Apakah isunya?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui keberkesanan dan keselamatan insulin berbanding ubat oral atau intervensi bukan farmakologi untuk rawatan diabetes mellitus gestasi (GDM, yang didiagnosis menghidap kencing manis ketika kehamilan). Ia juga melihat masa berlainan untuk mengambil insulin pada siang hari. Penyelidik mengumpul semua kajian yang berkaitan (Mei 2017) dan menganalisis data.
Mengapakah ini penting?
GDM boleh menyebabkan komplikasi jangka pendek dan jangka panjang untuk ibu dan bayinya.
Biasanya, nasihat diet dan gaya hidup adalah langkah pertama, dan wanita yang glukosa darahnya terlalu tinggi dapat dirawat dengan insulin, yang biasanya disuntikkan setiap hari.
Mengetahui jika pilihan rawatan lain adalah selamat dan berkesan seperti insulin, adalah penting, kerana rawatan lain ini mungkin lebih disukai oleh wanita yang tidak mahu menyuntik diri dengan insulin.
Apakah bukit yang penyelidik perolehi?
Penyelidik mencari bukti pada 1 Mei 2017 dan mendapati 53 kajian melaporkan data untuk 7381 ibu dan 46 kajian melaporkan data untuk 6435 bayi. Keseluruhannya, kualiti bukti adalah dari tahap yang sangat rendah hingga sederhana. Kajian telah dijalankan di pelbagai negara, termasuk negara-negara berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi. Tiga kajian melaporkan bahawa sokongan kewangan atau ubat-ubatan telah disediakan oleh syarikat farmaseutikal dan 36 kajian tidak memberikan sebarang pernyataan tentang sumber pendanaan.
Bagi ibu dengan GDM, insulin dikaitkan dengan kemungkinan peningkatan hipertensi gangguan kehamilan (tekanan darah tinggi - tidak ditakrifkan) walaupun tiada bukti tentang sebarang perbezaan dalam pra-eklampsia (tekanan darah tinggi, pembengkakan dan protein dalam air kencing), kelahiran oleh pembedahan seksyen caesarean, penyakit kencing manis jenis 2, atau berat selepas bersalin apabila wanita yang telah dirawat dengan insulin dibandingkan dengan wanita yang telah dirawat dengan ubat oral anti-diabetik.
Insulin kelihatan mungkin meningkatkan kemungkinan induksi pelahiran, berbanding dengan ubat oral anti-diabetik tetapi keputusan ini tidak jelas. Kerosakan pada perineum, kembali ke berat badan sebelum kehamilan atau kemurungan postnatal tidak dilaporkan oleh kajian yang termasuk. Bagi bayi, tiada bukti perbezaan jelas antara kumpulan yang berisiko dilahirkan besar pada usia gestasi, kematian atau penyakit serius selepas lahir, gula darah rendah, berat badan berlebihan seperti bayi atau kanak-kanak, mempunyai gangguan pendengaran atau visual, atau kelewatan perkembangan ringan pada 18 bulan. Tiada kajian termasuk melihat kesihatan bayi pada zaman kanak-kanak.
Penyelidik juga melihat perbandingan untuk insulin manusia biasa berbanding jenis insulin lain, insulin berbanding nasihat pemakanan dengan penjagaan piawaian, insulin berbanding senaman, dan penyelidik juga melihat perbandingan dos dan kekerapan insulin yang berlainan. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang cukup untuk penyelidik memastikan sebarang perbezaan untuk banyak hasil kesihatan utama.
Apakah maksudnya?
Bukti yang ada menunjukkan bahawa terdapat sedikit perbezaan dalam hasil jangka pendek untuk ibu dan bayi antara rawatan dengan insulin yang disuntik dan rawatan dengan ubat oral. Tiada bukti yang mencukupi untuk jangka panjang. Keputusan mengenai rawatan yang digunakan boleh berdasarkan perbincangan antara doktor dan ibu. Kajian lanjut diperlukan untuk meneroka rejimen insulin optimum bagi wanita dengan GDM. Kajian masa depan mungkin bertujuan untuk melaporkan hasil jangka panjang dan jangka pendek untuk ibu dan bayi mereka.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com