Membandingkan penyingkiran nod limfa secara lanjut ataupun standard dalam individu yang mempunyai kanser di bahagian kepala pankreas dan kawasan periampula

Soalan ulasan kajian

Kami telah berusaha untuk mengetahui sama ada pembedahan pembuangan nod limfa yang lebih lanjut memberi kesan positif kepada kelangsungan hidup, pengulangan penyakit, dan komplikasi akhirnya, serta bagaimana penyingkirannya dapat mempengaruhi kualiti hidup seseorang.

Latar belakang

Adenokarsinoma pankreas dan periampula mencerminkan barah pankreas yang paling kerap dan agresif. Gejala yang paling biasa berlaku termasuk sakit, penyakit kuning (penguningan kulit dan keputihan mata), dan penurunan berat badan. Malangnya, gejala-gejala ini sering tidak muncul semasa peringkat awal penyakit tersebut, sehingga menangguhkann diagnosis. Pengangguhan ini bermaksud bahawa hanya sekitar 15% hingga 25% individu yang menghidap barah pankreas yang layak menjalani terapi penyembuhan yang berpotensi. Pankreaticoduodenectomy separa (PD) adalah rawatan pilihan. Ini termasuk penyingkiran kepala pankreas (kelenjar besar yang menghasilkan insulin dan rembesan yang membantu pencernaan), duodenum (bahagian pertama usus kecil), pundi hempedu (organ yang menyimpan hempedu, yang membantu pencernaan), hujung saluran empedu (membawa hempedu dari hati atau pundi hempedu ke duodenum), kelenjar getah bening dekat dengan kawasan yang terjejas (struktur yang bertindak sebagai penapis untuk mengelakkan zarah asing memasuki aliran darah), dan kadang-kadang, ujung perut.

Walau bagaimanapun, masih ada kontroversi sama ada berpotensi untuk menghilangkan lebih banyak kelenjar getah bening. Secara amnya, sekitar 5% pesakit mati akibat pembedahan pankreas, dan 18% hingga 52% menghadapi komplikasi. Hal ini termasuk pengosongan perut yang tertunda selepas makan, perkembangan fistula pankreas (penyambungan yang tidak normal antara pankreas dan rongga perut atau organ-organ yang lain), pengumpulan nanah dalam perut, dan pendarahan berlebihan dari perut, usus, atau rongga abdomen.

Ciri-ciri kajian

Kami telah melibatkan tujuh kajian terkawal secara rawak (jenis kajian di mana peserta-peserta telah ditugaskan secara rawak ke dalam kumpulan-kumpulan rawatan), telah diterbitkan sebelum 10 September 2020, dengan sejumlah 843 peserta dewasa yang telah menjalani PD dengan penyingkiran kelenjar getah bening secara standard ataupun lanjutan. Terdapat perbezaan saiz sampel, rawatan, dan kualiti penyelidikan antara kajian-kajian tersebut.

Hasil-hasil utama kajian

Kami mendapati terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan secara keseluruhan terhadap kelangsungan hidup antara kedua-dua kumpulan. Hal ini kerana masa operasi berkemungkinan lebih lama, terdapat lebih banyak kehilangan darah, dan lebih banyak kelenjar getah bening dikeluarkan dalam kumpulan yang menjalani reseksi kelenjar getah bening secara lanjut. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam kadar margin reseksi negatif (iaitu tidak ada sel tumor yang dapat dikesan pada permukaan pemotongan spesimen) antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Kami menyimpulkan bahawa pada masa ini, pembuangan kelenjar getah bening secara lebih lanjut tidak meningkatkan kelangsungan hidup kepada pesakit yang menghidap adenokarsinoma pankreas dan periampula.

Kualiti bukti kajian

Secara keseluruhan, kami telah menemui bukti berkualiti rendah. Kajian-kajian tersebut telah menggunakan rejimen rawatan yang berbeza dan definisi yang berbeza dari reseksi kelenjar getah bening standard dan lanjutan; kekurangan pakar bedah dan pengasuh yang disertakan dalam kajian secara rawak telah mewujudkan risiko bias dalam hasil pembedahan; penggunaan kemoterapi dan intervensi sampingan lain berbeza antara kajian, dan antara kumpulan dalam kajian individu. Oleh itu, kami mempunyai keyakinan yang terhad terhadap anggaran kesannya, dan kesan sebenarnya mungkin jauh berbeza dari yang kami dapati.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information