Intervensi untuk pesakit dan penjaga untuk meningkatkan pengetahuan tentang penyakit sel sabit dan pengenalian komplikasi berkaitannya

Soalan ulasan

Kami ingin menentukan sama ada sebarang intervensi pendidikan telah membantu penghidap penyakit sel sabit dan penjaga mereka untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang penyakit itu, mengenali komplikasinya, meningkatkan pematuhan mereka terhadap rawatan, mempengaruhi cara mereka menggunakan penjagaan kesihatan dan memperbaiki masalah sosial dan psikologi lain yang mereka mungkin hadapi.

Latar belakang

Penyakit sel sabit adalah penyakit yang diwarisi sepanjang hayat yang boleh menyebabkan beberapa komplikasi sepanjang hayat seseorang. Ia boleh menyebabkan beban yang besar kepada pesakit dan keluarga mereka, termasuk lawatan kerap ke kemudahan penjagaan kesihatan. Penyakit ini bukan sahaja menyebabkan komplikasi fizikal seperti krisis kesakitan dan strok, tetapi mungkin mempunyai banyak kesan lain seperti kemurungan, kualiti hidup yang buruk, masalah penyesuaian diri dan hubungan kekeluargaan yang lemah. Apabila penghidap penyakit kronik mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang penyakit mereka, mereka mampu menguruskan penyakit mereka dengan lebih baik dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Kami ingin membandingkan kesan intervensi yang berbeza serta intervensi individu dengan tiada intervensi.

Tarikh pencarian

Bukti adalah yang terkini hingga 11 April 2016.

Ciri-ciri kajian

Kajian ini menyertakan 12 kajian (563 orang dengan HbSS, HbSC atau HbSβthal berumur enam hingga 35 tahun). Peserta dibahagikan secara rawak kepada sama ada program pendidikan, tiada program dan dalam beberapa kes kepada program bukan pendidikan, contohnya terapi seni. Intervensi merangkumi daripada jumlah satu jam hingga sesi mingguan selama lapan minggu dan penilaian selepas intervensi adalah dari penghujung tempoh intervensi sehingga 12 bulan selepas selesai.

Hasil-hasil utama kajian

Program pendidikan dan intervensi lain telah menghasilkan peningkatan dalam pengetahuan pesakit atau pemahaman tentang penyakit sel sabit, dan penurunan kemurungan. Kesan ke atas pengetahuan pesakit kekal lebih lama berbanding dengan penjaga. Kesan yang ditunjukkan adalah kecil tetapi mungkin disebabkan akibat kebanyakan kajian mempunyai bilangan peserta yang sangat kecil dan terdapat banyak variasi antara kajian. Intervensi yang dikaji tidak menunjukkan kesan ke atas penggunaan perkhidmatan kesihatan pesakit, hubungan antara keluarga, kemahiran penjaga atau pesakit, penyesuaian diri atau kualiti hidup pesakit yang berkaitan dengan kesihatan. Tiada data perbandingan yang dilaporkan untuk pesakit atau penjaga (atau kedua-duanya) yang mengenali tanda dan gejala yang membawa kepada pengurusan diri. Tiada ujian yang menilai pematuhan terhadap rawatan.

Kualiti bukti

Kajian-kajian yang dijumpai berbeza dalam intervensi yang dikaji serta bagaimana hasil yang berbeza dinilai. Kualiti bukti adalah rendah untuk hasil penyesuaian diri yang positif dan sederhana untuk hasil pengetahuan kanak-kanak, penggunaan penjagaan kesihatan dan kemurungan. Ini mencadangkan bahawa penyelidikan lanjut berkemungkinan mempunyai kesan penting terhadap keyakinan kita terhadap kesan rawatan. Penyelidikan lanjut menggunakan kajian rawak terkawal dengan lebih ramai orang (termasuk populasi yang berbeza) adalah diperlukan untuk meningkatkan pemahaman kita tentang intervensi yang mungkin berguna.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Universiti) . Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information