Seberapa berkesankah penambahbaikan rumah dan strategi lain yang direka untuk membantu orang tua dengan penglihatan rendah bergerak dengan selamat?

Mengapakah soalan ini penting?
Penglihatan rendah yang tidak boleh diperbaiki oleh kaca mata standard atau sebarang rawatan perubatan dipanggil kerosakan penglihatan. Adalah lazim untuk orang mengalami kerosakan penglihatan pada kemudian hari. Orang tua dengan kerosakan penglihatan cenderung untuk mengelakkan aktiviti fizikal; contohnya, mereka mungkin berjalan lebih sedikit dalam sehari daripada orang tanpa kerosakan penglihatan. Mereka juga lebih cenderung untuk mengalami kegelisahan atau kemurungan, atau mengalami kecederaan akibat terjatuh.

Perubahan kepada persekitaran atau tingkah laku seseorang boleh dibuat untuk membantu orang tua dengan kerosakan penglihatan bergerak dengan selamat di sekitar - dalam dan luar - rumah mereka. Ini termasuk penyesuaian di rumah untuk membolehkan pergerakan yang selamat di sekitarnya, atau peningkatan keseimbangan seseorang melalui senaman.

Bagi mengetahui jika strategi yang direka untuk membantu orang bergerak dengan selamat adalah berkesan untuk orang tua dengan kerosakan penglihatan, pasukan penyelidik Cochrane mengulas bukti dari kajian penyelidikan. Khususnya, kami ingin mengetahui jika strategi-strategi ini:

• meningkatkan aktiviti fizikal;
• mengurangkan risiko jatuh;
• mengurangkan rasa takut jatuh;
• meningkatkan kualiti hidup.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti
Pertama, kami mencari semua kajian yang relevan dalam literatur perubatan. Kami kemudian membandingkan keputusan-keputusannya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti itu. Kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan di seluruh kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengkategorikan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami temui
Kami menemui enam kajian dengan jumlah 686 orang tua dengan kerosakan penglihatan yang diikuti selama antara dua dan 12 bulan. Orang yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian itu berusia secara purata 80 tahun, dan mereka tinggal sama ada di rumah atau persekitaran rumah jagaan.

Lima kajian membandingkan perubahan kepada rumah yang dibuat oleh ahli terapi pekerjaan berbanding lawatan rumah oleh kakitangan penyelidikan atau sukarelawan. Bukti dari kajian-kajian ini menunjukkan bahawa enam bulan selepas perubahan dibuat, perubahan di rumah mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada aktiviti fizikal, takut jatuh atau kualiti hidup (bukti kepastian rendah). Perubahan di rumah mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko orang jatuh enam bulan selepas perubahan dibuat, tetapi mungkin sedikit mengurangkan risiko jatuh selepas satu tahun (bukti kepastian rendah).

Enam kajian membandingkan senaman berbanding aktiviti biasa atau lawatan rumah. Bukti dari kajian-kajian ini menunjukkan bahawa senaman mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada aktiviti fizikal, risiko jatuh, takut jatuh atau kualiti hidup selepas enam bulan (bukti kepastian rendah).

Apakah maksudnya
Bukti semasa menunjukkan bahawa strategi yang direka untuk membantu orang bergerak dengan selamat mungkin tidak meningkatkan aktiviti fizikal, mengurangkan ketakutan jatuh atau meningkatkan kualiti hidup orang tua dengan kerosakan penglihatan. Perubahan di rumah untuk meningkatkan keselamatan bergerak di sekitar rumah mungkin sedikit mengurangkan risiko jatuh selepas satu tahun, tetapi tidak selepas enam bulan.

Kepastian tentang bukti adalah rendah. Penyelidikan lebih lanjut berkemungkinan mengubah penemuan ulasan ini. Kajian pada masa depan yang mengkaji strategi mana diterima orang dan mengapa, dan yang mengukur perubahan dalam aktiviti fizikal dan jatuh menggunakan kaedah-kaedah penyelidikan yang kukuh, akan membantu mengurangkan ketidakpastian dalam bidang ini.

Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 4 Februari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save