Memasukkan implan kontraseptif semasa sesi rawatan pengguguran kandungan atau semasa rawatan susulan

Soalan ulasan

Kami membandingkan kadar pengambilan, keberkesanan dan kesan sampingan pemasukan implan kontraseptif (implan perancang keluarga) semasa sesi rawatan pengguguran kandungan dengan penangguhan pemasukan implan semasa rawatan susulan.

Latar belakang

Implan kontraseptif adalah suatu kaedah yang sangat berkesan untuk merancang keluarga dan ianya adalah kaedah boleh dikawal dan dapat mencegah kehamilan dalam jangka masa yang panjang. Kaedah ini sesuai untuk hampir semua wanita, termasuklah wanita yang kehamilannya berakhir dengan keguguran atau pengguguran kandungan. Disebabkan ramai wanita yang tidak kembali untuk rawatan susulan selepas pengguguran kandungan dan kadar pengambilan kontraseptif yang rendah, pemasukan implan kontraseptif semasa sesi rawatan pengguguran kandungan adalah suatu pendekatan yang patut dipertimbangkan.

Ciri-ciri kajian

Kami meneliti kajian-kajian rawak terkawal yang mana para peserta telah diagihkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan sehingga Mac 2021. Kami mengkaji sama ada pemasukan implan kontraseptif semasa sesi rawatan pengguguran kandungan berbanding dengan pada masa wanita kembali untuk rawatan susulan mempengaruhi penggunaan kaedah kontraseptif ini. Kami memasukkan tiga kajian dengan sejumlah 1162 wanita memilih implan kontraseptif selepas pengguguran kandungan yang telah diagihkan kepada pemasukan segera semasa sesi rawatan tersebut atau semasa rawatan susulan.

Hasil utama

Penggunaan implan kontraseptif mungkin lebih tinggi apabila ia dimasukkan semasa sesi rawatan pengguguran kandungan. Bukti menyarankan bahawa pemasukan segera implan kontraseptif mungkin meningkatkan kadar pengambilannya. Namun, pemasukan segera implan kontraseptif mungkin hanya meningkatkan sedikit kadar penggunaannya pada waktu enam bulan selepas pengguguran. Tidak ada atau hanya sedikit perbezaan antara kumpulan rawatan dalam kadar keseluruhan kegagalan pengguguran kandungan secara perubatan dan kesan sampingan pendarahan pada waktu sebulan selepas pengguguran kandungan. Bukti juga menunjukkan bahawa pemasukan segera implan kontraseptif berkemungkinan mengurangkan kadar kehamilan yang tidak diingini dalam tempoh enam bulan selepas pengguguran kandungan.

Kepastian bukti

Secara keseluruhannya, kepastian bukti adalah antara sederhana hingga sangat rendah. Lebih banyak lagi kajian-kajian rawak terkawal yang berkualiti tinggi dan dirancang dengan rapi akan dapat memberikan keputusan kajian yang lebih bermakna untuk kadar kehamilan yang tidak diingini, serta kesan sampingan berikutan pemasangan implan kontraseptif semasa sesi rawatan pengguguran kandungan berbanding dengan pemasukan implan dalam masa enam minggu kemudian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information