Ubat sistemik (oral atau suntikan) untuk psoriasis

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan ini bertujuan membandingkan pelbagai ubat sistemik (ubat oral atau suntikan berkesan di seluruh badan) yang diguna untuk merawat psoriasis plak kronik sederhana hingga serius dalam kalangan dewasa (lebih 18 tahun), untuk mengetahui yang mana paling selamat dan paling berkesan untuk menghilangkan psoriasis. Kami ingin mengelaskan ubat-ubatan mengikut tahap keselamatan dan keberkesanan, bagi membantu membangun rawatan untuk orang dengan psoriasis plak kronik. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini, dan menemui 140 kajian.

Mesej utama

Keputusan menunjukkan beberapa rawatan dari kelas biologi ubat dilihat sebagai ubat sistemik yang paling berkesan untuk mencapai pembaikan 90% dalam Indeks Keterukan dan Kawasan Psoriasis (PASI). Kami mendapati tiada perbezaan signifikan dalam kesan buruk yang serius (SAEs) (iaitu kesan sampingan yang serius) apabila membandingkan sebarang rawatan yang dinilai dengan plasebo. Walau bagaimanapun, oleh kerana bukti keselamatan adalah sangat rendah hingga sederhana, kami tidak pasti akan keputusan ini.

Bagi sesetengah intervensi, kami mendapati bilangan kajian yang rendah, oleh itu lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan untuk membandingkan secara langsung antara satu sama lain ubat sistemik, dan bukannya membandingkan ubat-ubatan ini dengan plasebo (bahan yang tidak aktif). Tambahan juga, kajian jangka panjang diperlukan untuk memberi lebih banyak bukti tentang manfaat dan keselamatan ubat sistemik dan membandingkan profil keselamatannya. Oleh itu, keputusan ulasan ini adalah terhad kepada rawatan induksi (iaitu hasil diukur dari 8 hingga 24 minggu selepas peserta telah dimasukkan dalam kumpulan rawatan mereka), dan tiada cukup maklumat untuk memahami manfaat relatif rawatan ke atas keputusan jangka panjang untuk penyakit kronik ini.

Kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah (terutamanya ubat konvensional) hingga tinggi (terutama ubat biologi). Kami menurunkan gred kepastian bukti akibat risiko bias (berkaitan dengan kaedah kajian) dan keputusan yang tidak konsisten atau tidak tepat (tidak jitu).

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Psoriasis dilihat sebagai tompokan kulit merah bersisik yang mengelupas (dikenali sebagai plak) atau kesan keradangan lain yang dilihat pada kulit atau sendi, atau kedua-duanya. Psoriasis adalah disebabkan oleh tindak balas abnormal sistem imun orang yang mungkin ada kecenderungan genetik untuk keadaan tersebut.

Kira-kira 2% daripada populasi menghidap psoriasis, dan 90% daripada mereka mempunyai psoriasis plak. Sekitar 10% hingga 20% orang dengan psoriasis plak kronik memerlukan rawatan sistemik. Psoriasis memberi impak negatif kualiti hidup, termasuk kehidupan psikososial seseorang.

Kami membandingkan 19 ubat sistemik dengan mengenal pasti kajian yang membandingkan satu atau lebih ubat-ubatan ini sama ada dengan plasebo atau dengan ubatan lain untuk merawat psoriasis plak sederhana hingga serius dalam kalangan dewasa pada sebarang peringkat rawatan. Ubat-ubatan yang kami nilai adalah rawatan sistemik konvensional (pelbagai kumpulan rawatan yang merupakan rawatan tertua yang diberikan untuk psoriasis), biologi (rawatan yang menggunakan bahan yang dibuat daripada organisma hidup, atau versi sintetik, untuk menyasarkan sistem imun), dan molekul kecil (yang mempengaruhi molekul di dalam sel imun). Kami memasukkan kajian-kajian yang melibatkan peserta yang mungkin juga menghidap artritis psoriatik. Hasil utama yang kami ingin lihat adalah pencapaian PASI 90 dan sebarang kesan sampingan serius yang dianggap berkaitan dengan ubat-ubatan tersebut.

Kami menggabungkan semua kajian untuk membolehkan analisis tidak langsung rawatan-rawatan tersebut, supaya kami boleh membandingkan rawatan di antara satu sama lain (meta-analisis rangkaian).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

140 kajian melibatkan 51,749 orang (terutamanya yang dirawat di hospital) dengan psoriasis sederhana hingga teruk: 34,624 lelaki dan 16,529 wanita (baki 596 peserta tidak diketahui jantina); purata umur keseluruhan adalah 45 tahun, skor min PASI keseluruhan pada permulaan kajian adalah 20 (julat: 9.5 hingga 39), menunjukkan tahap keterukan penyakit yang tinggi. Kebanyakan kajian (n = 82) membandingkan ubatan sistemik dengan rawatan plasebo, 41 kajian membandingkan rawatan sistemik dengan rawatan sistemik yang lain, dan 17 kajian membandingkan rawatan sistemik dengan rawatan sistemik dan plasebo. Kebanyakan kajian adalah jangka pendek; 117 adalah kajian berbilang pusat (2 hingga 231 pusat). Kebanyakan kajian (107/140) mengisytiharkan dana syarikat farmaseutikal dan 22 kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Hasil yang dilaporkan diukur dari 8 hingga 24 minggu selepas peserta kajian dirawak (fasa induksi). Keputusan berikut adalah berdasarkan kepada meta-analisis rangkaian (satu teknik yang mensintesis perbandingan intervensi langsung dan tidak langsung).

Keputusan menunjukkan berbanding plasebo, semua rawatan (dinilai dalam kumpulan berikut: anti-IL17, anti-IL12/23, anti-IL23, dan anti-TNF Alpha (iaitu rawatan yang dikenali sebagai biologik); rawatan molekul kecil; dan agen sistemik konvensional) adalah secara signifikan lebih berkesan dalam merawat psoriasis apabila dinilai menggunakan indeks yang memerlukan 90% penambahbaikan (PASI 90).

Sehubungan dengan hasil yang sama (PASI 90), rawatan biologik anti-IL17, anti-IL12/23, anti-IL23, dan anti-TNF Alpha dilihat lebih berkesan secara signifikan daripada molekul kecil dan agen sistemik konvensional. IL adalah singkatan bagi interleukin; TNF adalah singkatan bagi faktor nekrosis tumor, dan kedua-duanya adalah jenis cytokine. Cytokine mempengaruhi tingkah laku sel.

Dari segi ubat-ubatan individu, sekali lagi apabila menilai keupayaan untuk mencapai PASI 90, infliximab, semua ubat anti-IL17 (ixekizumab, secukinumab, bimekizumab, dan brodalumab) dan ubat anti-IL23 (risankizumab dan guselkumab, tetapi tidak tildrakizumab) adalah secara signifikan lebih berkesan berbanding ustekinumab dan tiga agen anti-TNF alpha: adalimumab, certolizumab dan etanercept. Adalimumab dan ustekinumab adalah lebih superior berbanding certolizumab dan etanercept. Kami mendapati tiada perbezaan signifikan antara tofacitinib atau apremilast dan dua ubat konvensional: ciclosporin dan methotrexate.

Apabila dinilai berbanding plasebo, tujuh ubat-ubatan biologi sangat berkesan membersihkan lesi psoriasis (khususnya, mencapai PASI 90). Ubat-ubatan ini adalah infliximab, ixekizumab (kedua-duanya berdasarkan bukti kepastian sederhana), risankizumab (bukti kepastian pada tahap tinggi), bimekizumab (bukti kepastian rendah), guselkumab (bukti kepastian sederhana), secukinumab (bukti kepastian tinggi), dan brodalumab (bukti kepastian sederhana). Terdapat sedikit perbezaan dari segi keberkesanan ubat-ubatan ini.

Bagi hasil PASI 75 dan Penilaian Pakar Global (PGA) 0/1 (iaitu mencapai pembaikan 75% dan mencapai skor PGA 0 atau 1), keputusan adalah sama dengan keputusan bagi PASI 90.

Kita perlu berhati-hati tentang keputusan bagi beberapa rawatan biologik (bimekizumab), molekul kecil (perencat tirosine kinase 2), dan rawatan sistemik konvensional (acitretin, ciclosporin, ester asid fumaric, dan methotrexate), kerana ubat-ubatan ini dinilai dalam kurang kajian dalam NMA.

Bagi risiko kesan sampingan serius, tiada perbezaan signifikan yang didapati antara mana-mana ubat sistemik berbanding rawatan plasebo. Walau bagaimanapun, bilangan kesan sampingan serius adalah sangat rendah, dan pengelasan kami adalah berdasarkan tahap rendah hingga sangat rendah (hanya untuk kurang daripada separuh keputusan tersebut) atau bukti kepastian sederhana, oleh itu keputusan perlu ditafsir dengan berhati-hati.

Bagi semua kajian, kurang maklumat direkodkan tentang kualiti hidup; beberapa ubat-ubatan yang dikaji tiada data tentang kualiti hidup.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2019.

Nota editorial: Ini adalah ulasan sistematik berterusan. Ulasan sistematik berterusan menawarkan pendekatan baharu untuk mengulas kemaskini di mana ulasan dikemas kini secara berterusan, menggabungkan bukti relevan baharu apabila didapati. Sila rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status semasa ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane#@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save