Soalan ulasan
Kami ingin mengetahui jika vitamin D membantu kanak-kanak yang mempunyai radang paru-paru akut yang juga menerima rawatan antibiotik sembuh dengan lebih cepat.
Latar belakang
Radang paru-paru adalah jangkitan akut saluran pernafasan bahagian bawah yang menjejaskan paru-paru. Rawatan untuk radang paru-paru termasuk rawatan antibiotik, membekalkan oksigen tambahan kepada udara yang disedut masuk melalui topeng, dan terapi-terapi sokongan lain. Vitamin D meningkatkan daya tahan imun badan dan mengurangkan keradangan yang berlebihan, yang mungkin boleh membantu kanak-kanak pulih dari episod akut radang paru-paru.
Tarikh carian
Bukti adalah sehingga 28 Julai 2017.
Ciri-ciri kajian
Kami masukkan tujuh kajian yang melibatkan seramai 1529 kanak-kanak (780 mempunyai radang paru-paru (4 kajian) dan 749 mempunyai radang paru-paru yang teruk atau amat teruk (3 kajian)) berumur di bawah 5 tahun dari negara-negara berpendapatan rendah. Dalam empat kajian, satu dos vitamin D yang tinggi digunakan samada semasa kanak-kanak menyertai kajian atau dalam masa 24 jam selepas kemasukan ke hospital; dalam dua kajian, vitamin D diberi selama lima hari; dan dalam satu kajian, vitamin D diberi selama dua hari. Satu kajian telah mengecualikan kanak-kanak yang mempunyai tahap vitamin D yang normal dalam darah. Satu kajian melaporkan punca radang paru-paru kanak-kanak.
Punca / Dana pembiayaan kajian
Satu kajian dibiayai oleh Perbadanan Bantuan New Zealand; satu dibiayai oleh geran institusi; dan lima kajian tanpa pembiayaan.
Keputusan utama
Kami tidak pasti sama ada vitamin D mempunyai kesan penting ke atas hasil kajian kerana kualiti bukti yang sangat rendah. Vitamin D mungkin mengurangkan sedikit masa yang diambil untuk pulih daripada radang paru-paru akut (selama 60 minit) dan mengurangkan sedikit risiko kematian, dan Vitamin D mungkin meningkatkan tempoh masa dalam hospital (selama 30 minit) dan masa yang diambil untuk kebah demam (selama 90 minit). Bagaimanapun, tidak terdapat perbezaan yang ketara diantara kumpulan-kumpulan pesakit bagi hasil-hasil yang dilaporkan di atas. Tiada peristiwa buruk yang besar dilaporkan.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sangat rendah, kecuali bagi masa penyembuhan simptom-simptom akut, yang kami nilaikan sebagai berkualiti rendah. Kami dapat mengenal pasti masalah dengan kaedah kajian dan pelaporan, yang menyebabkan bukti kurang tepat dikalangan kajian yang dimasukkan.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my