Latar belakang
Penyakit hati yang berkaitan dengan alkohol, atau penyakit hati alkoholik, merupakan penyakit hati yang berkaitan dengan penggunaan alkohol secara keterlaluan. Ia melibatkan satu spektrum penyakit hati yang merangkumi steatosis alkoholik (hati berlemak mudah atau steatosis mudah atau pengumpulan lemak dalam sel-sel hati), hepatitis alkoholik (peradangan sel-sel hati), dan sirosis alkoholik (pemusnahan sel-sel hati dan penggantiannya dengan tisu parut). Hal ini boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius seperti keletihan yang amat sangat, dan kegagalan hati yang membawa kepada muntah darah, kekeliruan, dan kematian. Banyak rawatan perubatan telah digunakan untuk merawat penyakit hati alkoholik. Kaedah yang paling baik untuk merawat penyakit hati alkoholik adalah tida jelas. Kami telah mencuba untuk menyelesaikan masalah ini dengan mencari kajian-kajian yang sedia ada mengenai topik ini. Kami telah menyertakan semua ujikaji klinikal rawak yang dapatannya dilaporkan sehingga Februari 2017. Kami hanya menyertakan kajian-kajian di mana pesertanya tidak pernah menjalani transplan hati dan mereka yang menghidap penyakit hati yang bukan disebabkan oleh punca lain, misalnya jangkitan virus. Selain menggunakan kaedah piawai Cochrane yang hanya membenarkan pembandingan dua jenis rawatan dalam satu-satu masa (pembandingan secara langsung), kami merancang untuk menggunakan suatu kaedah yang lebih kompleks yang membenarkan pembandingan banyak jenis rawatan yang dibandingkan secara berasingan dalam ujikaji-ujikaji berkenaan (meta-analisis rangkaian). Namun begitu, oleh kerana ciri-ciri maklumat yang sedia ada, kami tidak dapat mengenal pasti sama ada dapatan meta-analisis rangkaian tersebut boleh dipercayai atau sebaliknya. Oleh itu, kami hanya menggunakan kaedah piawai Cochrane.
Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai 81 ujikaji yang layak disertakan ke dalam sorotan ini. Kami telah membentangkan secara berasingan dapatan-dapatan bagi peserta-peserta yang mempunyai spektrum penyakit hati alkoholik yang berlainan.
Dapatan utama
Hepatitis alkoholik
Lima puluh ujikaji klinikal rawak mengandungi 4484 peserta yang menghidap hepatitis alkoholik. Tempoh pemerhatian susulan berjulat dari satu hingga 12 bulan. Oleh sebab ciri-ciri maklumat yang sedia ada, kami menggunakan kaedah yang serupa dengan kaedah Cochrane. Tiada daripada rawatan aktif yang menunjukkan sebarang penambahbaikan dalam sebarang dapatan klinikal dalam ujikaji-ujikaji tersebut, yang merangkumi kematian (dalam tempoh-tempoh tertentu), sirosis, kegagalan hati atau transplantasi hati. Tiada daripada ujikaji-ujikaji berkenaan yang melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, atau kejadian kanser hati primer.
Hepatitis alkoholik teruk
Dalam kalangan ujikaji yang berkaitan dengan hepatitis alkoholik, 19 ujikaji (2545 peserta) hanya melibatkan pesakit-pesakit hepatitis alkoholik teruk. Tempoh pemerhatian susulan berjulat dari satu hingga 12 bulan. Tidak terdapat perubahan dalam kesimpulan-kesimpulan apabila pesakit hepatitis alkoholik teruk sahaja disertakan ke dalam analisis.
Sumber kewangan: Sebelas ujikaji telah ditaja oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan terhadap dapatan ujikaji tersebut. Enam belas ujikaji telah ditaja oleh pihak-pihak yang tidak mempunyai kepentingan diri terhadap dapatan ujikaji tersebut. Sumber kewangan tidak dilaporkan dalam 23 ujikaji.
Penyakit hati alkoholik lain
Tiga puluh satu ujikaji klinikal rambang melibatkan 3695 peserta yang menghidap penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengan alkohol (dengan spektrum penyakit hati alkoholik yang luas). Tempoh pemerhatian susulan berjulat dari satu hingga 48 bulan. Risiko kematian adalah lebih rendah dalam kumpulan propylthiouracil berbanding dengan kumpulan tiada rawatan. Risiko kematian adalah lebih tinggi dalam kumpulan asid deoxycholic berbanding dengan kumpulan yang tidak mendapat rawatan. Namun begitu, dapatan-dapatan ini berdasarkan ujikaji yang mempunyai kelemahan dalam kaedahnya, oleh itu dapatan-dapatan ini tidak boleh dipercayai. Sehubungan itu, ujikaji-ujikaji yang mempunyai tahap bias yang rendah dan saiz sampel yang mencukupi perlu dilaksanakan sebelum penggunaan propylthiouracil boleh disarankan sebagai suatu kebiasaan. Tidak terdapat penambahbaikan dalam dapatan-dapatan klinikal yang lain oleh sebarang rawatan, berbanding dengan tiada rawatan.
Sumber kewangan: Dua belas ujikaji telah ditaja oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan terhadap dapatan ujikaji tersebut. Tiga ujikaji telah ditaja oleh pihak-pihak yang tidak mempunyai kepentingan terhadap dapatan ujikaji tersebut. Sumber kewangan tidak dilaporkan dalam 16 ujikaji.
Kualiti bukti
Secara umum, kualiti bukti adalah sangat rendah, dan kesemua ujikaji mempunyai tahap risiko bias yang tidak tentu atau tinggi. Berdasarkan cara pelaksanaan kajian-kajian tersebut, terdapat kemungkinan kesimpulan-kesimpulan yang salah telah dibuat kerana para pengkaji mungkin telah menjangka berlebihan manfaat atau menganggar kurang kemudaratan dalam penggunaan satu-satu jenis rawatan. Lebih banyak ujikaji klinikal rawak yang berkualiti tinggi diperlukan untuk memperoleh dapatan-dapatan yang lebih bermakna.
Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com.