Urate oxidase untuk pencegahan dan rawatan komplikasi daripada lisis (pecahan) besar-besaran sel tumor pada kanak-kanak dengan kanser

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti kesan dan keselamatan urate oxidase untuk pencegahan dan rawatan sindrom lisis tumor (TLS) pada kanak-kanak dengan tumor malignan.

Latar belakang

TLS berlaku apabila asid urik dan bahan selular lain dilepaskan dengan cepat ke dalam peredaran darah apabila sel tumor dipecahkan secara spontan atau semasa rawatan. Asid urik tidak mudah larut, oleh itu acid ini boleh terkumpul di dalam buah pinggang, mengakibatkan kegagalan buah pinggang dan mungkin kematian. Urate oxidase ialah enzim yang boleh diberikan kepada orang yang berisiko TLS untuk menukar asid urik kepada allantoin, yang mudah larut dan kemudiannya mudah dikeluarkan oleh buah pinggang. Oleh itu, urate oksidase mungkin dapat mencegah atau merawat TLS pada orang yang mempunyai malignansi.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2016.

Kami menemui tujuh kajian (1074 peserta). Tiada kajian baharu dikenal pasti dalam kemas kini ini. Enam kajian membandingkan urate oxidase dan allopurinol. Tiga kajian menguji Uricozyme, dan tiga kajian menguji rasburicase. Satu kajian (30 peserta) membandingkan dos rasburicase yang berbeza.

Keputusan utama

Ulasan sistematik semasa kajian klinikal terkawal (rawak) mendapati bahawa walaupun urate oxidase mungkin berkesan dalam mengurangkan tahap asid urik serum, ia belum disahkan untuk mengurangkan kegagalan buah pinggang atau kematian akibat TLS pada kanak-kanak yang menghidap kanser. Kesan buruk mungkin lebih biasa pada orang yang menerima urate oksidase berbanding dengan allopurinol. Urate oxidase perlu dinilai lebih lanjut, terutamanya pada pesakit berisiko tinggi, seperti mereka yang mempunyai leukemia dan lymphoma berisiko tinggi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berperingkat dari sangat rendah kepada rendah kerana keputusan yang tidak tepat, dan semua kajian yang dimasukkan sangat terdedah kepada berat sebelah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information