Jadual kerja-rehat untuk mencegah gejala dan masalah muskuloskeletal dalam kalangan pekerja yang sihat

Bilangan pekerja yang mengalami masalah muskuloskeletal berkaitan pekerjaan dianggarkan sebanyak 21% hingga 28% daripada semua hari cuti sakit pekerjaan pada tahun 2017/2018 di UK, Jerman dan Belanda. Angka-angka ini menunjukkan bahawa masalah muskuloskeletal berkaitan pekerjaan ialah masalah signifikan masyarakat dan majikan. Intervensi-intervensi ini mungkin dapat mengatasi masalah ini, misalnya, membawa perubahan pada tempat kerja atau organisasi. Pelbagai intervensi telah diselidiki, seperti latihan dalam prinsip ergonomi (pekerjaan reka bentuk untuk meningkatkan produktiviti dan keselesaan tempat kerja), maklumat dan kaunseling, penyesuaian stesen kerja, pelarasan jadual kerja-rehat, dan penggiliran kerja. Ulasan ini meneliti kesan jadual kerja-rehat yang berbeza terhadap hasil-hasil berkaitan dengan masalah muskuloskeletal berkaitan pekerjaan, kerana ulasan sistematik tentang intervensi ini adalah kurang meyakinkan. Jadual kerja-rehat yang berbeza boleh mencelah atau mengurangkan tempoh panjang yang melibatkan beban kerja berulang atau monotonus. Intervensi tersebut boleh mencelah tempoh berpanjangan di mana para pekerja perlu menggunakan postur badan statik atau canggung, faktor-faktor yang dikenali sebagai risiko untuk mengalami masalah muskuloskeletal berkaitan pekerjaan.

Tujuan

Kami ingin mengetahui jika kekerapan, tempoh, dan jenis jadual rehat kerja yang berbeza boleh mencegah gejala dan masalah muskuloskeletal berkaitan pekerjaan dalam kalangan pekerja yang sihat. Kami menganggap pekerja-pekerja sihat jika mereka tidak mempunyai aduan muskuloskeletal semasa pendaftaran kajian.

Kajian-kajian

Kami memilih beberapa ukuran dapatan utama, termasuk masalah muskuloskeletal diagnosis baru, gejala-gejala muskuloskeletal yang dilaporkan oleh peserta termasuk sakit, ketidakselesaan, dan keletihan, dan produktiviti serta prestasi kerja. Ukuran terakhir adalah tidak relevan secara langsung kepada pekerja tetapi majikan demi penjagaan output perniagaan. Kami memilih perubahan beban kerja sebagai ukuran keputusan sekunder, yang mungkin melibatkan perubahan output daya, elektromiografi (rakaman aktiviti elektrik otot menggunakan elektrod), manifestasi keletihan otot, atau perubahan subjektif dalam beban kerja (NASA-TLX). Tiada kajian yang melaporkan masalah muskuloskeletal diagnosis baru atau perubahan beban kerja.

Kami menyelidiki literatur hingga 2 Mei 2019 untuk mengkaji kajian rawak terkawal (RCTs), RCTs separa (quasi-RCTs), RCTs kluster (cluster-RCTs) dan RCTs silang tentang intervensi jadual kerja-rehat yang meneliti pencegahan masalah muskuloskeletal berkaitan pekerjaan di tempat kerja. Kami menganalisis semua kajian-kajian relevan untuk menjawab persoalan kajian dan mendapati enam kajian yang melibatkan 373 pekerja, kebanyakannya ialah wanita (≥ 78%), dan mempunyai tempoh tindak susulan selama dua hingga 10 minggu.

Keputusan utama

Kesan kekerapan kerja-rehat yang berbeza

Lima daripada enam kajian menilai kekerapan kerja-rehat yang berbeza. Pelaksanaan rehat kerja tambahan (tiga kajian) mungkin tidak mendatangkan kesan terhadap kesakitan muskuloskeletal, ketidakselesaan dan keletihan apabila dibandingkan dengan tiada rehat kerja tambahan atau rehat kerja yang dimansuhkan jika perlu. Kerja-rehat tambahan (tiga kajian) mungkin mendatangkan kesan positif terhadap produktiviti dan prestasi kerja apabila dibandingkan dengan jadual kerja-rehat biasa. Kerja-rehat tambahan yang lebih kerap telah dibandingkan dengan kerja-rehat tambahan yang kurang kerap dalam sebuah kajian, di mana keputusan menunjukkan bahawa tiada perbezaan dari segi kesakitan muskuloskeletal, ketidakselesaan dan keletihan dilaporkan oleh peserta atau produktiviti dan prestasi kerja.

Kesan tempoh kerja-rehat yang berbeza

Tiada kajian yang menilai kesan tempoh kerja-rehat.

Kesan jenis kerja-rehat yang berbeza

Dua daripada enam kajian menilai jenis kerja-rehat yang berbeza. Kerja-rehat aktif (satu kajian) mungkin tidak dapat mengurangkan atau meningkatkan kesakitan muskuloskeletal, ketidakselesaan dan keletihan yang dilaporkan peserta atau produktiviti dan prestasi kerja. Selain itu, kerja-rehat aktif yang berbeza telah dibandingkan antara satu sama lain (satu kajian), seperti kerja-rehat relak dan aktif fizikal, di mana keputusan menunjukkan bahawa tiada perbezaan dari segi kesakitan muskuloskeletal, ketidakselesaan dan keletihan yang dilaporkan peserta, atau produktiviti dan prestasi kerja.

Kesimpulannya

Kini, kami menyimpulkan bahawa bukti berkualiti sangar rendah hingga rendah tentang kekerapan dan jenis kerja-rehat berbeza mungkin tidak dapat mengurangkan kejadian masalah muskuloskeletal. Walaupun keputusan menunjukkan kemungkinan kesan positif kekerapan kerja-rehat yang berbeza terhadap produktiviti dan prestasi kerja, kajian-kajian berkualiti tinggi yang melibatkan saiz sampel besar diperlukan untuk menilai keberkesanan intervensi kerja-rehat yang berbeza. Di samping itu, intervensi kerja-rehat perlu dipertimbangkan semula, mengambil kira populasi pekerja selain pekerja pejabat dan kemungkinan gabungan intervensi kerja-rehat dengan intervensi lain seperti kaunseling atau latihan ergonomik, mungkin boleh mencegah masalah muskuloskeletal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my,

Tools
Information