Reka bentuk persekitaran fizikal dalam penjagaan kediaman untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas

Apakah matlamat ulasan?

Terdapat peningkatan populasi yang lebih tua di seluruh dunia dan peningkatan dalam bilangan orang yang hidup dengan demensia. Adalah dicadangan bahawa penambahbaikan reka bentuk kawasan kediaman boleh meningkatkan kualiti hidup, mood, dan keupayaan untuk melakukan aktiviti kehidupan harian penduduk warga emas. Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengkaji kesan perubahan reka bentuk persekitaran fizikal yang berbeza dalam kediaman penjagaan warga emas untuk menentukan kesan ke atas kualiti hidup bagi penduduk. Penulis ulasan telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui 20 kajian.

Mesej utama

Kami tidak pasti kesan perubahan reka bentuk dalam kediaman penjagaan warga emas untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk kerana lebih banyak kajian berkualiti tinggi adalah diperlukan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Ulasan mengkaji perubahan kepada reka bentuk persekitaran fizikal dalam kediaman penjagaan warga emas, merujuk kepada sebarang perubahan kepada persekitaran tempat tinggal penduduk, dalam tujuan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Perubahan ini mungkin berskala besar atau kecil. Perubahan berskala besar boleh jadi perubahan pada reka bentuk kediaman penjagaan seperti menukar daripada reka bentuk kawasan kediaman yang digunakan sekarang kepada reka bentuk seperti rumah dengan bilangan penduduk yang lebih kecil tinggal bersama. Perubahan berskala kecil mungkin melibatkan pengubahsuaian kawasan kediaman atau menukar satu bahagian kawasan yang didiami seperti pencahayaan. Kami memasukkan kajian yang membandingkan perubahan reka bentuk berskala besar atau kecil yang berbeza dalam kediaman penjagaan warga emas, atau membandingkan perubahan reka bentuk kepada reka bentuk kawasan kediaman yang digunakan pada masa ini dan mengkaji kesan perubahan reka bentuk terhadap kualiti hidup, tingkah laku dan aktiviti kehidupan harian untuk penduduk. Tiada satu definisi kualiti hidup yang dipersetujui, tetapi kebanyakan definisi merangkumi pelbagai aspek jangkaan seseorang terhadap kehidupan mereka, seperti kesihatan fizikal, mental, dan emosi, aktiviti sosial dan situasi kehidupan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan mendapati 20 kajian berkaitan yang berlaku di sembilan negara berbeza (Australia, Kanada, Jerman, Itali, Belanda, Sepanyol, Sweden, UK dan Amerika Syarikat). Perubahan reka bentuk utama yang disiasat adalah kesan daripada mewujudkan model penjagaan 'seperti rumah' yang biasanya melibatkan mewujudkan unit kediaman berskala kecil untuk penduduk dan perubahan kepada amalan penjagaan seperti perubahan kakitangan atau pilihan yang dilakukan oleh penduduk dalam rutin harian.

Enam kajian mengkaji perubahan pada saiz bangunan untuk mengehadkan bilangan penduduk bagi setiap unit kediaman antara enam hingga lima belas penduduk bagi setiap unit kediaman, di samping mengubah amalan penjagaan, contohnya, perubahan pada kakitangan, atau perubahan pada pilihan yang dimiliki oleh penduduk untuk rutin harian mereka. Satu kajian mengkaji kualiti hidup, tetapi terdapat maklumat yang tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan. Tiga kajian mengkaji tingkah laku; satu kajian mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam tingkah laku dan dua kajian memberikan maklumat yang tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan. Dua kajian mengkaji kemurungan dan melaporkan sedikit atau tiada perbezaan dalam gejala kemurungan atau kesannya adalah tidak pasti. Empat kajian mengkaji aktiviti kehidupan harian; satu kajian melaporkan peningkatan dalam aktiviti kehidupan harian, satu kajian melaporkan sedikit atau tiada perbezaan dalam aktiviti kehidupan harian, dan dua kajian memberikan maklumat yang tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan. Satu kajian melaporkan pengurangan kesan buruk yang serius (penggunaan sekatan fizikal). Kami tidak pasti kesan model penjagaan seperti di rumah terhadap kualiti hidup, tingkah laku, kemurungan, aktiviti kehidupan harian atau kesan buruk yang serius kerana kepastian (keyakinan) kajian yang ditentukan adalah sangat rendah disebabkan isu reka bentuk kajian.

Empat belas kajian lain mengkaji intervensi reka bentuk yang lebih kecil seperti pengubahsuaian tanpa perubahan pada skala bangunan, unit penjagaan khas untuk penghidap demensia, reka bentuk koridor yang berbeza, pencahayaan yang terang, mereka bentuk semula ruang makan dan taman dalam rumah.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan mencari kajian sehingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Azman (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information