Kesan pemantauan dan promosi pertumbuhan pada kanak-kanak di bawah lima tahun di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana

Apakah pemantauan dan promosi pertumbuhan?

Ramai kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang tinggal di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana tidak menerima nutrisi yang mencukupi. Ini boleh menyebabkan peningkatan penyakit, perkembangan mental yang terjejas (yang mengurangkan prestasi sekolah dan pekerjaan pada hari kemudian) dan kematian. Pemantauan dan promosi pertumbuhan (GMP) ialah intervensi yang kompleks di mana ianya melibatkan pengukuran pertumbuhan kanak-kanak secara berkala dan memplot ukuran pada carta, digabungkan dengan aktiviti promosi nutrisi yang berbeza. Walau bagaimanapun, tiada panduan piawai yang menjelaskan cara untuk melaksanakan GMP atau cara untuk merancang aktiviti promosi, dan tujuan GMP itu masih tidak jelas.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami bertujuan untuk menilai keberkesanan GMP kanak-kanak dalam mengenalpasti dan mengatasi pertumbuhan yang lambat, menambahbaik amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak, serta mempromosi hubungan dan penggunaan perkhidmatan kesihatan pada kanak-kanak di bawah lima tahun di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data berbeza yang mengandungi kedua-dua keputusan yang telah terbit dan belum terbit. Kami memasukkan kajian rawak terkawal (di mana penyelidik secara rawak memperuntukkan peserta kepada kumpulan rawatan yang berbeza); kajian terkawal sebelum-selepas (di mana penyelidik mengukur keputusan dalam kumpulan rawatan yang berbeza sebelum dan selepas intervensi untuk melihat sama ada mereka telah berubah); dan kajian kohort (di mana penyelidik memantau orang dengan dan tanpa pendedahan tertentu dari semasa ke semasa; dalam kes ini pendedahan itu ialah GMP). Kami menggabungkan keputusan secara naratif untuk memberikan gambaran keseluruhan penemuan.

Apa yang kami temui?

Kami memasukkan enam kajian. Ia telah dijalankan di kawasan luar bandar yang kurang sumber dengan tahap malnutrisi yang tinggi. Kami mengumpulkan penemuan mengikut jenis intervensi, yang berbeza-beza merentasi kajian.

Keputusan utama

Bukti mengenai keberkesanan GMP adalah terhad dan tidak pasti.

Program GMP dijalankan di pusat kesihatan komuniti dan ruang pertemuan berbanding penjagaan standard

Tiga kajian menilai impak program GMP yang disampaikan di pusat kesihatan komuniti dan ruang pertemuan berbanding penjagaan standard.

Apabila melihat amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak pada umur 24 bulan, kami tidak pasti sama ada GMP mempunyai kesan terhadap peratusan bayi yang diberi minuman selain susu ibu pada awalnya (ini berlaku bagi 49.7% bayi dalam kumpulan GMP dan 70.5% bayi dalam kumpulan kawalan dalam satu kajian). Apabila melihat penggunaan perkhidmatan kesihatan pada umur 24 bulan, kami tidak pasti sama ada GMP mempunyai kesan terhadap peratusan kanak-kanak yang menerima vitamin A (72.5% dalam kumpulan GMP dan 62.9% dalam kumpulan kawalan dalam satu kajian), atau peratusan kanak-kanak yang menerima ubat cacing (29.2% dalam kumpulan GMP dan 14.6% dalam kumpulan kawalan dalam satu kajian). Tiada kajian melaporkan pertumbuhan kanak-kanak pada 12 atau 24 bulan, amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak pada 12 bulan, atau penggunaan perkhidmatan kesihatan pada 12 bulan.

Program GMP yang dijalankan di pusat kesihatan komuniti dan ruang pertemuan, yang memberikan makanan tambahan kepada kanak-kanak, berbanding dengan penjagaan standard

Dua kajian menilai kesan program GMP yang dijalankan di pusat kesihatan komuniti dan ruang pertemuan, yang memberikan makanan tambahan kepada kanak-kanak, berbanding dengan penjagaan standard.

Apabila melihat pertumbuhan bayi dan kanak-kanak pada umur 12 bulan, kami tidak pasti sama ada GMP menyebabkan perbezaan pada purata berat-untuk-umur (satu kajian), dan GMP mungkin menyebabkan tiada atau sedikit perbezaan pada purata tinggi-untuk-umur (satu kajian). Dua kajian melaporkan pelbagai ukuran hasil yang berkaitan dengan amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak pada umur 12 bulan, dan kami tidak pasti sama ada GMP mempunyai kesan. Tiada kajian yang melaporkan penggunaan perkhidmatan kesihatan pada umur 12 atau 24 bulan, amalan pemakanan pada umur 24 bulan, atau pertumbuhan bayi dan kanak-kanak pada umur 24 bulan.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti ini kerana kami mempunyai kebimbangan serius tentang kebolehpercayaan keputusan yang dilaporkan. Ini kerana dalam semua kajian, adalah mungkin bahawa peserta tahu kumpulan rawatan mana yang diperuntukkan kampung mereka sebelum mereka memilih untuk menyertai. Penemuan perlu ditafsirkan dengan berhati-hati.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 3 November 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information