Apakah yang berkesan untuk mengurangkan tingkah laku tidak aktif dalam kalangan warga emas yang tinggal dalam komuniti?

Mesej utama

Bukti adalah tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan dengan jelas sama ada program atau polisi adalah berkesan dalam mengurangkan tingkah laku tidak aktif dalam kalangan warga emas. Tidak dapat dipastikan sama ada program atau polisi ini meningkatkan kesihatan fizikal dan mental warga emas.

Mengapakah kami melakukan ulasan ini?

Warga emas meluangkan 80% daripada masa mereka dengan tidak aktif. Waktu tidak aktif adalah jumlah masa yang dihabiskan untuk duduk atau berbaring ketika jaga. Sebagai contoh, duduk menonton TV dianggap sebagai tingkah laku yang tidak aktif. Tempoh masa yang lama tidak aktif telah dikaitkan dengan peningkatan risiko beberapa penyakit jangka panjang, menjadi lemah, mengalami kecacatan, memerlukan bantuan dengan aktiviti seharian, dan kematian awal. Kami ingin mengetahui sekiranya program atau polisi bagi membantu warga emas mengurangkan tempoh tidak aktif mereka adalah berkesan. Kami juga ingin mengetahui sama ada program atau polisi ini juga memberikan manfaat kesihatan fizikal atau mental.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari pengkalan data elektronik dan jurnal berkaitan untuk mendapatkan kajian-kajian. Kami menyertakan sebarang kajian secara rawak (di mana orang mempunyai peluang yang sama untuk diberi intervensi atau tidak) yang melihat pada polisi atau program yang dirancang untuk mengurangkan masa tidak aktif pada warga emas (berumur 60 tahun ke atas) yang hidup berdikari dalam komuniti. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui tujuh kajian melibatkan sejumlah 397 orang warga emas. Semua kajian mencari cara untuk membantu setiap warga emas untuk mengubah tingkah laku mereka yang tidak aktif. Sokongan tersebut merangkumi pelbagai strategi seperti kaunseling, penetapan tujuan, dan sesi informasi. Beberapa kajian menggunakan teknologi untuk merekod tingkah laku, seperti pemantau aktiviti. Kami tidak menemui kajian yang melihat perubahan terhadap persekitaran semula jadi, persekitaran binaan, persekitaran sosial seseorang, atau persekitaran tempat tinggal warga emas. Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat pada kesan mengubah polisi dan undang-undang yang boleh mengubah tingkah laku tidak aktif warga emas. Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat pada sama ada manfaat dan penggunaan program berbaloi dengan apa yang dibayar untuk mereka. Tidak ada kajian yang melaporkan mengenai kesan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami hanya memiliki keyakinan yang rendah terhadap penemuan ini, disebabkan oleh saiz sampel yang kecil dan disebabkan beberapa kajian telah dilakukan dengan kaedah yang mungkin menyebabkan ralat dalam keputusan mereka. Penemuan ini juga menggabungkan keputusan dari kajian yang menggunakan ukuran masa tidak aktif yang dilaporkan sendiri dengan pengiraan berdasarkan peranti.

Adakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Samihah Abd Rahim. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd,edu,my

Tools
Information