Inflasi berterusan berbanding inflasi standard semasa resusitasi neonatal untuk mencegah kematian dan memperbaiki hasil pernafasan

Soalan ulasan

Adakah penggunaan inflasi paru-paru berpanjangan (atau berterusan, tempoh > satu saat) berbanding dengan inflasi standard (≤ satu saat) memperbaiki survival dan hasil penting lain bagi bayi baru lahir yang menerima resusitasi semasa lahir?

Latar belakang

Semasa lahir, paru-paru dipenuhi dengan cecair yang perlu diganti dengan udara supaya bayi boleh bernafas dengan baik. Sesetengah bayi sukar bernafas dengan berkesan semasa lahir dan satu dalam setiap 20 hingga 30 bayi menerima bantuan untuk berbuat demikian. Pelbagai peranti digunakan untuk membantu bayi memulakan pernafasan biasa. Sesetengah peranti ini membolehkan penjaga memberi inflasi berpanjangan (atau berterusan). Inflasi yang berterusan mungkin membantu inflasi paru-paru dan mengekalkan inflasi  paru-paru dengan lebih baik  daripada tidak digunakan.

Ciri-ciri kajian

Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ulasan dan mendapati lapan kajian yang mendaftar 941 bayi. Dalam semua kajian, bayi dilahirkan sebelum tarikh bersalin (dari 23 hingga 36 minggu usia gestasi). Inflasi berterusan berlangsung antara 15 dan 20 saat pada tekanan antara 20 dan 30 smH2O. Kebanyakan kajian menyediakan satu atau lebih inflasi berterusan dalam kes-kes respon klinikal yang buruk, sebagai contoh, kadar denyut jantung rendah yang berterusan. Kami menganalisis satu kajian (yang hanya melibatkan sembilan bayi) secara berasingan kerana penyelidik menggabungkan penggunaan inflasi berterusan atau standard dengan tekanan dada.

Keputusan utama

Kajian-kajian yang dimasukkan menunjukkan tiada perbezaan penting dalam kalangan bayi yang menerima Inflasi berterusan berbanding inflasi standard dari segi kematian, keperluan intubasi dalam tempoh tiga hari pertama kehidupan, atau penyakit paru-paru kronik. Bayi yang menerima inflasi berterusan semasa lahir mungkin menghabiskan kurang hari dengan ventilasi mekanikal. Beberapa kajian yang sedang dilaksanakan mungkin membantu menjelaskan perbezaan di antara kedua-dua teknik itu, kerana sekarang kita tidak dapat mengecualikan perbezaan kecil hingga sederhana yang wujud.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana kerana secara keseluruhan hanya sebilangan kecil kajian telah melihat intervensi ini; sedikit bayi dimasukkan dalam kajian ini; dan beberapa kajian mungkin boleh direka dengan lebih baik.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Februari 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Dikemaskini oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information
Share/Save