Penyekat kolinesterase untuk orang dengan kecelaruan, tidak merangkumi mereka yang berada di unit rawatan rapi

Latar belakang

Dalam tempoh kesakitan, seseorang boleh mengalami gejala kekeliruan dan perubahan pada kesedaran, yang dikenali sebagai kecelaruan. Berbanding dengan pesakit yang tidak mempunyai kecelaruan, pesakit dengan kecelaruan akan tinggal di hospital dalam masa yang lebih lama dan kurang berkemungkinan untuk sembuh daripada penyakitnya. Rawatan kecelaruan perlu menumpukan pada rawatan penyakit sebenarnya dan strategi seperti reorientasi pesakit. Tetapi, rawatan berasaskan ubat masih sering digunakan. Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat gejala demensia (penyekat kolinesterase) mungkin berperanan dalam merawat kecelaruan.

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan dengan penyekat kolinesterase mengurangkan tahap keparahan atau jangka masa kecelaruan. Kami juga berminat dengan kesan-kesan sampingan daripada penyekat kolinesterase. Kecelaruan sering dijumpai pada penyakit teruk yang memerlukan tahap rawatan medikal dan kejururawatan yang tinggi, misalnya di unit rawatan rapi. Dalam ulasan ini, kami menumpukan perhatian pada kajian yang melibatkan pesakit yang tidak berada dalam situasi tahap rawatan tinggi.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai satu kajian dari UK, yang merangkumi 15 peserta dengan kecelaruan. Umur purata peserta adalah 82.5 tahun; lapan peserta ialah lelaki dan tujuh ialah wanita. Tujuh peserta juga mempunyai sejarah demensia. Kajian ini membandingkan rivastigmine (sejenis penyekat kolinesterase yang digunakan dalam rawatan demensia) dengan rawatan tanpa ubat aktif (plasebo).

Hasil utama

Kajian tersebut tidak menunjukkan perbezaan pada kesan antara peserta yang diberi rivastigmine dan mereka yang diberi plasebo. Kajian ini dilakukan dan dilaporkan dengan tepat, tetapi bilangan peserta yang kecil membatasi kesimpulan yang dapat dibuat mengenai penggunaan rivastigmine sebagai rawatan untuk kecelaruan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information