Klinik bergerak untuk kesihatan wanita dan kanak-kanak

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan klinik bergerak terhadap kesihatan wanita dan kanak-kanak. Penyelidik Cochrane mencari dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Ulasan ini hanya merangkumi dua kajian. Satu kajian yang disertakan menunjukkan bahawa klinik bergerak boleh meningkatkan bilangan wanita yang menggunakan perkhidmatan mamografi, walaupun kos pemeriksaan mamografi mungkin lebih tinggi. Satu lagi kajian menunjukkan bahawa klinik bergerak berkemungkinan memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap gejala asma kanak-kanak, penggunaan ubat-ubatan dan rawatan segera mereka, atau kualiti hidup penjaga mereka. Lebih banyak kajian diperlukan, termasuklah kajian yang menilai kesan klinik bergerak terhadap kos dan akses orang ramai kepada penjagaan kesihatan, kepuasan, kesihatan, dan kesejahteraan mereka.

Apakah yang dikaji dalam ulasan?

Dalam kebanyakan tetapan, orang ramai mempunyai kurang akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan kerana mereka tinggal di kawasan terpencil atau sukar dijangkau. Wanita dan kanak-kanak mungkin mendapati ianya sangat sukar untuk mengakses perkhidmatan kesihatan kerana faktor kewangan atau sosial.

Satu cara untuk meningkatkan akses orang ramai kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan adalah dengan menyediakan klinik bergerak. Klinik bergerak adalah kenderaan dengan pemandu dan peralatan klinikal, dan ia dikendalikan oleh kakitangan kesihatan seperti doktor atau jururawat, yang kerap melawat kawasan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan.

Klinik bergerak digunakan di banyak negara dan sering digunakan untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada wanita dan kanak-kanak, seperti penjagaan antenatal, imunisasi kanak-kanak, perkhidmatan perancangan keluarga, dan saringan kanser payudara.

Dengan membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat melalui klinik bergerak, kerajaan berharap untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan ini dan meningkatkan kesihatan rakyat. Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk meneroka kesan klinik bergerak terhadap akses dan penggunaan penjagaan kesihatan oleh orang ramai, dan juga kepuasan, kesihatan, dan kesejahteraan mereka; di samping kos dan keberkesanan kosnya, berbanding dengan klinik tetap.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan memasukkan dua kajian, yang berasal dari AS.

Dalam kajian pertama, wanita telah ditawarkan sama ada pendidikan kesihatan dan saringan mamografi di klinik bergerak atau hanya pendidikan kesihatan sahaja termasuklah peringatan untuk menghadiri klinik tetap yang menawarkan saringan mamografi. Kajian ini menunjukkan bahawa:

· wanita yang ditawarkan mamografi di klinik bergerak mungkin lebih cenderung untuk menjalani mamografi (bukti berkepastian rendah);

· kos saringan bagi setiap wanita mungkin lebih tinggi untuk klinik bergerak berbanding klinik tetap (bukti berkepastian rendah).

Kajian ini tidak menilai kesan klinik bergerak terhadap kesihatan dan kesejahteraan wanita, akses mereka kepada perkhidmatan atau kepuasan mereka dengan perkhidmatan ini.

Dalam kajian kedua, kanak-kanak telah ditawarkan penjagaan asma sama ada di klinik bergerak atau dengan penyedia lazim penjagaan utama mereka. Kajian ini menunjukkan bahawa klinik bergerak:

· mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap hari tanpa gejala untuk kanak-kanak dengan asma atau penggunaan rawatan segera dan ubat-ubatan mereka (bukti berkepastian rendah);

· mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap kualiti hidup penjaga kanak-kanak (bukti berkepastian rendah).

Kajian ini tidak menilai kesan klinik bergerak terhadap akses kanak-kanak kepada perkhidmatan atau kepuasan mereka dengan perkhidmatan ini, atau terhadap kos dan keberkesanan kos dengan penggunaan klinik bergerak.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga April 2015.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information