Intervensi surgikal untuk rawatan kanser kaviti oral (mulut) dan kanser orofarinks (tekak)

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Kami menilai kajian klinikal rawatan surgikal kanser oral dan orofarinks untuk mengetahui rawatan mana yang paling mungkin membolehkan orang dengan kanser tersebut dapat hidup lebih lama (survival keseluruhan) tanpa simptom (survival bebas penyakit) dan tidak mengalami pengulangan kanser di tempat yang sama atau merebak ke tempat lain. Kami juga ingin mengetahui bagaimana kepelbagaian rawatan mempengaruhi simptom, kualiti hidup, masa di hospital, komplikasi, kesan sampingan dan kos.

Latar belakang

Kanser oral adalah antara kanser yang paling lazim di seluruh dunia, dengan lebih 400,000 kes didiagnos pada 2012. Rawatan untuk kanser ini melibatkan pembedahan, kemoterapi, radioterapi atau kombinasi kedua-dua terapi atau kesemua tiga terapi. Bidang topik ini dikenal pasti sebagai topik prioriti oleh pakar kumpulan pembedahan oral dan maksilofasial pada 2014. Para pengarang Kesihatan Oral Cochrane membuat ulasan ini yang merupakan kemaskini ulasan pertama yang diterbitkan pada 2007 dan pertama kali dikemaskini pada 2011. Bukti adalah terkini sehingga 20 Disember 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 12 kajian (lima yang baru untuk kemaskini ini) yang menyiasat kejayaan rawatan surgikal kanser oral. Kajian-kajian melibatkan 2300 peserta, 2148 di antaranya adalah kanser mulut. Kajian-kajian melibatkan tujuh perbandingan pelbagai pilihan rawatan. Tiada kajian yang membandingkan pelbagai pendekatan surgikal bagi memotong tumor primer.

Keputusan-keputusan utama

Penemuan kajian-kajian adalah bercampur-campur dan tidak memungkinkan kesimpulan yang kukuh tentang pendekatan surgikal yang optimum untuk kanser mulut dan tekak.

Pembuangan surgikal nodus limfa yang bebas kanser di leher, pada masa yang sama dengan pembuangan kanser tidak dilihat berkait dengan survival lebih lama di dalam dua kajian yang mana keputusannya digabungkan. Satu kajian lagi, mencadangkan mungkin ada manfaat pembedahan awal leher dari segi survival keseluruhan dan ‘survival bebas kanser’ (tempoh masa selepas rawatan primer tanpa tanda-tanda dan simptom penyakit). Satu kajian mendapati kanser berulang atau di tempat yang sama kurang kemungkinan terjadi dengan pembedahan awal, sementara tiga kajian lain tidak menyokong kedua-dua rawatan.

Tiada bukti pembuangan nodus limfa di leher menghasilkan survival yang lebih panjang berbanding pembuangan surgikal selektif nodus limfa yang terlibat.

Satu kajian menilai penggunaan imbasan khusus (tomografi berkomputer pancaran positron (PET-CT))` selepas kombinasi kemoterapi dan radioterapi, untuk membantu membuat keputusan tentang pembedahan leher, dan mendapati tiada perbezaan dalam mortaliti (kematian) berbanding pembedahan leher yang terancang sebelum atau selepas kemoradioterapi.

Terdapat beberapa pendekatan surgikal lain yang dibandiingkan dalam kajian-kajian, tetapi kami tidak dapat menggunakan keputusan-keputusan tersebut di dalam ulasan ini.

Walaupun pembuangan nodus di leher diketahui berkait dengan kesan negatif yang signifikan berkitan dengan penampilandan fungsi seperti makan dan bercakap, kajian-kajian melaporkan dengan lemah kesan-kesan sampingan tersebut dan tidak mengukur kualiti hidup dengan tepat atau dengan bilangan yang cukup besar untuk disertakan di dalm analisis kami.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah rendah kerana terdapat bilangan kecil kajian untuk setiap perbandingan dan berisiko ketidaktelusan kerana cara ia direka bentuk. Sesetengah perbandingan dan hasil tidak memberi keputusan yang boleh diguna.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my