Memakai stoking untuk memberi pemampatan sebagai rawatan terhadap vena varikos

Soalan ulasan

Apakah keberkesanan stoking mampatan sebagai rawatan awal dan satu-satunya rawatan bagi vena varikos terhadap mereka yang tiada ulcer aktif (ulser kaki) ataupun yang pernah mempunyai ulser yang sudah sembuh?

Latar belakang

Vena varikos adalah saluran darah vena yang besar dan berpulas-pulas jelas kelihatan di bawah kulit di bahagian kaki. Ia biasanya tidak menyebabkan masalah perubatan, namun banyak orang meminta nasihat perubatan bagi keadaan ini. Gejala-gejala yang mungkin terjadi termasuklah kesakitan, buku lali bengkak, keletihan kaki, kaki resah, kekejangan pada waktu malam, rasa berat, kegatalan dan tidak puas hati dari penampilan kosmetik. Komplikasi-komplikasi seperti edema (penumpukan cecair), pigmentasi, keradangan (bengkak, kemerahan dan kesakitan) dan ulser (luka) juga boleh terjadi. Stoking mampatan sering menjadi rawatan pertama dan ianya boleh didapati dalam pelbagai kepanjangan seperti paras lutus ataupun sehingga paras paha, ianya juga mempunyai tekanan yang berbeza untuk menyokong aliran darah di dalam vena.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan sebanyak 13 kajian yang melibatkan 1021 peserta yang mempunyai vena varikos namun tidak pernah mengalami ulser vena ke dalam ulasan ini (carian dijalankan pada Mei 2020). Lima kajian menilai keberkesanan stoking mampatan berbanding tiada stoking mampatan (contohnya tiada rawatan atau stoking plasebo tanpa elastik berperingkat). Tiga daripada kajian-kajian ini menggunakan stoking paras lutut, satu kajian menggunakan stoking paras paha dan satu kajian menggunakan stoking penuh ataupun paras pinggang. Lapan kajian membandingkan antara pelbagai jenis stoking ataupun pelbagai tekanan yang berbeza pada stoking paras lutut. Stoking-stoking yang digunakan dalam kajian-kajian itu memberikan tahap tekanan yang berbeza. Satu kajian hanya mengkaji para wanita hamil, sementara kajian-kajian lain menyertakan mereka yang mencari intervensi perubatan untuk vena varikos, iaitu mereka yang berada dalam senarai menunggu pembedahan, ataupun mereka yang menghadiri klinik-klinik pembedahan vaskular ataupun dermatologi (penjagaan kulit) ataupun jabatan pesakit luar.

Keputusan utama

Para peserta menganggap gejala-gejala mereka bertambah baik apabila memakai stoking dalam sembilan kajian yang menilai hasil ini, tetapi penilaian-penilaian ini tidak selalu dibuat dengan membandingkan satu kumpulan rawatan dengan kumpulan kawalan dalam kajian yang sama dan oleh itu boleh terdapat bias disini.

Dua kajian yang membandingkan stoking dengan stoking plasebo mengukur tanda-tanda fizikal; tiada perbezaan yang jelas antara bacaan awal dan bacaan susulan untuk ukur lilit buku lali, sementara kebengkakan berkurangan dalam kumpulan yang memakai stoking mampatan berbanding dengan kumpulan stoking plasebo. Secara amnya terdapat tiada perbezaan yang jelas antara kajian-kajian yang membandingkan dua jenis stoking untuk pengurangan isi padu dan perubahan diameter (cara-cara untuk mengukur edema).

Komplikasi atau kesan-kesan sampingan adalah pelbagai seperti berpeluh, kegatalan, kerengsaan, kekeringan kulit dan rasa ketat. Tiada kesan-kesan sampingan yang teruk ataupun yang berpanjangan.

Dua kajian yang membandingkan stoking dengan stoking yang berbeza, dan empat kajian yang membandingkan stoking dengan plasebo/tiada rawatan bagi menilai kepatuhan (sama ada seseorang menggunakan stoking seperti yang diarahkan). Dalam kajian-kajian stoking berbanding stoking yang berbeza, terdapat tiada perbezaan yang jelas antara jenis-jenis stoking yang berbeza, dan didapati tahap pematuhan secara amnya dilaporkan rendah. Dalam kumpulan stoking berbanding plasebo/tiada rawatan, hanya tiga kajian yang melaporkan keputusan. Daripada kajian-kajian ini, satu kajian melaporkan kadar keciciran awal yang tinggi dengan tahap kepatuhan secara amnya rendah. Dua kajian yang lain melaporkan kepatuhan yang baik secara amnya dalam kumpulan yang menggunakan stoking. Beberapa sebab yang diberikan sebagai alasan ketidak patuhan adalah ketidakselesaan, kesukaran memakai stoking, penampilan, tidak berkesan dan menyebabkan kerengsaan.

Empat kajian yang membandingkan stoking dengan stoking yang berbeza dan dua kajian yang membandingkan stoking dengan plasebo/tiada rawatan menilai keselesaan, toleransi dan penerimaan terhadap pemakaian stoking. Membandingkan stoking dengan plasebo/tiada rawatan, keselesaan, toleransi dan penerimaan ianya dipengaruhi oleh populasi kajian. Seluar mampatan semakin ditolak oleh wanita hamil apabila kehamilan mereka semakin lanjut sementara itu di dalam kajian terhadap wanita yang tidak hamil, kumpulan yang memakai stoking menunjukkan tiada halangan untuk melakukan aktiviti normal dan ketidakselesaanpada siang hari dibandingkan dengan stoking plasebo. Dalam kajian terhadap jenis-jenis stoking yang berbeza, dua kajian melaporkan tahap toleransi dan ketidakselesaan yang serupa diantara jenis-jenis stoking tersebut. Ketidakselesaan adalah sebab utama bagi memilih satu jenis stoking berbanding jenis yang lain.

Satu kajian yang menilai kualiti hidup, menunjukkan tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan memakai stoking dan tidak memakai stoking.

Tiada kesimpulan mengenai kepanjangan stokin ataupun tekanan stoking mampatan yang optimum dapat dibuat kerana tiada keputusan yang konklusif dari kajian-kajian yang disertakan.

Kepastian tentang bukti

Kepastian bukti adalah rendah atau sangat rendah kerana risiko bias disebabkan oleh pelaporan yang kurang baik, tidak semua kajian menilai hasil-hasil yang sama, mereka menilainya dengan cara yang berbeza, atau melaporkannya dengan cara dimana data-data itu dapat digabungkan dan dianalisis dengan kajian-kajian lain. Bukti dari kajian-kajian yang sedia ada tidak mencukupi untuk menentukan adakah stoking mampatan sebagai satu-satunya rawatan awal berkesan bagi mengawal dan juga merawat vena varikos pada peringkat awal.

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information