Intervensi rumahtangga untuk pecegahan pendedahan plumbum domestik dalam kalangan kanak-kanak

Mengapa ulasan ini penting?

Pendedahan plumbum membawa risiko kesihatan yang serius, terutamanya kepada kanak-kanak. Keracunan plumbum pada tahap yang tinggi boleh menyebabkan anemia, kerosakan pelbagai organ, sawan, koma dan kematian pada kanak-kanak. Pada tahap rendah yang berpanjangan, ia akan menjejaskan aspek kognitif (proses fikiran), psikologi (keadaan mental dan emosi) dan gangguan tingkah laku dari segi neurologi (contohnya agresif, hiperaktif). Terdapat pelbagai sumber plumbum yang berpotensi dalam alam sekitar, justeru para penyelidik telah mengkaji pelbagai intervensi-intervensi pendidikan dan persekitaran rumah tangga demi mengurangkan pendedahan plumbum pada kanak-kanak, seperti pendidikan kepada ibu-bapa, penyingkiran habuk plumbum atau kerja pemulihan rumah. Walau bagaimana pun, tidak jelas apakah dan sejauh mana intervensi-intervensi ini berfungsi untuk mengurangkan atau mencegah pendedahan plumbum pada kanak-kanak.

Siapakan yang akan berminat dalam ulasan ini?

- Ibu bapa dan para penjaga yang ingin mencegah pendedahan plumbum dalam kalangan kanak-kanak.

- Professional kesihatan dan pembuat keputusan yang berminat dalam kaedah-kaedah mencegah pendedahan plumbum pada kanak-kanak.

Apakah soalan-soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Kami ingin mengetahui sama ada intervensi-intervensi pendidikan dan persekitaran rumah tangga, ataupun kombinasi kedua-duanya, berkesan untuk mencegah atau mengurangkan pendedahan plumbum domestik yang selanjutnya pada kanak-kanak sehingga umur 18 tahun. Kami berminat untuk melihat kemajuan dalam perkembangan kognitif dan tingkah laku dari segi neurologi, potensi kebahayaan, pengurangan tahap plumbum dalam darah serta tahap habuk plumbum rumah tangga.

Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Kami telah mencari pengkalan data sehingga bulan Mac 2020, untuk kajian percubaan rawak terkawal (RCT, di mana peserta kajian dibahagikan secara rawak, dalam hal ini, kepada satu atau lebih kumpulan untuk menerima rawatan dan satu kumpulan yang tidak ) dan kuasi-RCT (di mana kanak-kanak ditugaskan kepada kumpulan-kumpulan menggunakan kaedah yang tidak secara rawak). Kami telah menemui 17 kajian (tiga yang baru sehingga kini), yang melibatkan 3282 kanak-kanak sejak lahir sehingga umur enam tahun. Kajian-kajian tersebut telah mengkaji intervensi-intervensi pendidikan atau persekitaran, ataupun kombinasi kedua-duanya, untuk mengurangkan pendedahan plumbum domestik pada kanak-kanak. Kanak-kanak dalam semua kajian berumur di bawah enam tahun. Lima belas kajian telah dilakukan di kawasan bandar di Amerika Utara, satu di Australia dan satu di negara Cina. Kebanyakan kajian telah dilakukan di kawasan yang mempunyai status sosioekonomi yang rendah. Kanak-kanak lelaki dan perempuan sama-sama diwakili dalam kajian. Tempoh intervensi berkisar antara tiga bulan sehingga 24 bulan dalam 15 kajian, dan dua kajian melaksanakan suatu intervensi pada satu kali. Empat belas kajian telah menggunakan kaedah cacat yang boleh memutarbelitkan keputusan mereka, menyebabkan mereka kurang boleh dipercayai.

Tempoh susulan adalah antara masa tiga bulan sehingga lapan tahun. Geran penyelidikan nasional atau antarabangsa atau kerajaan telah membiayai 15 kajian; dua kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan mereka.

Apakah bukti yang diperolehi daripada ulasan ini?

Intervensi pendidikan: tiada kajian yang termasuk dalam perbandingan ini menilai kesan-kesan ke atas hasil kognitif atau tingkah laku dari segi neurologi, atau kebahayaan. Berbanding dengan tiada intervensi langsung, intervensi pendidikan mungkin tidak membawa perbezaan kepada tahap plumbum dalam darah kanak-kanak muda atau tahap habuk lantai (bukti berkualiti sederhana).

Intervensi-intervensi persekitaran: satu kajian yang membandingkan langkah-langkah kawalan habuk dengan tiada intervensi menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan dalam hasil kognitif dan tingkah laku dari segi neurologi antara kumpulan-kumpulan tersebut selepas tiga sehingga lapan tahun. Kajian yang sama telah menilai kebahayaan dan tidak menjumpai sebarang kebahayaan yang berkaitan dengan intervensi tersebut, tetapi telah melihat dua kanak-kanak dengan kesan sampingan dalam kumpulan terkawal. Segala kajian yang termasuk dalam perbandingan ini telah mendapati bahawa pengawalan habuk tidak menyebabkan pengurangan tahap plumbum dalam darah kanak-kanak muda (bukti berkualiti sederhana) atau tahap habuk lantai berbanding dengan tiada intervensi (bukti berkualiti sangat rendah). Dua kajian telah menilai kesan pengurangan tanah dan tidak membenarkan sebarang kesimpulan mengenai keberkesanannya (bukti berkualiti sangat rendah).

Gabungan intervensi pendidikan dan persekitaran berbanding dengan pendidikan biasa: terdapat bukti yang tidak mencukupi bahawa kombinasi intervensi-intervensi tersebut boleh mengurangkan tahap plumbum darah atau tahap habuk plumbum lantai (bukti berkualiti sangat rendah), dan kajian yang lebih lanjut diperlukan untuk mengatasi jurang penyelidikan ini.

Apakah yang harus berlaku seterusnya?

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui apa yang berkesan untuk mencegah pendedahan plumbum kepada kanak-kanak. Kajian harus dilakukan dalam kumpulan sosioekonomi yang berbeza dalam negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah untuk mempertimbangkan bagaimana intervensi-intervensi tersebut berfungsi dalam konteks yang dibentuk oleh pelbagai tahap perindustrian atau peraturan keselamatan kesihatan persekitaran dan perkerjaan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information