Penyusuan susu ibu atau susu ibu untuk mengatasi kesakitan hasil daripada prosedur dalam bayi

Penyusuan susu ibu melegakan kesakitan bayi baru lahir yang menjalani prosedur yang menyakitkan. Ubat untuk melegakan kesakitan sering diberikan untuk prosedur besar yang menyakitkan, tetapi mungkin tidak diberikan untuk prosedur kecil yang menyakitkan seperti persampelan darah (melalui cucukan tumit ataupun cucukan urat). Terdapat pelbagai cara yang tidak melibatkan ubat untuk mengurangkan kesakitan dalam bayi seperti memegang mereka, membalut mereka, menghisap puting atau memberi minuman manis (seperti sukros ataupun glukos). Pelbagai kajian dalam bayi telah menunjukkan penyusuan susu ibu adalah cara yang baik untuk mengurangkan kesakitan yang dirasai oleh bayi semasa menjalani prosedur kecil yang menyakitkan. Kajian-kajian ini dijalankan dalam bayi cukup bulan dan telah menunjukkan bahawa penyusuan adalah berkesan kerana mengurangkan tempoh masa bayi menangis dan mengurangkan skala kesakitan dalam skala-skala yang berbeza yang telah disahkan untuk kegunaan bayi. Susu ibu yang diperah dan diberikan melalui picagari tidak menunjukkan keberkesanan yang sama dengan penyusuan susu ibu secara langsung. Tiada kajian telah dijalankan dalam bayi tidak cukup bulan. Oleh itu, kajian baru diperlukan untuk memastikan jika penggunaan susu ibu tambahan dalam bayi kecil ini adalah berkesan untuk mengurangkan kesakitan mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Melissa de Bruyne Choon (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College; mltan@pmc.edu.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi melissadebruyne@ms.pmc.edu.my

Tools
Information