Manfaat dan risiko menggabungkan antibiotik dan steroid sebagai titisan, semburan, salap atau krim untuk merawat otitis media supuratif kronik (jangkitan telinga berterusan atau berulang dengan discaj)

Mengapakah hal ini penting

Otitis media supuratif kronik (CSOM) adalah keradangan dan jangkitan pada telinga tengah yang berlangsung selama dua minggu atau lebih. Mereka yang mempunyai CSOM biasanya mengalami discaj telinga yang berulang atau berterusan - nanah yang keluar dari lubang di gegendang telinga - dan kehilangan pendengaran.

CSOM biasanya dirawat dengan kombinasi antibiotik (ubat-ubatan yang melawan jangkitan bakteria) dan steroid (ubat anti-keradangan) sebagai rawatan topikal (iaitu, dalam bentuk titisan, semburan, salap atau krim yang dimasukkan terus ke dalam telinga). Untuk mengetahui setakat mana keberkesanan kombinasi ini, dan sama ada ia menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini, kami mengulas bukti dari kajian-kajian penyelidikan.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti

Kami mencari semua kajian yang relevan dalam penulisan perubatan, membandingkan hasilnya dan merumuskan bukti dari semua kajian. Kami juga menilai seberapa pasti bukti itu, dengan mempertimbangkan faktor-faktor seperti saiz kajian dan cara kajian dijalankan. Berdasarkan penilaian kami, kami mengkategorikan bukti sebagai berkepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami temui

Kami menemui 17 kajian yang melibatkan 1901 orang dengan CSOM. Mereka diikuti selama antara 10 hari dan 20 minggu setelah rawatan selesai.

Kajian ini merangkumi pelbagai kombinasi antibiotik ditambah steroid, dan membandingkannya dengan tanpa rawatan, rawatan palsu (plasebo), antibiotik yang sama tanpa steroid atau antibiotik yang berbeza tanpa steroid. Di sini kami melaporkan penemuan dari tiga perbandingan utama:

Antibiotik topikal ditambah steroid dibandingkan dengan plasebo (rawatan palsu) atau tanpa rawatan (tiga kajian, 210 orang)

Kami tidak tahu sama ada antibiotik ditambah steroid lebih baik atau lebih buruk daripada plasebo atau tanpa rawatan untuk:

- menghentikan discaj telinga pada tiga titik waktu (satu hingga dua minggu; dua hingga empat minggu; atau selepas empat minggu); atau

- pendengaran; atau

- menyebabkan kesan yang tidak diingini (seperti sakit telinga atau komplikasi serius).

Hal ini kerana sama ada tidak ada kajian yang menilai hasil ini atau buktinya adalah berkepastian sangat rendah.

Antibiotik topikal ditambah steroid dibandingkan dengan antibiotik topikal yang sama digunakan sendirian (empat kajian, 475 orang)

Antibiotik topikal ditambah steroid mungkin boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk menghentikan discaj telinga setelah satu hingga dua minggu (bukti berkepastian rendah).

Kami tidak tahu sama ada antibiotik ditambah steroid adalah lebih baik atau lebih buruk berbanding antibiotik topikal yang sama digunakan sendirian untuk:

- menghentikan discaj telinga pada tiga titik waktu (satu hingga dua minggu; dua hingga empat minggu; atau selepas empat minggu); atau

- pendengaran; atau

- menyebabkan kesan yang tidak diingini (seperti sakit telinga atau komplikasi serius).

Hal ini kerana sama ada tidak ada kajian yang menilai hasil ini atau buktinya adalah berkepastian sangat rendah.

Antibiotik topikal selain quinolones (keluarga antibiotik) ditambah steroid dibandingkan dengan antibiotik quinolone topikal yang digunakan sendirian (sembilan kajian, sekurang-kurangnya 981 orang ditambah 40 telinga tambahan)

Antibiotik bukan quinolone ditambah steroid mungkin tidak seberkesan antibiotik quinolone yang digunakan sendirian untuk menghentikan discaj telinga setelah satu hingga dua minggu (bukti kepastian rendah).

Kami tidak tahu sama ada antibiotik bukan quinolone ditambah steroid adalah lebih baik atau lebih buruk untuk:

- menghentikan discaj telinga pada tiga titik waktu (satu hingga dua minggu; dua hingga empat minggu; atau selepas empat minggu); atau

- pendengaran; atau

- menyebabkan kesan yang tidak diingini (seperti sakit telinga atau komplikasi serius).

Hal ini kerana sama ada tidak ada kajian yang menilai hasil ini atau buktinya adalah berkepastian sangat rendah.

Daripada perbandingan yang berbeza, tidak ada kajian yang melaporkan tentang kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.

Apakah maksudnya

Steroid yang digabungkan dengan antibiotik bukan quinolone mungkin tidak sebagus antibiotik quinolone yang digunakan sendirian untuk menghentikan discaj telinga setelah satu hingga dua minggu (bukti kepastian rendah).

Terlalu sedikit kajian yang mantap yang telah dilakukan untuk kami mengetahui sama ada:

- antibiotik topikal ditambah steroid adalah lebih baik atau lebih buruk daripada tiada rawatan atau plasebo;

- menambahkan steroid ke antibiotik topikal mempengaruhi keberkesanan antibiotik atau memberi impak pada kesan yang tidak diingini.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi scochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information