Soalan ulasan
Kami mengkaji bukti tentang sama ada ubat-ubatan dapat mencegah disfungsi jantung yang disebabkan oleh simpanan zat besi yang berlebihan di jantung di kalangan pesakit dengan talasemia beta yang menerima pemindahan darah secara berkala.
Latar belakang
Talasemia beta adalah penyakit darah umum yang diwarisi yang menyebabkan anemia. Pesakit dengan gangguan ini memerlukan pemindahan darah yang kerap di mana ia boleh mengakibatkan zat besi berlebihan disimpan di jantung sehingga menyebabkan kerosakan. Komplikasi yang berkaitan dengan jantung adalah penyebab kematian dan kecacatan yang paling biasa pada individu-individu ini. Tahap zat besi yang tinggi di jantung meramalkan kegagalan fungsi jantung. Ia adalah praktik biasa untuk memberi ubat bagi mengurangkan zat besi di dalam badan (dikenali sebagai khelator) tetapi tidak ada rawatan khusus untuk mengurangkan zat besi yang tersimpan di jantung serta melindunginya daripada kerosakan. Ubat-ubatan yang menyekat kalsium di jantung terbukti dapat mengurangkan zat besi daripada memasuki organ ini. Walau bagaimanapun, sedikit yang diketahui tentang keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan ini di kalangan pesakit dengan beta talasemia.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 24 Februari 2018.
Ciri-ciri kajian
Kami melibatkan dua kajian (74 peserta) dalam ulasan, satu kajian rintis sebelumnya dan satu kajian besar kemudian. Peserta-peserta dengan beta talasemia, kelebihan zat besi yang signifikan, dan sedang menerima rawatan khelasi standard; mereka dengan usia purata 24 tahun. Mereka dipilih secara rawak untuk dirawat selama 12 bulan dengan amlodipine (satu ubat penyekat kalsium) bertambah kepada ubat khelasi mereka atau dengan ubat khelasi sahaja (dalam percubaan sebelumnya) atau dengan ubat khelasi tambah dengan satu plasebo (ubat palsu tanpa ubat aktif) dalam percubaan kemudian.
Hasil utama
Walaupun tidak terdapat penurunan yang signifikan dalam jumlah zat besi di jantung (hasil utama) yang dilihat selepas 12 bulan rawatan dengan amlodipine ketika diukur dengan satu cara, malah terdapat penurunan yang signifikan selepas 12 bulan rawatan menggunakan cara ukuran yang lain. Tidak ada perbezaan dalam hasil lain seperti kadar zat besi dalam darah atau hati atau ukuran fungsi jantung yang lebih lanjut. Walaupun tidak ada kesan sampingan yang serius dilaporkan, kajian lebih lanjut diperlukan untuk menilai keselamatan rawatan ini. Penyelidikan lanjutan yang lebih besar dengan jangka masa yang lebih panjang adalah diperlukan.
Kualiti bukti
Secara keseluruhan, kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini kelihatan dijalankan dengan baik. Tetapi, hasil utama yang dilaporkan adalah berbeza dalam kedua-dua kajian dan beberapa hasil lain kekurangan keperincian. Kualiti bukti adalah rendah untuk semua hasil.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Chan MW (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my