Antidepresan untuk osteoarthritis

Latar belakang

Osteoartritis adalah penyakit sendi yang dicirikan oleh pengurangan rawan dan penyempitan ruangan antara sendi. Ia boleh mengakibatkan kesakitan, kecacatan dan ketidakupayaan.

Ubat antidepresan dianggap mempengaruhi kesakitan dengan memodulasi laluan saraf dalam sistem saraf pusat.

Kami berhasrat untuk menilai faedah klinikal dan kemudaratan antidepresan untuk kesakitan osteoarthritis lutut dan pinggul.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini adalah terkini hingga Januari 2021. Kami menyertakan sembilan ujian klinikal dengan 2122 peserta membandingkan antidepresan dengan plasebo (rawatan tiruan) dan ubat anti-radang bukan steroid (yang digunakan secara meluas untuk melegakan kesakitan dan mengurangkan keradangan). Sebilangan besar peserta adalah perempuan (70%) dan purata umur adalah 54.4 hingga 65.9 tahun. Tujuh kajian hanya menyiasat osteoarthritis lutut. Dua juga menyertakan penghidap osteoarthritis pinggul. Semua kajian membandingkan antidepresan dengan plasebo, dengan atau tanpa ubat anti-radang bukan steroid.

Keputusan utama

Berbanding dengan plasebo, antidepresan menghasilkan manfaat yang kecil.

Kesakitan

Kesakitan berkurangan sebanyak 0.59 mata lebih pada skala 0 hingga 10 mata dengan antidepresan berbanding plasebo.

– Kumpulan plasebo mengalami pengurangan kesakitan sebanyak 1.73 mata.

– Kumpulan antidepresan mempunyai pengurangan kesakitan sebanyak 2.32 mata.

Tindak balas

Tindak balas klinikal dianggap sebagai pengurangan kesakitan sebanyak 50% atau lebih. Kira-kira 16% lebih ramai orang yang mengambil antidepresan mengalami pengurangan berbanding plasebo (iaitu, satu daripada enam orang).

– 28.65% orang yang mengambil plasebo mempunyai tindak balas klinikal.

– 45.2% orang yang mengambil antidepresan mempunyai tindak balas klinikal.

Fungsi

Fungsi fizikal diukur menggunakan berjalan kaki, menaiki tangga dan tugas domestik. Ia bertambah baik lebih 6% dengan antidepresan berbanding plasebo. Dengan antidepresan, skor fungsi berkurangan sebanyak 5.65 pada skala 0 hingga 100 mata (skor rendah = fungsi yang lebih baik), berbanding plasebo. Ini adalah peningkatan kecil.

– Kumpulan plasebo mempunyai peningkatan dalam fungsi sebanyak 10.51 mata.

– Kumpulan antidepresan mempunyai peningkatan dalam fungsi sebanyak 16.16 mata.

Kualiti hidup

Kualiti hidup bertambah lebih 4% dengan antidepresan berbanding plasebo. Ini adalah 0.04 mata lebih tinggi pada skala -0.11 hingga 1 pada orang yang mengambil antidepresan berbanding plasebo (skor lebih tinggi = kualiti hidup yang lebih baik).

– Dalam kumpulan plasebo, kualiti hidup meningkat sebanyak 0.07 mata.

– Dalam kumpulan antidepresan, kualiti hidup meningkat sebanyak 0.11 mata.

Penarikan diri kerana kesan sampingan

Risiko menghentikan rawatan adalah 2.15 lebih dalam kumpulan antidepresan berbanding plasebo. Ini bermakna 1 daripada 17 orang berhenti mengambil antidepresan kerana kesan sampingan.

– 5.1% daripada kumpulan plasebo menarik diri kerana kesan sampingan.

– 10.9% daripada kumpulan antidepresan menarik diri kerana kesan sampingan.

Jumlah kesan sampingan

Risiko mendapat sebarang kesan sampingan adalah 1.27 lebih dalam kumpulan antidepresan berbanding kumpulan plasebo. Kira-kira 14.8% lebih ramai orang melaporkan kesan sampingan dalam kumpulan antidepresan. Ini bersamaan dengan 1 dalam setiap 7 orang mempunyai kesan sampingan.

– 49.3% daripada kumpulan plasebo mempunyai kesan sampingan.

– 64.1% daripada kumpulan antidepresan mempunyai kesan sampingan.

Kesan sampingan yang serius

Tiada perbezaan dalam kesan sampingan yang serius antara kumpulan.

– 1.7% daripada kumpulan plasebo mempunyai kesan sampingan yang serius.

– 1.6% daripada kumpulan antidepresan mempunyai kesan sampingan yang serius.

Kualiti bukti

Pada orang dengan osteoarthritis, bukti berkualiti tinggi menunjukkan bahawa antidepresan mempunyai kesan positif yang kecil terhadap kesakitan dan fungsi dan satu daripada enam orang mempunyai tindakbalas yang penting secara klinikal iaitu pengurangan 50% atau lebih dalam kesakitan mereka. Bukti berkualiti tinggi juga menunjukkan bahawa orang yang mengambil antidepresan mempunyai kekerapan kesan sampingan yang lebih tinggi daripada mereka yang mengambil plasebo.

Bukti kualiti sederhana menunjukkan peningkatan yang sangat kecil, mungkin tidak penting, dalam kualiti hidup bagi orang yang mengambil antidepresan berbanding plasebo. Orang yang menerima antidepresan lebih cenderung untuk menghentikannya kerana kesan sampingan berbanding plasebo.

Bukti berkualiti rendah menunjukkan sedikit perbezaan dalam kesan sampingan yang serius antara antidepresan dan plasebo.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information