Mesej-mesej utama:
- Orang yang sukar berjalan akibat sakit yang disebabkan kurang aliran darah di kaki boleh dirawat dengan pembedahan untuk melancarkan aliran darah. Penambahan program senaman dalam rawatan ini boleh membantu mereka berjalan lebih jauh berbanding dengan hanya menjalani pembedahan, tetapi kami sangat tidak pasti disebabkan bukti yang berkualiti rendah.
- Kami tidak dapat mengetahui sama ada menambah senaman membantu meningkatkan aliran darah anggota bawah badan, jarak yang orang boleh berjalan tanpa rasa sakit, kualiti hidup, keperluan untuk pembedahan berulang atau kadar kematian.
- Kajian melibatkan sedikit peserta secara relatifnya dan mempunyai banyak kelemahan metodologi, yang bermakna keputusannya mungkin tidak cukup tepat. Kami memerlukan lebih banyak bukti berkualiti tinggi untuk yakin bahawa menambah program senaman selepas pembedahan memperbaik kesan kesihatan yang penting bagi orang dengan penyakit arteri periferal.
Apakah itu penyakit arteri periferal (PAD)?
PAD adalah keadaan di mana saluran darah di kaki menjadi sempit atau tersumbat, menyebabkan darah sukar untuk mengalir. Keadaan ini boleh mengakibatkan sakit atau sengal pada kaki apabila individu berjalan, dan dalam kes yang teruk, hal ini boleh membawa kepada masalah seperti sakit semasa berehat dan luka yang tidak akan sembuh, malah boleh membawa kepada amputasi (sebahagian daripada kaki dipotong).
Orang yang mengalami gejala PAD biasanya dirawat dengan ubatan dan senaman untuk membantu mencegahnya daripada menjadi lebih teruk. Namun, ini tidak memadai dalam sesetengah kes dan pembedahan diperlukan untuk meningkatkan aliran darah.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin melihat sama ada menambahkan senaman ke dalam rutin pesakit selepas pembedahan untuk PAD akan memanfaatkan mereka lebih daripada sekadar menjalani pembedahan sahaja. Kami menilai ini dengan melihat jarak orang boleh berjalan sebelum perlu berhenti, jarak mereka boleh berjalan tanpa rasa sakit, aliran darah di kaki, kualiti hidup, keperluan untuk mengulang pembedahan dan kadar kematian.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan peserta yang bersenam selepas pembedahan untuk meningkatkan aliran darah di kaki mereka dengan mereka yang sekadar menjalani pembedahan sahaja. Di mana munasabah, kami menggabungkan keputusan kajian untuk melihat kesan rawatan bagi kumpulan orang yang lebih besar.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 7 kajian yang melibatkan sejumlah 376 peserta. Kajian menunjukkan keputusan berbeza. Secara individu, beberapa kajian menunjukkan tiada perbezaan dalam jarak peserta boleh berjalan, dan beberapa kajian lagi menunjukkan peningkatan dengan senaman.
Bagi kebanyakan keputusan yang dimahukan, kami hanya dapat menggabungkan keputusan daripada dua kajian sahaja. Untuk kadar kematian dan kadar pembedahan berulang, kami dapat menggabungkan keputusan dari 6 dan 5 kajian, masing-masing.
Apabila digabungkan, bukti menunjukkan bahawa penambahan rawatan senaman boleh meningkatkan jarak berjalan maksimum, tetapi kami sangat tidak pasti. Kami juga sangat tidak pasti sama ada senaman tambahan yang diawasi selepas pembedahan dibandingkan dengan pembedahan sahaja mempunyai kesan terhadap jarak orang boleh berjalan tanpa sebarang sakit atau jumlah jarak yang mereka boleh berjalan dalam masa 6 minit. Kami juga sangat tidak pasti sama ada senaman tambahan yang diawasi mempunyai kesan terhadap aliran darah anggota bawah badan, kualiti hidup, keperluan untuk pembedahan berulang atau kematian.
Secara keseluruhannya, kami tidak dapat memastikan sama ada menambah rawatan senaman selepas pembedahan untuk PAD berguna untuk orang ramai, dan lebih banyak kajian diperlukan untuk menjawab persoalan ini. Walau bagaimanapun, tiada kajian menunjukkan bahawa latihan senaman yang diawasi membahayakan pesakit selepas pembedahan untuk PAD. Oleh itu, menambah latihan senaman selepas pembedahan nampaknya selamat.
Apakah batasan bukti?
Terdapat benyak batasan dalam bukti yang kami mengulas. Kajian yang kami sertakan mempunyai masalah dengan bagaimana ia direka dan dilaksanakan, yang mungkin bermakna keputusannya tidak tepat. Sebagai contoh, sesetengah kajian meletakkan had masa pada latihan senaman peserta, menjadikan ianya mencabar untuk memahami impak sebenar penambahan senaman selepas pembedahan dan kesannya terhadap hasil utama.
Tidak semua kajian menyediakan data mereka dengan cara yang berguna, yang boleh menjadi masalah penting bagi para penyelidik yang cuba memahami penemuan kajian. Hal ini menjadikan ianya sukar untuk menilai kualiti kajian dengan sepenuhnya. Bilangan orang yang disertakan di dalam kajian yang ada juga agak kecil.
Semua faktor ini mengehadkan keupayaan kami untuk menggabungkan kajian bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang kesan keseluruhan yang mereka ukur.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 14 Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).