Impak ubatan dengan kesan antikolinergik pada masalah masa berkaitan ingatan dan pemikiran

Apakah tujuan ulasan ini?

Ubatan dapat diklasifikasikan berdasarkan kemampuannya untuk menyekat tindakan sistem isyarat kimia di dalam badan yang disebut sebagai sistem kolinergik. Ubatan yang melakukan ini dikatakan mempunyai kesan antikolinergik. Terdapat pelbagai skala pengukuran untuk mengukur kesan ubatan antikolinergik. Kesan keseluruhan antikolinergik yang disebabkan oleh semua ubat antikolinergik yang diambil oleh seseorang disebut sebagai ‘beban antikolinergik.'

Kami bertujuan untuk menyiasat jika orang tua yang tidak mempunyai masalah dengan ingatan atau pemikiran lebih cenderung menghidap demensia apabila diberi ubatan antikolinergik daripada orang yang tidak diberi ubatan tersebut.

Peringkat beban antikolinergik boleh berbeza-beza dengan skala yang digunakan kerana skala berbeza memberi skor ubatan dengan cara yang berbeza. Oleh itu, kami juga ingin mengetahui apakah skala pengukuran beban antikolinergik tertentu lebih berkaitan dengan peningkatan risiko demensia berbanding skala lain.

Mesej utama

Mungkin ada kaitan antara penggunaan ubatan antikolinergik dan risiko demensia pada masa depan. Namun, terdapat keterbatasan dalam bukti yang diterbitkan, dan kami tidak dapat mengatakan secara pasti jika demensia disebabkan ubatan antikolinergik itu sendiri atau faktor lain. Terdapat terlalu sedikit kajian untuk membolehkan kami membandingkan pelbagai alat pengukuran antikolinergik.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Terdapat lebih daripada 40 juta orang tua di seluruh dunia yang hidup dengan demensia. Jumlah ini dijangka meningkat menjadi lebih dari 100 juta pada tahun 2050 dan pada masa ini pilihan rawatan yang ada sangat terhad. Oleh itu, adalah penting untuk mengenal pasti faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko demensia.

Disebabkan sistem kolinergik di otak memainkan peranan penting dalam pembelajaran dan ingatan, ada alasan teoritikal untuk mempercayai bahawa ubatan dengan kesan antikolinergik boleh menyebabkan demensia pada masa depan. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa ubatan ini mungkin mempunyai kesan yang tidak diingini pada ingatan dan pemikiran, yang berpotensi mengakibatkan demensia. Sekiranya hal ini berlaku, salah satu cara untuk mengurangkan bilangan orang tua yang menghidap demensia adalah dengan mengelakkan ubatan ini. Banyak ubatan yang biasa digunakan mempunyai kesan antikolinergik, misalnya ubat untuk demam, insomnia (kesulitan tidur atau tidur cukup lama untuk merasa segar), dan kemurungan.

Dalam tinjauan ini, kami menyiasat hubungan antara ubat antikolinergik, seperti yang diukur dengan pelbagai skala pengukuran, dan demensia pada masa depan.

Apa hasil utama ulasan ini?

Kami menemui 25 kajian, memasukkan 968,428 orang yang berumur 50 tahun dan lebih. Walaupun terdapat banyak kajian, perbezaan reka bentuk dan kaedah hanya memungkinkan kami menggabungkan beberapa daripadanya dalam analisis. Kami mendapati bahawa terdapat hubungan yang konsisten antara penggunaan ubat antikolinergik dan risiko demensia pada masa depan. Kami tidak boleh mengatakan jika ubatan ini memainkan peranan penyebab; namun, sekiranya berlaku, pengambilan ubatan ini berpotensi menggandakan risiko demensia seseorang.

Dari skala pengukuran antikolinergik yang ada, kami dapat menilai satu alat yang biasa digunakan – 'skala Beban Kognitif Antikolinergik.' Sekiranya skala ini mengenal pasti seseorang mempunyai beban antikolinergik yang tinggi, risiko demensia pada masa depan adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada seseorang yang tidak mempunyai beban antikolinergik.

Bukti yang disertakan dalam tinjauan ini berkualiti rendah secara keseluruhannya dan mungkin telah membesarkan kekuatan hubungan antara ubat antikolinergik dan demensia. Sebagai contoh, ubat antikolinergik mungkin diberikan untuk gejala awal demensia. Perkara ini akan memberikan hubungan yang kuat tetapi tidak bermaksud bahawa ubat itu menyebabkan masalah ingatan. Begitu juga, terdapat risiko bahawa kajian hanya diterbitkan apabila mereka menunjukkan hubungan antara ubat antikolinergik dan demensia pada masa depan. Mungkin satu-satunya cara untuk betul-betul menentukan jika ubatan antikolinergik dikaitkan dengan demensia pada masa depan adalah dengan melakukan kajian di mana sebilangan orang menghentikan ubatan antikolinergik mereka atau bertukar kepada alternatif dan yang lain meneruskan ubatan biasa mereka.

Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan hingga 24 Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan olhe Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information