Kesan diet kurang gluten atau bebas gluten untuk pencegahan utama penyakit kardiovaskular

Latar belakang

Penyakit kardiovaskular ialah gangguan jantung dan saluran darah, termasuk kejadian koronari dan serebrovaskular akut (seperti infarksi miokardia dan strok). Kira-kira 50% daripada ketidakupayaan akibat penyakit kardiovaskular dikaitkan dengan diet suboptimum. Khususnya, gluten pemakanan (protein yang terdapat dalam bijirin tertentu) telah dikaitkan dengan pelbagai hasil kesihatan yang buruk. Sebagai contoh, gejala gastrousus yang berbeza (seperti malabsorpsi atau cirit-birit) sering berlaku terhadap orang yang terjejas dengan penyakit berkaitan gluten dan satu-satunya rawatan yang berkesan untuk populasi ini ialah diet pengurangan gluten atau bebas gluten yang selalunya sepanjang hayat. Diet kurang gluten dan bebas gluten juga telah mendapat kemahsyuran besar dalam populasi umum. Bukti tentang faedah dan mudarat diet kurang gluten atau bebas gluten dalam populasi umum, bagaimanapun, bercanggah: Walaupun pengelakan gluten mungkin dikaitkan dengan pencegahan penyakit, terdapat juga kebimbangan bahawa diet bebas gluten atau terhad gluten mungkin kurang optimum (disebabkan kurang pengambilan bijirin penuh, komponen utama diet).

Soalan ulasan

Kami mengulas kajian tersedia untuk menentukan kesan (iaitu faedah dan risiko berkaitan kesihatan) diet kurang gluten atau bebas gluten untuk pencegahan utama penyakit kardiovaskular dalam populasi umum.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2021. Kami mengenal pasti satu kajian rawak terkawal (RCT) dan tiga kajian intervensi bukan rawak (NRSI) dengan reka bentuk pemerhatian. RCT dijalankan di Itali dan memasukkan 60 orang dewasa yang sihat dengan susulan selama enam bulan. NRSI memasukkan lebih daripada 450,000 peserta (sama ada profesional kesihatan dari Amerika Syarikat atau orang dewasa (sukarelawan) daripada populasi umum dari UK) dan melaporkan susulan maksimum lebih daripada 25 tahun. Dalam NRSI, pengambilan gluten median terendah ialah 2.6 g/hari dan yang tertinggi ialah 9.4 g/hari (dengan itu, 1 g/hari pengambilan gluten adalah bersamaan dengan setengah keping roti putih). RCT membandingkan diet bebas gluten dengan biasa.

Keputusan utama

Keputusan kami menunjukkan bahawa tidak jelas sama ada pengambilan gluten dikaitkan dengan kematian semua sebab. Tambahan pula, penemuan kami mencadangkan tiada kaitan antara pengambilan gluten dan kedua-dua kematian kardiovaskular dan infarksi miokardia yang tidak membawa maut. Pengambilan gluten yang kurang berbanding dengan yang lebih tinggi mungkin dikaitkan dengan meningkatkan sedikit risiko untuk menghidap diabetes jenis 2 — faktor risiko kardiovaskular utama. Penemuan ini adalah bebas daripada umur, etnik, indeks jisim badan (BMI), sejarah keluarga diabetes, status merokok, pengambilan alkohol, aktiviti fizikal, status menopaus dan penggunaan hormon selepas menopaus, penggunaan kontraseptif oral, penggunaan multivitamin, jumlah pengambilan tenaga, dan pengambilan magnesium, asid folik dan serat bijirin.

Keputusan daripada satu-satunya RCT yang diterbitkan mencadangkan bahawa tidak jelas sama ada pengambilan gluten mempengaruhi tekanan darah sistolik. Selain itu, dalam RCT ini tiada perbezaan antara diet bebas gluten dan biasa ditemui untuk faktor risiko kardiovaskular lain termasuk tekanan darah diastolik, tahap lipoprotein berketumpatan rendah dan BMI.

Tiada kajian melaporkan data tentang kejadian buruk, kualiti hidup atau hasil lain yang berkaitan dengan kesihatan.

Kepastian bukti

Kepastian bukti dalam ulasan ini adalah daripada rendah sehingga sangat rendah. Kajian-kajian ini mempunyai beberapa kelemahan dalam metodologi. Dengan mengambil kira majoriti peserta dari NRSI adalah profesional kesihatan, kebolehgunaan kepada populasi umum juga dipersoalkan. Memandangkan penemuan terhad daripada ulasan ini kebanyakannya berdasarkan kajian pemerhatian, tiada cadangan untuk amalan boleh dibuat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information