Mesej utama
Apakah distres respiratori?
Distres respiratori adalah masalah pernafasan yang kerap mempengaruhi bayi baru lahir. Puncanya berbeza-beza bergantung kepada gestasi bayi (tempoh masa bayi dalam rahim sebelum bersalin). Punca paling lazim bayi lahir sebelum tarikh melahirkan (pramasa) adalah kekurangan sebatian semula jadi paru-paru (surfaktan) yang menghalang kantung udara (alveoli) membuka dan menutup dengan mudah. Punca paling lazim dalam kalangan bayi yang lahir selepas 37 minggu gestasi (masa) adalah keadaan yang dipanggil tachypnoea transien bayi baru lahir (atau paru-paru basah), akibat kelewatan klearans cecair paru-paru selepas lahir, yang menyebabkan distres respiratori dan pernafasan cepat. Terdapat banyak kes distres respiratori.
Bagaimanakah distres respiratori dirawat?
Rawatan biasa melibatkan penyediaan pernafasan sokongan (ventilasi mekanikal), oksigen dan pemberian ubat yang dipanggil surfaktan terus ke dalam saluran pernafasan bayi baru lahir (trakea).
Sokongan pernafasan boleh diberi melalui tiub yang dipanggil tiub endotrakeal yang dimasukkan ke dalam trakea bayi (ventilasi invasif) atau melalui topeng atau prong yang terletak di hidung (ventilasi tak invasif). Ventilasi invasif dikaitkan dengan peningkatan risiko kerosakan paru-paru yang dipanggil penyakit paru-paru kronik. Ventilasi tak invasif, dengan atau tanpa rawatan surfaktan, boleh mengurangkan keperluan untuk ventilasi mekanikal dan risiko penyakit paru-paru kronik dalam kalangan bayi baru lahir dengan distres respiratori.
Apakah ventilasi frekuensi tinggi tak invasif?
Ventilasi frekuensi tinggi memberi nafas yang sangat kecil pada kadar yang sangat cepat (6 hingga 15 hertz, bersamaan 360 hingga 900 nafas seminit). Ventilasi frekuensi tinggi membantu pembukaan tisu paru-paru yang tidak terbuka dengan memberi tekanan positif berterusan dalam trakea. Ventilasi frekuensi tinggi biasanya diberi melalui tiub endotrakeal. Ventilasi frekuensi tinggi tak invasif diberi melalui topeng atau prong yang di diletak di hidung.
Mengapa ventilasi frekuensi tinggi tak invasif penting untuk bayi baru lahir?
Ventilasi frekuensi tinggi tak invasif dalam kalangan bayi baru lahir adalah kaedah ventilasi tak invasif yang agak baru berbanding ventilasi tak invasif lain yang juga menggunakan prong hidung seperti tekanan saluran udara nasal berterusan, ventilasi tekanan positif berjeda nasal, atau kanula hidung aliran tinggi lembap yang dipanaskan. Tekanan saluran udara positif berterusan memberi tekanan yang berterusan ke saluran pernafasan bayi. Ventilasi tekanan positif berjeda memberi nafas normal, biasanya pada kadar pernafasan normal bayi (30 hingga 60 nafas seminit). Kanula hidung aliran tinggi menghantar udara atau oksigen lembap yang dipanaskan pada kadar aliran antara tiga dan lapan liter seminit.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu jika ventilasi frekuensi tinggi tak invasif berbanding ventilasi tak invasif lain melalui prong hidung (seperti tekanan saluran udara berterusan hidung; ventilasi tekanan positif berjeda; kanula hidung aliran tinggi lembap yang dipanaskan) dan ventilasi invasif melalui tiub endotrakeal boleh meningkatkan survival dan mengurangkan kadar keperluan tiub endotrakeal dan hasil lain dalam kalangan bayi cukup bulan dan pramasa dengan atau berisiko sindrom distres respiratori. Kami juga ingin tentukan jika penggunaan ventilasi frekuensi tinggi tak invasif ada kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan ventilasi frekuensi tinggi tak invasif dengan tekanan saluran udara berterusan nasal, ventilasi tekanan positif nasal berjeda, kanula nasal aliran tinggi lembap yang dipanaskan, dan ventilasi invasif melalui tiub endotrakeal dalam kalangan bayi pramasa dengan atau berisiko sindrom distres respiratori. Kami banding dan rumuskan keputusan kajian-kajian yang disertakan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami mengenal pasti 33 kajian, kebanyakannya dalam tetapan berpendapatan rendah hingga sederhana, yang menyiasat terapi ini dalam kalangan 5068 bayi pramasa dan 46 bayi cukup bulan. Bagi bayi pramasa dengan distres respiratori, penggunaan awal ventilasi frekuensi tinggi tak invasif mungkin mengurangkan risiko intubasi dan ventilasi berbanding penggunaan tekanan saluran udara berterusan nasal. Bagi bayi pramasa dengan ekstubasi terancang selepas intubasi dan surfaktan, ventilasi frekuensi tinggi tak invasif mungkin mengurangkan risiko intubasi endotrakeal semula berbanding tekanan saluran udara berterusan nasal dan ventilasi tekanan positif berjeda nasal. Berbanding tekanan saluran udara berterusan nasal, mengguna ventilasi frekuensi tinggi tak invasif mungkin juga mengurangkan risiko penyakit paru-paru kronik. Tiada perbezaan ditemui dalam kematian atau hasil lain bayi baru lahir. Hasil jangka panjang tidak dilaporkan atau hanya dilaporkan oleh satu kajian kecil. Kajian lebih besar diperlukan untuk membanding ventilasi frekuensi tinggi tak invasif dan ventilasi tekanan positif berjeda nasal untuk sokongan respiratori awal dan ekstubasi yang dirancang bagi menentukan strategi sokongan respiratori optimum bayi baru lahir.
Memandangkan keputusan yang menggalakkan daripada kajian-kajian tersebut, penggunaan ventilasi frekuensi tinggi tak invasif dalam kalangan bayi pramasa dengan atau berisiko sindrom distres respiratori di situasi klinikal terpilih adalah wajar.
Apakah batasan bukti?
Kajian lebih besar, terutamanya dalam tetapan berpendapatan tinggi, diperlukan untuk menentukan peranan ventilasi frekuensi tinggi tak invasif dalam menyokong respiratori awal dan apabila lain jenis sokongan respiratori bukan invasif gagal. Oleh itu, kajian penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengenalpasti strategi dan tetapan ventilasi yang optimum dengan ventilasi frekuensi tinggi tak invasif.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 9 Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).