Latihan fonik untuk penutur Bahasa Inggeris yang lemah membaca.

Soalan ulasan

Adakah latihan fonik akan meningkatkan kemahiran berkaitan literasi untuk penutur Bahasa Inggeris yang lemah membaca.

Latarbelakang

Kemahiran membaca untuk 16% kanak-kanak berada di bawah julat purata untuk umur mereka, dan 5% kanak-kanak mengalami masalah membaca yang teruk dan signifikan. Kelemahan membaca berkait dengan risiko yang lebih tinggi untuk tercicir dari sekolah, dan juga keresahan, kemurungan, rendah konsep kendiri, mencederakan diri sendiri dan membunuh diri. Maka, pertolongan yang cepat dan efektif adalah sangat penting untuk diberikan kepada mereka yang lemah membaca.

Latihan fonik adalah salah satu kaedah rawatan yang paling lazim digunakan untuk mereka yang lemah membaca, terutamanya kanak-kanak. Latihan fonik mengajar pembaca untuk: mengenali setiap huruf atau kumpulan huruf dalam perkataan yang baru (e.g. S H I P); memasukkan setiap huruf atau kumpulan huruf ke dalam bunyi penuturan yang sepadan (‘sh’ ‘i’ ‘p’); dan menggabungkan bunyi penuturan tersebut sebagai satu perkataan (‘ship’).

Ciri-ciri kajian

Kajian ini, dikemaskini pada Mei 2018, mengenalpasti 14 kajian yang menguji latihan fonik untuk 923 penutur Bahasa Inggeris yang lemah membaca. Kajian-kajian ini berlangsung di Australia, Canada, United Kingdom dan USA. Enam dari 14 kajian yang dimasukkan telah dibiayai oleh agensi kerajaan dan satu telah dibiayai oleh geran universiti. Kajian-kajian lain telah dibiayai oleh pertubuhan-pertubuhan amal atau tabung amal. Setiap kajian membandingkan latihan fonik secara sendiri, atau bersama kemahiran berkaitan membaca yang lain, kepada tiada latihan langsung (contohnya rawatan seperti biasa) atau latihan alternatif (e.g. matematik). Peserta ialah penutur Bahasa Inggeris kanak-kanak atau remaja, berstatus sosioekonomi rendah atau sederhana, yang tahap membaca mereka ialah setahun, satu gred atau satu sisihan piawai (jarak dari purata) di bawah tahap yang dijangka untuk umur atau gred mereka atas sebab yang tidak diketahui. Latihan fonik adalah berlainan mengikut kajian seperti kekerapan (sehingga empat jam seminggu), tempoh (sehingga tujuh bulan), saiz kumpulan latihan (individu dan kumpulan kecil), dan penyampaian (manusia dan komputer). Kami mengira kesan latihan fonik untuk mereka yang lemah membaca ke atas kebolehan mereka membaca perkataan dan perkataan novel (bukan perkataan) dengan tepat dan lancar, dan juga pemahaman teks, dan pengetahuan tentang aturan huruf-bunyi (pengetahuan huruf-bunyi) dan bunyi pertuturan (pengeluaran fonologi).

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati bahawa latihan fonik untuk penutur Bahasa Inggeris yang lemah membaca mungkin meningkatkan ketepatan membaca perkataan yang luar dari kebiasaan, kefasihan dalam membaca perkataan yang bercampur atau yang biasa, dan kefasihan membaca bukan perkataan. Ia juga mungkin meningkatkan ketepatan membaca perkataan yang bercampur atau yang biasa, ketepatan membaca bukan perkataan, pemahaman membaca, ejaan, pengetahuan huruf-bunyi dan pengeluaran fonologi.

Kualiti bukti kajian

Kualiti bukti keseluruhan adalah antara rendah hingga sederhana. Ini adalah kerana perbezaan yang sangat besar dalam saiz kesan latihan fonik dalam kajian-kajian ini. Lebih banyak kajian diperlukan untuk meningkatkan ketepatan hasil keputusan.

Kesimpulan

Bukti menunjukkan bahawa latihan fonik boleh meningkatkan kemahiran membaca untuk penutur Bahasa Inggeris yang lemah membaca. Kesan positif latihan fonik ke atas semua hasil berkaitan membaca menunjukkan bahawa latihan fonik tidak mendatangkan keburukan untuk mereka yang lemah membaca.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fazarina Mohammed (Pusat Perubatan UKM). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi fazarina.m@gmail.com

Tools
Information
Share/Save