Bagaimanakah keberkesanan intervensi psikologi yang digunakan untuk merawat kesan penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

Mesej utama

• Beberapa terapi psikologi digunakan untuk membantu kanak-kanak dan golongan muda mengatasi akibat penderaan seksual.

• Terdapat sebahagian besar bukti yang tidak pasti untuk mencadangkan bahawa sebarang intervensi tertentu adalah lebih baik daripada pengurusan seperti biasa dalam membantu kanak-kanak dan orang muda pulih daripada penderaan seksual.

• Kami memerlukan kajian intervensi yang lebih banyak dan lebih baik untuk menentukan sama ada intervensi tertentu adalah lebih baik daripada yang lain dalam menangani pelbagai akibat penderaan seksual.

Apakah yang kami maksudkan dengan intervensi psikologi?

Intervensi psikologi adalah intervensi yang cuba untuk membawa perubahan kepada manusia. Ia sering dirujuk sebagai ‘terapi bercakap’ tetapi ia juga melibatkan terapi di mana komunikasi antara ahli terapi dan pesakit adalah berdasarkan aktiviti, seperti bermain, atau seni.

Terdapat pelbagai intervensi psikologi yang digunakan untuk membantu kanak-kanak dan orang muda yang telah didera secara seksual untuk mengatasi bermacam-macam kesukaran yang timbul akibat penderaan; sebagai contoh, gangguan tekanan selepas trauma (PTSD), kebimbangan, kemurungan, dan pelbagai masalah kelakuan.

Mengapa ini penting untuk kanak-kanak dan orang muda yang telah didera secara seksual?

Ulasan sistematik sebelum ini menyarankan bahawa terapi psikologi boleh menambahbaik hasil untuk kanak-kanak, tetapi kami tidak tahu sama ada terapi tertentu adalah lebih berkesan daripada yang lain.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui intervensi manakah yang terbaik untuk merawat pelbagai masalah yang boleh berlaku berikutan penderaan seksual. Kami ingin mengetahui sekiranya kami boleh menyusun mereka mengikut urutan sebaik manakah mereka berkesan. Contohnya, kami ingin mengetahui intervensi manakah yang terbaik dalam membantu kanak-kanak yang mengalami PTSD, atau kanak-kanak yang kemurungan. Yang manakah kedua terbaik? Dan seterusnya.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyelidik keberkesanan pelbagai terapi psikologi, termasuklah terapi tingkah laku kognitif (CBT), penyahpekaan pergerakan mata dan pemprosesan semula (dikenali sebagai EMDR), terapi berpusatkan kanak-kanak (CCT), terapi psikodinamik, dan terapi famili. Kami menyertakan kajian yang membandingkan:

• satu terapi dengan terapi lain;

• ‘dos’ terapi yang berbeza; sebagai contoh, lapan minggu terapi dengan 16 minggu terapi yang sama;

• satu versi terapi dengan versi lain; sebagai contoh, satu yang melibatkan ibu bapa beserta kanak-kanak dengan terapi yang sama tetapi tidak melibatkan;

• satu terapi dengan pengurusan seperti biasa; dan

• satu terapi dengan tanpa terapi (terutamanya mereka yang dalam senarai menunggu).

Kami menggunakan kaedah yang membolehkan kami membandingkan keberkesanan setiap terapi dengan yang lain, untuk hasil tertentu. Kami merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti bilangan kajian dan betapa ianya besar atau kecil.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 22 kajian (1478 peserta) dan kebanyakannya adalah dari Amerika Utara. Empat belas daripadanya meneliti keberkesanan CBT dan lapan meneliti keberkesanan CCT. Terapi psikodinamik, terapi famili dan EMDR masing-masing diperiksa dalam dua kajian. Pengurusan seperti biasa merupakan perbandingan dalam tiga kajian dan senarai menunggu merupakan perbandingan dalam lima kajian.

Keputusan utama

Daripada bukti sedia ada, adalah tidak jelas sama ada satu intervensi adalah lebih berkesan daripada yang lain dalam membantu kanak-kanak dan orang muda yang telah didera secara seksual. Terdapat beberapa bukti, walaupun sebahagian besarnya tidak meyakinkan dan tidak tepat, yang CBT mungkin lebih baik daripada pengurusan seperti biasa dalam mengurangkan gejala PTSD pada akhir rawatan. Tiada bukti menunjukkan keberkesanan terapi lain untuk PTSD, dsn tiada terapi nampaknya lebih baik daripada pengurusan seperti biasa untuk hasil lain yang kami periksa.

Asas bukti untuk keberkesanan intervensi psikoterapeutik lain bagi kanak-kanak dan remaja yang didera secara seksual adalah terhad, terutamanya yang berkaitan terapi psikodinamik, terapi famili dan EMDR.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah tidak kukuh. Kesan rawatan yang kami dapati adalah kecil atau hampir kepada ‘tiada perubahan’ dan tidak begitu tepat. Walaupun kajian-kajian secara umumnya boleh dibandingkan dalam beberapa aspek (tetapan; penggunaan manual untuk menyampaikan intervensi; ‘jumlah’ terapi), terdapat kepelbagaian yang agak besar pada aspek lain, seperti usia peserta dan format penyampaian intervensi (individu atau kumpulan).

Keputusan penyelidikan lanjut boleh berbeza daripada keputusan ulasan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 1 November 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information