Isunya
Neoplasia intra-epitelial servikal (CIN) adalah lesi pra-kanser uteri serviks (leher rahim) yang disebabkan oleh papillomavirus manusia (HPV), yang mungkin menjadi kanser pangkal rahim, jika tidak dirawat. Rawatan setempat melibatkan pemusnahan atau pembuangan kawasan abnormal serviks, mengekalkan kebanyakan serviks, dan rahim di tempatnya, mengekalkan keupayaan untuk hamil pada masa depan, jika perlu. Sesetengah jenis rawatan setempat mungkin juga sesuai untuk kanser serviks yang sangat awal (tahap IA1) jika tumor sangat kecil dan tidak mungkin merebak di luar leher rahim. Terdapat banyak kajian yang menyiasat sama ada rawatan setempat untuk CIN dan kanser serviks awal meningkatkan risiko kelahiran pramatang (PTB) dalam kehamilan berikutnya. Walau bagaimanapun, tiada kesimpulan yang pasti dan ini menimbulkan kekeliruan untuk kedua-dua kakitangan perubatan dan wanita yang mungkin disyorkan rawatan, tetapi juga ingin mempunyai anak di masa depan.
Tujuan ulasan
Kami berhasrat untuk menilai sama ada teknik rawatan konservatif setempat untuk prakanser (CIN) servikal dan kanser servikal awal meningkatkan risiko komplikasi ibu dan bayi semasa kehamilan yang berlaku selepas rawatan, terutama sekali rawatan berkaitan dengan risiko PTB yang meningkat. Kami juga mengkaji sama ada risiko PTB meningkat dengan peningkatan amaun tisu servikal yang dibuang.
Kriteria pemilihan
Kami memasukkan semua kajian yang menyiasat kesan rawatan CIN dan kanser servikal awal untuk hasil kehamilan lewat (melebihi 24 minggu gestasi) dalam kalangan wanita yang telah dirawat sebelumnya untuk CIN dan kanser serviks awal, berbanding wanita yang tidak dirawat . Kami mengecualikan kajian yang tidak mempunyai kumpulan perbandingan yang tidak dirawat, melaporkan hasil kehamilan dalam kalangan wanita yang telah menjalani rawatan semasa hamil, atau mempunyai kumpulan yang dirawat berisiko tinggi, atau kedua-duanya.
Apakah penemuan utama?
Kami memasukkan 69 kajian (6,357,823 kehamilan: 65,098 kehamilan yang dirawat dan 6,292,725 kehamilan wanita yang tidak dirawat). Rawatan dikaitkan dengan peningkatan risiko PTB sebelum 37 minggu kehamilan, serta peningkatan risiko PTB yang teruk (kurang dari 32 hingga 34 minggu kehamilan), PTB yang terlampau (kurang dari 28 hingga 30 minggu kehamilan) dan pPROM (ruptur pramatang membran) berbanding dengan wanita yang tidak dirawat. Risiko keseluruhan PTB adalah lebih tinggi untuk wanita yang dirawat dengan kaedah eksisi (di mana tisu dipotong) berbanding rawatan ablatif (di mana tisu dimusnahkan bukannya dipotong). Pelbagai rawatan, serta peningkatan amaun tisu yang dibuang semasa rawatan, dikaitkan dengan peningkatan risiko keseluruhan PTB. Walau bagaimanapun, wanita dengan CIN yang tidak dirawat juga mempunyai risiko PTB keseluruhan yang lebih tinggi daripada populasi umum. Berat lahir rendah (LBW) <2500g), kemasukan unit rawatan rapi neonatal (NICU) dan kadar kematian perinatal juga didapati meningkat selepas rawatan.
Apakah kualiti bukti?
Disebabkan sifat intervensi dan hasil yang dikaji, kami hanya dapat memasukkan kajian pemerhatian, yang kebanyakannya adalah retrospektif. Kajian jenis ini berkualiti rendah dengan tahap kepelbagaian yang tinggi di antara kajian, oleh itu tahap bukti untuk kebanyakan hasil hanya boleh dianggap sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah.
Apakah kesimpulannya?
Wanita dengan CIN berisiko asas lebih tinggi untuk PTB daripada populasi umum dan rawatan untuk CIN mungkin meningkatkan lagi risiko ini. Risiko untuk PTB mungkin lebih tinggi apabila teknik eksisi digunakan berbanding rawatan ablatif. Risiko PTB juga kelihatan meningkat dengan rawatan multipel dan peningkatan amaun tisu yang dikeluarkan. Walau bagaimanapun, keputusan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati kerana kualiti kajian yang dimasukkan adalah rendah dan sangat rendah.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.