Ubat-ubatan untuk mencegah mulut kering dan masalah dengan air liur selepas radioterapi

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan rawatan dengan ubat-ubatan untuk mengelakkan kerosakan pada kelenjar air liur selepas radioterapi pada kepala dan leher

Latar belakang

Masalah pengeluaran air liur dan kelenjar air liur ialah kesan sampingan yang ketara dan kebanyakannya kekal bagi pesakit yang menerima rawatan radioterapi pada kepala dan leher. Apabila ini berlaku keadaan ini dikenali sebagai mulut kering atau xerostomia. Mulut kering tidak boleh diukur dan merupakan ungkapan subjektif atau peribadi tentang perasaan mulut. Ia boleh mempunyai punca yang lain dan merupakan akibat daripada pengeluaran air liur yang kurang atau oleh konsistensi air liur. Walau bagaimanapun, kadar pengaliran air liur dalam mulut seseorang boleh diukur. Penghidap mulut kering mempunyai kualiti hidup yang berkurangan. Mereka boleh mengalami masalah deria rasa dan ketidakselesaan umum, kesukaran mengunyah, menelan dan bercakap serta kerosakan gigi, seriawan dan jangkitan-jangkitan lain pada mulut. Pelbagai ubat-ubatan yang berfungsi dengan cara yang berbeza telah digunakan untuk mencuba dan mencegah masalah kelenjar air liur yang diakibatkan oleh radioterapi. Malangnya pada masa ini tiada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan ubat atau jenis ubat yang paling berkesan.

Ciri-ciri kajian

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 14 September 2016. 39 kajian telah dirangkumkan dengan seramai 3520 peserta. Peserta adalah lelaki dan perempuan, semua peringkat umur dan asal etnik, pesakit luar atau pesakit, yang dijadualkan menjalani terapi sinaran dengan atau tanpa kemoterapi pada kepala dan leher.

Ubat yang dirangkumkan adalah apa-apa yang telah ditetapkan untuk mencegah masalah kelenjar air liur dan diberikan sebelum atau semasa radioterapi. Maklumat telah dikumpul pada hujung radioterapi kecuali yang mengenai kesan sampingan. Teknik-teknik berbeza rawatan sinaran yang mungkin mengurangkan kerosakan tidak disertakan.

Hasil utama yang diukur adalah penilaian peserta sendiri terhadap mulut kering dan pengukuran aliran air liur. Hasil sekunder yang diukur termasuk kesan buruk atau tidak diingini seperti berpeluh, menangis, lelehan berair dari hidung, cirit-birit dan loya.

Keputusan utama

Terdapat beberapa bukti berkualiti rendah untuk mencadangkan bahawa ubat amifostine menghalang rasa mulut kering pada orang yang menerima radioterapi ke kepala dan leher (dengan atau tanpa kemoterapi) dalam jangka pendek (pada hujung radioterapi) hingga jangka sederhana (tiga bulan selepas radioterapi). Walau bagaimanapun, adalah kurang jelas sama ada kesan ini dikekalkan hingga 12 bulan selepas radioterapi. Manfaat amifostine patut ditimbang dengan kos tinggi dan kesan-kesan sampingannya. Kesan buruk termasuk muntah, tekanan darah rendah, rasa sakit dan tindak balas alahan semuanya lebih kerap berlaku pada mereka yang menerima amifostine. Tiada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa sebarang rawatan lain adalah berfaedah.

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk amifostine dijumpai rendah disebabkan oleh risiko serong, ketidakkonsistenan dan ketidaktepatan yang berpunca daripada bilangan perbandingan atau saiz sampel yang kecil. Skala standard untuk mengukur pengalaman mulut kering peserta pada masa hadapan akan membolehkan perbandingan dan pengumpulan keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information