Mesej utama
-
Setelah enam bulan menjalani rawatan, ubat-ubatan yang disebut sebagai 'biologik' nampaknya berfungsi paling bagus untuk menghilangkan tompok-tompok psoriasis pada kulit.
-
Kajian yang lebih panjang diperlukan untuk menilai faedah dan potensi kesan tidak diingini daripada rawatan yang lebih lama dengan ubat yang diambil melalui suntikan atau mulut untuk merawat psoriasis.
-
Lebih banyak kajian diperlukan untuk membandingkan jenis ubatan ini secara langsung antara satu sama lain.
Apakah psoriasis?
Sistem imun menghalang kuman dan bahan asing yang lain dari badan dan memusnahkan apa-apa yang masuk. Psoriasis adalah keadaan imun yang mana sistem imun tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Psoriasis menjejaskan kulit dan, kadang-kadang, sendi. Psoriasis mempercepat penghasilan sel-sel kulit baru, yang terkumpul untuk membentuk tompok-tompok yang timbul pada kulit yang dikenali sebagai 'plak'. Plak juga boleh mengelupas, bersisik, gatal, dan kelihatan merah pada kulit putih, dan sebagai tompok yang lebih gelap pada warna kulit yang lebih gelap. Psoriasis plak adalah bentuk psoriasis yang paling biasa.
Bagaimanakah psoriasis dirawat?
Rawatan bergantung pada betapa teruknya gejala. Kira-kira satu dalam 10 hingga dua dalam 10 orang dengan psoriasis sederhana atau teruk perlu mengambil ubat yang menjejaskan sistem imun mereka untuk membantu mengawal psoriasis. Ubat ini dipanggil rawatan sistemik, kerana ianya mempengaruhi seluruh tubuh. Ubatan ini biasanya diambil melalui mulut (secara oral) atau disuntik.
Mengapakah kami membuat ulasan Cochrane ini?
Terdapat tiga jenis ubat sistemik untuk merawat psoriasis.
-
'Biologik' – protein, seperti antibodi, yang menyasarkan interleukin dan sitokin (bahagian sistem imun yang mempengaruhi bagaimana sel bertindak).
-
Rawatan sasaran sintetik – ubat yang dibuat oleh manusia yang menjejaskan sel imun (contohnya, apremilast).
-
Ubat-ubatan tidak bersasar – ubat-ubatan yang telah lama digunakan untuk merawat psoriasis, seperti methotrexate, ciclosporin, dan retinoid.
Kami ingin memahami faedah dan potensi kesan tidak diingini daripada mengambil ubat sistemik untuk merawat psoriasis, dan untuk melihat sama ada sesetengah ubat berfungsi lebih baik daripada yang lain.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menguji ubat sistemik pada dewasa dengan psoriasis plak sederhana hingga teruk.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 204 kajian, termasuk 26 kajian baru, sejak pencarian terakhir kami pada Julai 2024. Kajian-kajian tersebut menguji 26 ubatan yang berbeza, merangkumi 67,889 orang dewasa dengan psoriasis (usia purata 44.4 tahun) dan berlangsung dari dua hingga enam bulan. Daripada 177 kajian yang melaporkan sumber dana mereka, syarikat farmaseutikal membiayai 157 kajian, dan 27 tidak melaporkan sumber dana.
Kebanyakan kajian membandingkan ubat sistemik dengan plasebo (rawatan tidak aktif yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi kelihatan sama dengan ubat yang diuji). Mereka menggunakan skala pengukuran biasa yang dipanggil Indeks Kawasan Psoriasis dan Keparahan untuk membandingkan seberapa baik setiap ubat menghilangkan plak psoriasis dari kulit, mencari peningkatan sebanyak 90%. Beberapa kajian melaporkan tentang kesejahteraan pesakit.
Kami membandingkan semua ubat antara satu sama lain.
Apakah keputusan utama ulasan kami?
Semua ubatan yang diuji berfungsi lebih baik daripada plasebo untuk merawat psoriasis apabila diukur sebagai peningkatan 90% pada Indeks Kawasan Psoriasis dan Keparahan.
Ubat biologik (yang menyasarkan molekul yang dipanggil interleukin 17, 23, 12/23, dan cytokine TNF-alpha) merawat psoriasis dengan lebih baik daripada rawatan sintetik bersasar dan ubat tidak bersasar.
Berbanding dengan plasebo, lima ubat biologik berfungsi paling baik untuk merawat psoriasis, dengan sedikit perbezaan antara mereka:
-
infliximab (mensasarkan TNF-alpha);
-
ixekizumab, bimekizumab, xeligekimab (mensasarkan interleukin-17); dan
-
risankizumab (mensasarkan interleukin-23).
Kami tidak menemui bukti perbezaan dalam jumlah kejadian tidak diingini yang serius untuk semua ubat sistemik yang diuji apabila dibandingkan dengan plasebo. Walau bagaimanapun, kajian-kajian tidak melaporkan keputusan mengenai bahaya secara konsisten, seperti kejadian tidak diingini yang serius. Oleh itu, kami tidak pasti tentang perkara ini.
Batasan bukti
Kami menemui bahawa, apabila dibandingkan dengan plasebo, ubat biologik infliximab, xeligekimab, bimekizumab, ixekizumab, dan risankizumab adalah rawatan yang paling berkesan untuk mencapai peningkatan 90% pada Indeks Kawasan Psoriasis dan Keterukan pada orang dengan psoriasis sederhana hingga teruk. Kami yakin dengan keputusan kami untuk bimekizumab, dan agak yakin dengan keputusan kami untuk infliximab, ixekizumab, xeligekimab, dan risankizumab.
Kami kurang yakin dengan keputusan kami untuk peristiwa serius tidak diingini, kerana jumlah yang dilaporkan adalah rendah.
Kami juga kurang yakin dengan keputusan bagi ubat tidak bersasar kerana bimbang tentang bagaimana beberapa kajian dijalankan. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah keputusan ini.
Kami tidak menemui banyak kajian untuk beberapa daripada 26 ubatan yang dimasukkan dalam ulasan kami. Peserta kajian kebanyakannya mengalami psoriasis yang teruk pada awal kajian, jadi keputusan kami mungkin tidak berguna bagi orang yang psoriasisnya kurang teruk. Penemuan kami hanya berkaitan dengan rawatan ubat sistemik sehingga enam bulan paling lama.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami menyertakan bukti sehingga Julai 2024.
Nota editorial: ini adalah ulasan sistematik berterusan. Ulasan sistematik berterusan menawarkan pendekatan baharu untuk kemaskini ulasan, yang mana ulasan adalah dikemaskini secara berterusan, memasukkan bukti baharu yang relevan apabila ia tersedia.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).