Adakah terdapat perbezaan dalam hasil apabila seorang pakar bedah membuat satu potongan berbanding beberapa potongan untuk melakukan pembedahan lubang kunci untuk mengeluarkan apendiks untuk radang apendiks yang disyaki?

Mesej utama

• Rawatan radang apendiks biasanya dilakukan dengan pembedahan invasif minimum (pembedahan laparoskopik atau 'lubang kunci'). Pembedahan ini boleh dilakukan menggunakan beberapa hirisan (potongan) atau satu hirisan. Pada masa ini, tiada muafakat mengenai pendekatan mana yang lebih baik.

• Pembuangan apendiks dengan satu hirisan mungkin mempunyai hasil kosmetik yang lebih baik (iaitu, penampilan abdomen), tetapi mungkin terdapat risiko yang lebih tinggi bagi pakar bedah untuk mengubah pendekatan semasa pembedahan, iaitu, membuat dua atau lebih hirisan tambahan atau menukar kepada pembedahan terbuka (hirisan besar).

• Risiko komplikasi dengan apendiktomi satu hirisan mungkin serupa dengan risiko pembedahan hirisan berbilang konvensional. Begitu juga, pendekatannya mungkin serupa dari segi tempoh pesakit berada di hospital dan seberapa cepat mereka kembali ke aktiviti biasa, serta sakit yang mereka alami dalam 24 jam pertama selepas pembedahan.

Apakah radang apendiks, dan bagaimana kita merawatnya?

Radang apendiks adalah keradangan pada apendiks dan boleh mempunyai pelbagai punca. Jika tidak dirawat, apendiks boleh pecah dan boleh menyebabkan orang menjadi semakin tidak sihat. Cara yang paling biasa untuk merawat radang apendiks adalah dengan membuang apendiks melalui pembedahan. Walaupun antibiotik mungkin merupakan alternatif yang munasabah bagi sesetengah pesakit, pembedahan masih disyorkan bagi kebanyakan pesakit. Pembedahan paling kerap dilakukan dengan laparoskopi, yang juga dikenali sebagai "pembedahan lubang kunci". Pembedahan dilakukan melalui hirisan kecil (potongan), yang membolehkan pakar bedah meletakkan instrumen dan kamera video ke dalam perut.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Pembedahan laparoskopi biasanya dilakukan melalui beberapa hirisan kecil, tetapi baru-baru ini telah ditunjukkan bahawa ia boleh dilakukan melalui hanya satu hirisan. Penyokong teknik ini mendakwa ia kurang menyakitkan bagi pesakit, dan kami ingin mengetahui sama ada:

1) pembedahan satu hirisan dikaitkan dengan kurang sakit dan hasil kosmetik yang lebih baik; dan

2) pembedahan satu hirisan adalah selamat seperti pembedahan beberapa hirisan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana orang diperuntukkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan kedua-dua teknik ini dalam rawatan radang apendiks yang disyaki. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 11 kajian yang melibatkan 1373 orang (689 dalam kumpulan pembedahan satu hirisan dan 684 dalam kumpulan pembedahan beberapa hirisan). Kami menemui bukti dengan tahap kepastian rendah hingga sederhana bahawa pesakit dalam kumpulan satu hirisan mempunyai hasil kosmetik yang lebih baik, dengan kadar kesan sampingan tidak diingini yang serupa berbanding kumpulan pembedahan beberapa hirisan konvensional. Dalam kumpulan satu hirisan, terdapat risiko penukaran yang lebih tinggi kepada beberapa hirisan atau pembedahan terbuka (yang memerlukan hirisan besar dibandingkan pembedahan laparoskopi), atau membuat lebih banyak hirisan untuk menggunakan tapak tambahan untuk menjalankan pembedahan. Tiada perbezaan dalam sakit selepas pembedahan, kadar kecederaan visceral atau vaskular, jangkitan luka, pengumpulan dalam perut, lumpuh ileus (pergerakan usus lumpuh sementara), tempoh tinggal di hospital dan masa yang diambil untuk kembali ke aktiviti normal.

Apakah batasannya?

Kami mempunyai tahap keyakinan rendah hingga sederhana dalam penemuan kami. Keyakinan rendah kami adalah disebabkan oleh perbezaan dalam cara kajian mengukur hasil tertentu dan kekurangan pembutaan (peserta tidak mengetahui jenis pembedahan yang mereka alami) dalam kajian, yang menyebabkan mereka terdedah kepada bias prestasi (peserta atau pakar bedah bertindak secara berbeza kerana mereka mengetahui kumpulan setiap peserta berada).

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 20 Januari 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Jazmine binti Mohd Ramzisham (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information