Rawatan antivirus untuk jangkitan influenza dalam pesakit dengan cystic fibrosis

Soalan ulasan

Kami mencari bukti penggunaan rawatan antivirus terhadap jangkitan influenza dalam pesakit dengan cystic fibrosis.

Latar belakang

Cystic fibrosis adalah gangguan genetik yang mampu mengancam nyawa, yang menjejaskan banyak organ dalam badan, dan penghidap cystic fibrosis mempunyai risiko penyakit paru-paru kronik yang lebih tinggi. Influenza mampu memudaratkan perkembangan penyakit cystic fibrosis dengan meningkatkan risiko radang paru-paru dan komplikasi pernafasan sekunder. Semasa pandemik (wabak yang berlaku di seluruh dunia, atau di kawasan yang sangat luas, melintasi sempadan antarabangsa dan biasanya menjejaskan ramai orang), gejala selesema mungkin lebih teruk dan komplikasi lebih kerap. Kes selesema pandemik yang teruk berlaku dalam pesakit dengan keadaan kronik termasuklah pesakit dengan cystic fibrosis. Walaupun tidak ada bukti bahawa pesakit dengan cystic fibrosis lebih cenderung dijangkiti jangkitan ini daripada orang yang sihat, impak bagi mereka mungkin lebih besar dan hasilnya lebih buruk kerana saluran pernafasan bawah lebih kerap terjejas. Ejen antivirus adalah penting dalam pengurusan influenza dan merangkumi perencat neuraminidase zanamivir dan oseltamivir. Ubat ini dapat mengehadkan jangkitan dan mencegah penyebaran virus.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 02 November 2015.

Ciri-ciri kajian

Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat penggunaan perencat neuraminidase untuk influenza dalam pesakit dengan cystic fibrosis.

Keputusan utama

Data yang terhad daripada kajian-kajian sebelumnya menunjukkan bahawa ubatan tersebut boleh berkesan dalam orang yang sihat dan mungkin berguna pada populasi berisiko tinggi sekiranya digunakan secara rasional. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat menjawab persoalan keselamatan dan keberkesanan perencat neuraminidase untuk merawat influenza dalam pesakit dengan cystic fibrosis.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information