk meningkatkan akses, intervensi pendidikan, insentif, dan intervensi pelbagai dimensi. Kami meringkaskan hasil-hasil dalam peta skop interaktif. Tambahan pula, kami memetakan hasil kajian, negara tempat kajian dijalankan, populasi kajian, dan reka bentuk kajian.

Keputusan

Kami menyertakan 96 kajian dalam pemetaan bukti, 35 daripadanya sedang berjalan dan 61 kajian dengan hasil diterbitkan. Intervensi yang diuji dalam kajian-kajian ini sangat pelbagai. Banyak kajian menggunakan strategi komunikasi untuk meyakinkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin terhadap COVID-19. Intervensi yang merangkumi maklumat mengenai vaksinasi atau campuran strategi yang berbeza juga sering digunakan.

Majoriti kajian telah dijalankan di negara-negara berbahasa Inggeris di utara global, contohnya, Amerika Syarikat. Tambahan pula, kebanyakan kajian menyiasat intervensi digital dalam tetapan melalui talian. Populasi yang ditangani berbeza daripada kajian-kajian. Sebagai contoh, kajian menangani pekerja penjagaan kesihatan, etnik minoriti di Amerika Syarikat, pelajar, tentera, penduduk kampung, pesakit berisiko, atau penduduk umum.

Untuk gambaran keseluruhan, sila lihat peta skop interaktif (https://tinyurl.com/2p9jmx24).

Kesimpulan

Kami mengenal pasti sejumlah besar kajian yang menyiasat cara meningkatkan pengambilan vaksin COVID-19. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan dengan fokuskan kepada negara berpendapatan rendah-sederhana dan pada kanak-kanak. Penyelidikan masa depan harus membandingkan keberkesanan intervensi yang berbeza untuk meningkatkan pengambilan vaksin COVID-19.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information