Pesanan teks untuk membantu orang yang menghidap penyakit jantung patuh kepada ubat

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti kesan pesanan teks terhadap kepatuhan ubat dalam kalangan orang dengan penyakit jantung. Kami menemui tujuh kajian melibatkan 1310 peserta.

Latar belakang

Di seluruh dunia, sekurang-kurangnya 100 juta orang menghidap penyakit jantung. Walaupun terdapat banyak rawatan yang kos efektif, kebanyakan individu tidak mengambil ubat yang mereka perlukan untuk memelihara lebih banyak masalah jantung mereka. Satu kaedah yang mungkin membantu orang dengan penyakit jantung untuk mengambil ubat mereka adalah melalui penggunaan peringatan berdasarkan pesanan teks.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga November 2016. Kami menemui tujuh kajian yang membandingkan penggunaan pesanan teks dengan tidak menggunakan pesanan teks, dengan susulan antara sebulan hingga 12 bulan.

Keputusan utama

Walaupun keputusan kajian-kajian ini meyakinkan pesanan teks dapat membantu orang mengambil ubat mereka, kajian-kajian tersebut adalah kecil dan menggunakan kaedah dan definisi yang sangat berbeza. Oleh itu, kami tidak dapat mengumpulkan penemuan kajian-kajian tersebut. Kebanyakan kajian adalah dari negara berpendapatan tinggi, dan terutamanya dijalankan ke atas lelaki. Tiada kajian melaporkan sebarang kesan buruk penggunaan pesanan teks. Tiada konflik kepentingan yang jelas dari penulis, walaupun hanya dua kajian menyatakan pembiayaan mereka.

Kualiti bukti

Kualiti bukti daripada kajian-kajian ini adalah sangat rendah. Kajian berkualiti tinggi tambahan tentang penggunaan pesanan teks untuk mendorong orang dengan penyakit jantung mengambil ubat mereka secara regular diperlukan, terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.