Penyambungan kepada jejunum berbanding perut untuk pembinaan semula tunggul pankreas selepas pankreatikoduodenektomi (operasi ‘Whipple’)

Soalan ulasan

Adakah pankreatikogastrostomi (PG, pembedahan untuk menghubungkan pankreas ke perut) lebih baik daripada pankreatikojejunostomi (PJ, pembedahan untuk menghubungkan pankreas ke usus) dari segi fistula pankreas pascabedah selepas operasi ‘Whipple’ (operasi pembedahan besar melibatkan pankreas, duodenum, dan organ lain)?

Latar belakang

Pankreatoduodenektomi (operasi ‘Whipple’) ialah prosedur pembedahan untuk merawat penyakit (selalunya kanser) pada kepala pankreas, dan kadang-kala, duodenum. Dalam operasi Whipple, pankreas diputuskan dari usus kemudian disambungkan semula bagi membolehkan jus pankreas yang mengandungi enzim pencernaan memasuki sistem pencernaan. Komplikasi yang lazim selepas pembedahan Whipple ialah fistula pankreas, yang berlaku apabila penyambungan semula tidak sembuh dengan betul, menyebabkan jus pankreas bocor dari pankreas ke tisu-tisu abdomen. Ini melambatkan pemulihan dari pembedahan dan sering memerlukan rawatan lebih lanjut bagi memastikan penyembuhan yang sempurna. PJ dan PG adalah prosedur pembedahan yang sering digunakan untuk membina semula tunggul pankreas selepas pembedahan Whipple dan kedua-dua prosedur dibebani oleh kadar fistula pankreas pascabedah yang tidak boleh diabaikan. Adalah tidak jelas prosedur yang mana lebih baik.

Tarikh carian

Kami mencari sehingga September 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 10 kajian rawak terkawal (1629 peserta) yang membandingkan PJ dan PG dalam orang yang menjalani pembedahan Whipple. Ciri-ciri kajian adalah cukup untuk membuat perbandingan yang sesuai dan terancang di antara kedua-dua teknik pembedahan tersebut. Hasil utama ialah fistula pankreas dan kematian. Hasil sekunder adalah tempoh tinggal di hospital, intervensi pembedahan semula, komplikasi keseluruhan, pendarahan, abses abdomen, kualiti hidup, dan kos.

Keputusan utama

Kami tidak dapat menunjukkan bahawa sesuatu prosedur pembedahan adalah lebih baik daripada yang lain. PJ mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan dari PG dalam kadar fistula pankreas pascabedah keseluruhan (PJ 24.3%; PG 21.4%), tempoh tinggal di hospital, atau keperluan untuk intervensi pembedahan semula (11.6% berbanding 10.3%). Hanya tujuh kajian dengan jelas membezakan fistula pankreas yang signifikan secara klinikal yang memerlukan perubahan dalam pengurusan pesakit. Kami tidak pasti sama ada PJ menambah baik risiko fistula pankreas yang signifikan secara klinikal apabila dibandingkan dengan PG (19.3% berbanding 12.8%). PJ berkemungkinan mempunyai sedikit atau tiada perbezaan dari PG dalam kadar kematian (3.9% berbanding 4.8%) atau komplikasi (46.5% berbanding 44.5%). Risiko pendarahan pascabedah dalam peserta yang menjalani PJ adalah sedikit lebih rendah daripada mereka yang menjalani PG (9.3% berbanding 13.8%), tetapi manfaat ini didapati seimbang dengan risiko yang lebih tinggi untuk mengalami abses abdomen dalam peserta PJ (14.7% berbanding 8.0%). Hanya satu kajian melaporkan kualiti hidup; PG mungkin lebih baik daripada PJ dalam beberapa parameter kualiti hidup. Data kos tidak dilaporkan dalam sebarang kajian.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian mempunyai kekurangan dalam kualiti metodologi, pelaporan atau kedua-duanya. Keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information