Kesan bernyanyi kepada fungsi paru-paru dan kualiti hidup bagi penghidap Sistik Fibrosis kanak-kanak dan dewasa

Soalan ulasan

Kami menyemak tentang bukti kesan nyanyian sebagai rawatan tambahan bagi kanak-kanak dan orang dewasa yang menghidap sistik fibrosis.

Latar belakang

Penghidap sistik fibrosis berisiko untuk mendapat jangkitan paru-paru disebabkan oleh kewujudan mukus tebal yang tidak normal di dalam saluran pernafasan mereka. Oleh itu, pembersihan saluran pernafasan pesakit adalah salah satu komponen penting dalam merawat kondisi mereka. Terdapat peningkatan laporan ringkas yang mencadangkan bahawa bernyanyi boleh menyokong fungsi paru-paru dan meningkatkan kualiti hidup penghidap sistik fibrosis. Kami telah mengesan pelbagai ujikaji dengan menggunakan kaedah pencarian standard daripada Sistik Fibrosis Cochrane dan Kumpulan Penyakit Genetik, di samping menjalankan pencarian yang meluas di dalam penerbitan dan pengkalan data lain yang relevan. Berikut merupakan kemaskini bagi ulasan yang diterbitkan sebelum ini.

Tarikh carian

Bukti ini adalah terkini sehingga: 07 Januari 2019.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini mengambil kira satu kajian yang melibatkan 40 orang kanak-kanak penghidap sistik fibrosis berumur antara tujuh hingga 17 tahun. Kajian tersebut telah membandingkan antara intervensi nyanyian yang direka khas dengan aktiviti-aktiviti rekreasi berbentuk tidak fizikal yang di mana kanak-kanak tersebut dipilih secara rawak untuk terlibat dengan nyanyian atau program rekreasi. Kajian tersebut telah berlangsung selama 2 minggu dan kanak-kanak tersebut telah disusuli selama enam hingga lapan minggu. Kajian tersebut menilai impak nyanyian kepada kekuatan otot pernafasan, kualiti hidup dan ujian fungsi paru-paru.

Dapatan utama

Peserta kajian daripada kedua-dua kumpulan nyanyian dan aktiviti rekreasi melaporkan bahawa terdapat peningkatan dalam kualiti hidup. Peserta kumpulan nyanyian telah menunjukkan peningkatan yang lebih besar dalam tekanan ekspiratori maksimum (pengganti bagi ujian kekuatan otot pernafasan), berbanding peserta kumpulan rekreasi yang tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Tiada kesan sampingan telah dilaporkan. Buat masa kini, masih tidak ada bukti mencukupi yang menilai kesan klinikal aktiviti bernyanyi dalam kalangan penghidap sistik fibrosis. Kajian di masa hadapan yang menggunakan kaedah lebih kukuh diperlukan untuk menilai kesan kebarangkalian bernyanyi dalam kalangan penghidap sistik fibrosis.

Kualiti bukti kajian

Kajian ini terhad kepada jumlah bilangan peserta yang kecil (yakni melibatkan 51 peserta berdaftar dan hanya 40 sahaja dianalisa) dan kadar cicir yang tinggi (21%). Kami juga berfikiran bahawa hakikat tentang peserta muda yang terlibat dalam kajian ini yang sememangnya berminat untuk menyanyi juga mungkin telah mempengaruhi dapatan kajian tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amalin Najiha Mohd Sabri (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane#rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save