Rawatan bukan ubatan untuk gejala mulut yang kering

Soalan ulasan

Ulasan oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini dibuat untuk menilai kesan rawatan bukan ubat yang diguna untuk merangsang penghasilan air liur bagi mengurangkan gejala mulut yang kering (xerostomia).

Latar belakang

Mulut yang kering adalah masalah yang lazim dengan anggaran insiden di antara 10% hingga 26% dalam kalangan lelaki dan 10% hingga 33% dalam kalangan wanita, yang mungkin atau tidak mungkin disebabkan oleh kurangnya rembesan air liur. Antara penyebab lazim mulut kering termasuklah kesan sampingan kebanyakan ubatan yang dipreskripsi, penyakit (misalnya Sindrom Sjogren di mana sistem imun merosakkan tisu kelenjar yang menghasilkan air liur) dan rawatan radioterapi untuk kanser kepala dan leher.

Air liur melembapkan kulit dalam mulut dan membantu mengekalkan kesihatan oral. Kehadiran air liur memudahkan pertuturan, bertindak untuk membersihkan sisa makanan pada gigi, meneutralkan asid makanan dan bakteria yang berpotensi untuk merosakkan, meningkatkan keupayaan seseorang untuk merasa makanan dan secara umum melincirkan mulut. Air liur juga bertindak melembutkan makanan, memudahkan ia untuk dikunyah dan ditelan. Enzim dalam air liur mula mencerna kanji dan lemak, dan bahan lain dalam air liur misalnya faktor pertumbuhan epidermal menggalakkan pertumbuhan tisu, pembezaan dan penyembuhan luka. Agen antibakteria, antikulat dan dan antivirus dalam air liur mengimbangi flora oral dan membantu mencegah jangkitan oral, manakala mineral dalam air liur membantu mengekalkan enamel gigi.

Rawatan bukan ubat misalnya akupunktur, rangsangan elektrik yang ringan, laser, pemberusan gigi dan teknik rangsangan lain digunakan untuk memperbaiki gejala mulut yang kering

Ciri kajian

Bukti yang mana ulasan ini didasarkan adalah terkini sehinggan 16 April 2013.

Sembilan kajian dimasukkan dalam ulasan ini. Sejumlah 366 peserta dewasa mengambil bahagian dalam kajian-kajian tersebut dengan purata 40 peserta dalam setiap kajian, dan julat umur adalah di antara 12 hingga 77 tahun. Penyebab mulut yang kering adalah radioterapi kanser oral dalam empat kajian, sindrom Sjorgren dalam tiga kajian, berkaitan ubatan dalam satu kajian dan kajian selebihnya melibatkan peserta yang mempunyai pelbagai sebab yang mulut kering.

Kajian yang dimasukkan terbahagi kepada tiga kumpulan, mengikut intervensi yang dinilai.

1. Lima kajian kecil dengan jumlah 153 peserta dinilai dengan akupunktur.

2. Tiga kajian menilai peranti rangsangan elektrik.

3. Satu kajian menilai berus gigi berkuasa.

Keputusan utama

Lima kajian yang menilai kesan akupunktur dalam kalangan orang yang menghidap mulut yang kering adalah secara umum berkualiti rendah. Tiada bukti perbezaan dalam gejala mulut yang kering, namun terdapat bukti peningkatan kecil penghasilan air liur yang berterusan sehingga setahun selepas tamatnya rawatan akupunktur. Mungkin tidak cukup peserta yang menyertai kajian untuk menunjukkan perbezaan dalam mulut yang kering, atau mungkin kedua-dua akupunktur sebenar dan akupunktur 'plasebo' memberi kesan bermanfaat. Akupunktur dikaitkan dengan lebih banyak kesan buruk misalnya lebam kecil dan sedikit keletihan sementara.

Kajian-kajian yang menilai kesan peranti rangsangan elektrik tidak dilaksanakan dan dilaporkan dengan baik, tidak memberi bukti yang cukup untuk menentukan kesan peranti-peranti ke atas mulut yang kering atau penghaslian air liur.

Kajian kecil tunggal yang membandingkan berus gigi berkuasa dengan berus gigi manual mendapati tiada perbezaan sama ada bagi mulut yang kering atau penghasilan air liur.

Tiada di antara kajian-kajian tersebut yang melaporkan tempoh keberkesanan, kualiti hidup, kepuasan pesakit atau penilaian kesihatan oral.

Kualiti bukti

Secara amnya, kajian-kajian tersebut adalah tidak berkualiti (rendah atau sangat rendah).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information