Bagaimanakah ketepatan ujian pengesanan asid nukleik dan antigen untuk mendiagnosis leptospirosis?

Apakah yang telah dikaji didalam ulasan ini?

Leptospirosis adalah salah satu daripada penyakit berjangkit, yang disebabkan oleh bakteria yang dipanggil Leptospira yang terdapat didalam tanah, air tawar, atau air kencing haiwan tertentu yang telah dijangkiti. Ia adalah masalah terutamanya di negara yang beriklim lembap, di Asia Tenggara, dan Amerika Tengah dan Selatan, tetapi ia juga boleh berlaku di wilayah suhu yang agak sederhana.

Leptospirosis menyebabkan demam dan sakit kepala, dan komplikasi pada buah pinggang, paru-paru, atau masalah jantung pada sesetengah pesakit. Selalunya, simptom-simptom adalah tidak unik untuk penyakit ini sahaja, menyebabkan kesukaran diagnosis, oleh sebab itu penyakit ini sering terlepas daripada dikesan.

Ujian makmal bagi pengesahan diagnosis. Ujian ini berdasarkan pengesanan kehadiran Leptospira, DNAnya, atau antibodi terhadap Leptospira. Ujian-ujian pengesanan asid nukleik dan antigen, seperti tindak balas rantaian polimerase konvensional (PCR) dan PCR masa nyata, mengenal pasti bakteria atau DNAnya secara langsung dalam darah atau air kencing pesakit. Ujian-ujian pengesanan asid nukleik dan antigen mungkin boleh mengesan Leptospira lebih cepat di awal fasa jangkitan, supaya pesakit boleh dirawat lebih awal dengan antibiotik yang sesuai - meningkatkan kadar kesembuhan - dan boleh memberikan maklumat yang berguna untuk situasi wabak. Dalam situasi wabak, ujian-ujian pengesanan asid nukleik dan antigen boleh digunakan sebagai sistem pengesanan awal.

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuannya adalah untuk menilai keberkesanan ujian asid nukleik dan antigen bagi mengesan leptospirosis. Dalam erti kata lain, untuk menilai berapa banyak kesilapan ujian ini samada melalui gagal mengesan pesakit leptospirosis atau salah mengenalpasti pesakit tanpa leptospirosis (orang yang sihat atau orang yang mempunyai penyakit lain).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kajian ini melibatkan maklumat dari 41 kajian dengan 5981 peserta. Kami mengenalpasti sembilan ujian pengesanan asid nukleik dan antigen, di mana PCR dan PCR masa nyata yang paling kerap dikaji.

Satu penemuan yang penting adalah ketepatan kedua-dua PCR dan PCR masa nyata sangat berbeza antara kajian-kajian ini. Kami membentangkan purata ketepatan untuk kedua-dua ujian, tetapi terdapat ketidakpastian yang besar di sekitar purata ini. PCR sering mengenal pasti dengan betul pesakit tanpa leptospirosis (purata 95 dalam 100 orang), tetapi sering terlepas mengesani pesakit yang mempunyai leptospirosis (purata 30 dalam 100 orang). Ketepatan PCR masa nyata bergantung pada nilai ‘cut-off’ untuk keputusan ujian positif. Pada nilai ‘cut-off’ di mana PCR masa nyata sering mengenal pasti dengan betul pesakit tanpa leptospirosis (purata 95 dalam 100 orang), ia sering terlepas mengesani pesakit yang mempunyai leptospirosis (purata 71 dalam 100 orang). Jika seseorang diuji positif atau negatif untuk PCR atau PCR masa nyata, peluang seseorang sebenarnya mempunyai penyakit bergantung kepada sama ada pesakit mempunyai kadar syak yang tinggi menghidap leptospirosis sebelum mengambil ujian. Yang demikian, apabila mentafsirkan keputusan mana-mana ujian ini, seseorang mesti mempertimbangkan kekuatan syak wasangka leptospirosis pada seseorang individu, dan berapa kerap leptospirosis dikesan dalam persekitaran di mana ujian itu akan digunakan.

Tidak dapat dipastikan samada PCR atau PCR masa nyata lebih berupaya dalam mengesan leptospirosis, memandangkan ketiadaan kajian yang secara langsung membandingkan kedua ujian ini. Keputusan ujian pengesanan nukleik dan antigen lain dihuraikan dalam teks utama ulasan.

Sejauh manakah ketepatan keputusan daripada kajian-kajian di dalam ulasan ini?

Tidak semua kajian dijalankan mengikut piawaian saintifik tertinggi. Ini bermakna keputusan beberapa kajian mungkin telah dianggarkan secara berlebihan atau terkurang. Tambahan pula, ujian-ujian yang telah digunakan untuk pengesahan samada seseorang telah benar-benar mengalami leptospirosis atau tidak (dinamakan standard rujukan) mungkin tidak membezakan dengan tepat mereka yang mempunyai atau tidak mempunyai leptospirosis. Atas sebab ini, lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk mengesahkan kebolehpercayaan keputusan ini.

Siapakah yang dapat mengaplikasikan keputusan ulasan ini?

Keputusan mungkin diaplikasikan kepada mereka yang mungkin mempunyai leptospirosis. Walaubagaimanapun, prestasi PCR dan PCR masa nyata berbeza dengan ketara diantara kajian-kajian dan masih tidak jelas sebab terjadinya perbezaan ini. Ada kemungkinan ujian itu dijalankan dengan lebih baik atau lebih teruk bergantung kepada prevalen leptospirosis di rantau tersebut, dan bergantung ke atas masa antara bermulanya simptom dan masa pengujian. Oleh itu, adalah sukar untuk membuat keputusan secara umum bagi kesemua jenis persekitaran dalam ulasan ini.

Sehingga bila ulasan ini dikemaskini?

Pengarang ulasan telah membuat pencarian dan menggunakan kajian-kajian yang mempunyai penerbitan sehingga 6 Julai 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungicochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information